Tasawwur
Akidah Islam
ZIKRULLAH SENDI AKIDAH
Susunan
ABU
DZAR ZAINAL ABIDIN
Judul:
Tasawwur Akidah Islam:
Zikrullah Sendi Akidah
Susunan:
ABU DZAR ZAINAL ABIDIN
Edisi Pertama: 2014
Hakcipta Terpelihara. Sebarang bahagian daripada
buku ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan dalam sebarang cara yang
boleh digunakan lagi, ataupun dipindahkan dalam sebarang bentuk atau cara, baik
dengan cara elektronik, mekanikal, penggambaran semula, perakaman
atau sebagainya, tanpa izin terlebih dahulu daripada penerbit.
Perpustakaan Negara Malaysia
Data Pengakatalogan-dalam-Penerbitan
Abu Dzarr Zainal Abidin, 1983-
TASAWWUR
AKIDAH ISLAM: ZIKRULLAH SENDI AKIDAH /
ABU
DZAR ZAINAL ABIDIN.
ISBN
978-967-13119-0-5
1.
Sufism.
2. Sufism-Doctrines. 3. Islam-Customs and practices. 1. Judul
297.4
Diterbitkan oleh:
PUSAT RAWATAN
ISLAM SUFI (TR0118799-T)
Surau Lebai Deris,
Kg. Pantai Paka,
23100 Paka, Terengganu
Tel: 011 1660 4758
Email: info@perubatansufi.com
Website: perubatansufi.com
KATA PENERBIT
Alhamdulillah, segala
puji dan kesyukuran kepada Allah yang
telah mengurniakan kekuatan kepada kami untuk menerbitkan buku yang bermanfaat
bagi masyarakat. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi s.a.w., keluarga dan
para sahabat baginda.
Kami mengharapkan dengan
terbitnya buku ini umat Islam tidak lagi terkeliru dengan pelbagai bentuk
tarbiyah ilmu Akidah reka cipta yang telah menguasai dakwah (akidah) ummah sejak beratus tahun lalu. Apa jua nama aliran
atau mazhab akidah yang mereka namakan, tetapi tarbiyah (akidah) yang dilaksanakan oleh
golongan ahli zahir adalah menerusi
pemahaman ilmu Kalam (pendalilan akal)
dan teori Tauhid Wahabi (mendefinasikan Rabb) supaya dapat menimbulkan
keyakinan untuk mengesakan Allah S.W.T. atau mencapai prinsip Akidah Islam. Sebaliknya,
tanpa mereka sedari bahawa proses tarbiyah (akidah) ini tidak dapat memberi manfaat kepada aspek
rohani (hati/roh) atau sekadar menjadi bahan ‘mental exercise’ ataupun ia cuma
berlegar-legar di kepala dalam bentuk pemikiran semata-mata, lantas mereka gagal
mencapai khusyuk hati terhadap Allah dalam mengerjakan segala amal ibadat dan kehidupan
harian.
Hakikatnya, apa yang disangka ilmu akidah itu
bukanlah ilmu Akidah al-Quran yang sebenar, tetapi merupakan hujah-hujah dan
debat yang tercela sekadar menjadi tarbiyah akidah ikut-ikutan yang begitu
rapuh dan goyah sifatnya. Malah, dalam apa jua keadaan sekalipun persoalan
akidah ialah teras dan asas kepada semua persoalan. Inilah persimpangan jalan antara tasawwur Akidah al-Quran dengan
ilmu Akidah reka cipta. Sesungguhnya jalan
menuju kepada kesempurnaan keredaan Allah S.W.T. adalah amat sukar berbanding
dengan pelbagai tipu daya syaitan dan pujukan hawa nafsu yang sangat mudah
untuk seseorang terjebak ke dalamnya.
Melalui buku ini kenalilah jalan tarbiyah akidah yang telah kita laksanakan sejak sekian
lama. Dengan itu
kita tidak lagi tertipu atau terkeliru dengan pelbagai
slogan akidah reka
cipta (hujah dan debat yang tercela) yang tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati
(sifat-sifat
mazmumah) dan hati terus mati (kesesatan)menerusi pegangan akidah
ikut-ikutan (taklid). Malahan salah faham terhadap Akidah al-Quran ini telah
mengakibatkan pelbagai
bentuk atau versi akidah yang menyimpang. Malangnya, versi
yang telah disalahtafsirkan ini telah diamalkan dan
diperjuangkan, dan ini menimbulkan
fitnah
sangat besar terhadap kesucian
agama ini.
Kita
yakin umat Islam dengan akidah yang sebenar (penghayatan kerohanian Islam) akan
terus berjuang sama ada di bidang amal ibadat (Syariat Islam) dan juga di
bidang fardu kifayah soal ekonomi, perniagaan, teknologi, pengurusan dan pembangunan
untuk meletakkan dasar-dasar Islam menjadi asas dan teras pembangunan rohaniah
dan kemanusiaan dalam era globalisasi yang begitu mengerikan ini. Kita tidak
mahu generasi muda kita dilanda kemiskinan dan kita tidak mahu mereka terjerumus
ke lembah kesesatan. Rosak akidah akan membawa kita ke neraka dan miskin akan
menghampirkan kita kepada kekufuran. Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan
bahawa umat Islam masa kini sedang menderita kemunduran, dan kelemahan di sudut
rohani (akidah) dan pembangunan (duniawi). Malahan umat Islam perlu sedar
bahawa nilai-nilai daripada penghayatan aspek fardu ain sangat penting untuk
menyerlahkan Islam di bidang fardu kifayah.
Umat Islam
dewasa ini memerlukan pendekatan tarbiyah akidah para sahabat , tabi’in dan
al-salaf dalam cara memahami dan mengamalkan aspek akidah (al-Quran) yang
sebenar bagi membangunkan semula “rahsia
kekuatan ummah” yang mampu menerapkan cara
hidup Islam yang lebih progresif, seimbang, harmoni dan global. Malah, segala bentuk,
cara dan jalan tarbiyah (Akidah al-Quran) itu sebagai sebab-musabab yang bertepatan
pula semuanya telah ditempuh dan dilalui
oleh mereka (para sahabat, tabi’in dan al-salaf). Ertinya apabila umat Islam
memilih jalan (tarbiyah akidah) yang
lain maka natijahnya juga akan menjadi
lain. Akibat kepincangan itu, umat
Islam bukan sahaja tidak dapat menerajui dan memayungi dunia atas statusnya
sebagai ummah terbaik, malah kita menjadi mangsa oleh penjajahan bentuk baru
dalam era globalisasi. Oleh itu, usaha memperbetulkan semula jalan (tarbiyah
akidah ummah) itu mesti dilakukan agar keunggulan Islam dapat direalisasikan
sebagai “way of life” yang dapat dilihat, dirasai dan dikongsi oleh manusia
masa kini bukan sahaja dari segi
teorinya, tetapi juga pelaksanaannya. Inilah “Islam” yang telah diperjuangkan
oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat sehingga baginda mampu menegakkan tamadun
rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun kemanusiaan (duniawi) yang kukuh
untuk disambung oleh generasi al-salaf. Semoga buku ini ada manfaatnya kepada
para pembaca sekalian.
Moga-moga Allah S.W.T.
menerima amalan ini yang semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya serta
memberi kekuatan kepada penulis buku ini supaya dapat terus dimanfaatkan oleh umat Islam dalam
mengembalikan Akidah Islam yang sebenar.
Segala kesilapan dan
kekurangan adalah kelemahan kami. Oleh itu, teguran membina amat dialu-alukan.
Sekian, wassalamu’alaikum.
Penerbit
PUSAT RAWATAN ISLAM SUFI
PRAKATA
Pujian bagi Allah S.W.T., satu-satunya Zat yang
disembah, Tuhan Maha Menyatukan hati para hambaNya yang memperbanyakkan
zikrullah dan mengharapkan keampunanNya. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad
s.a.w. Rasul yang mendidik dan memimpin manusia untuk
mengenal dan mencintai Allah, sekaligus mampu berjuang melaksanakan segala
amal ibadat selaras dengan pencapaian kesempurnaan hati (darjat
ihsan).
Para
sahabat mengingatkan kepada para tabi’in tentang dakwah Nabi s.a.w. bahawa mereka pada
peringkat mulanya mempelajari iman (tarbiyah akidah), iaitu selama lebih 11
tahun di kota Makkah (tanpa perintah mengerjakan segala amal ibadat seperti
solat, puasa, jihad, haji, zakat dan sebagainya), kemudian selama sepuluh tahun
di kota Madinah, iaitu aplikasi sistem Islam secara total (pelaksanaan segala
perintah Allah, iaitu Syariat dan Akidah Islam). Di samping itu, kesempurnaan
akidah yang dibina di kota Makkah terus menerus disubur, dibina dan dikukuhkan,
dan tarbiyah akidah (amalan rohani Islam) terus berjalan untuk golongan yang
baru memeluk Islam. Mereka menyebut seperti yang digambarkan di dalam kitab
Qut-ul-Qulub, karangan Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 368 H. / 992 M.):
“Kami pada
zaman Rasulullah s.a.w., baginda mengajar kami iman, kemudian mengajar kami
al-Quran (hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran) maka bertambahlah iman
kami dan akan sampai satu zaman (nanti) di mana orang ramai mempelajari (hukum-hukum yang
terdapat di dalam al-Quran) itu sebelum mempelajari iman.”
Kenyataan yang tersebut di atas menjelaskan bahawa selama lebih
11 tahun Nabi s.a.w. menangani
permasalahan dalaman manusia (akal, nafsu dan hati) di kota Makkah adalah
untuk menyempurnakan elemen-elemen dalaman para sahabat menerusi berzikir
mengingati Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Hakikatnya, apa yang diperin- tahkan Allah menerusi jalan tarbiyah (akidah) ini bukanlah sesuatu yang misteri, seolah-olah
tiada ayat Allah dan Hadis Nabi s.a.w.
untuk menjelaskan bentuk dakwah (Akidah al-Quran) ini sebagaimana yang difahami oleh golongan
ahli zahir (mazhab Fuqaha, mazhab Wahabi, jemaah Tabligh dan lain-lain) sehingga mereka terpaksa merangka pelbagai
jalan atau proses tarbiyah akidah reka
cipta (pendalilan akal dan teori Tauhid Wahabi) untuk menyampaikan seseorang
kepada mengenal (makrifah) Allah. Tegasnya, tanpa ilmu dan amalan
tarekat Tasawuf , hakikat penghayatan
kerohanian Islam tidak akan dapat dicapai dengan sebenar-benarnya.
Secara jelas al-Quran menonjolkan
suruhan supaya mempelajari berzikir mengingati Allah sekali gus menunjukkan tuntutan memperbanyakkan
sebutan serta ingatan terhadapNya (Aki- dah al-Quran), sebagai amalan yang dikasihi Allah SWT
serta mempunyai kelebihan, keagungan dan kemuliaan khusus di sisiNya
(pengukuhan tauhid kepada Allah). Oleh
kerana itu, Nabi s.a.w. menunjukkan jalan berzikir kepada para sahabat (zikir
darajat) supaya sempurna hubungan rohani
denganNya dan mereka tidak termasuk dalam golongan
orang-orang yang sesat (hati yang
mati/lalai). Inilah tasawwur Akidah Islam yang sebenar yang bermakna
menggambarkan atau memberi tanggapan dan seterusnya menghayati proses
menyebut-nyebut serta mengingati Allah ini sebagai pencetus kesedaran hati
untuk men- capai kesempurnaan akidah (makrifah Allah), diturunkan oleh
Allah S.W.T. kepada Nabi s.a.w. menerusi Malaikat Jibril a.s. tanpa sebarang
perubahan seperti firman Allah S.W.T:
وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ
لَمِنَ الضَّآلِّينَ
Maksudnya:
“Dan
berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk
kepada jalan berzikrullah mu). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk
dalam golongan orang-orang yang sesat (memiliki hati yang mati).”
(Surah
al - Baqarah, ayat: 198)
Ayat
al-Quran di atas menuntut supaya umat Islam mempelajari berzikir kepada Allah
(zikir darajat) sebagai dalil khusus yang mewajibkan amalan tersebut. Malah,
al-Quran meng- gambarkan suatu kewajipan setiap individu Muslim melaksanakan
zikir yang terus menerus (Akidah al-Quran) kerana ia merupakan permulaan
hidayah daripadaNya. Oleh yang demikian, apabila konsep amalannya termaktub
dalam sumber utamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, di samping terserlah kepentingan pengamalannya dalam
mencapai kesempurnaan akidah (makrifah Allah), dapatlah difahami
bahawa tuntutan memperbanyakkan menyebut dan mengingati Allah itu bukan
sekadar suatu galakan atau suatu anjuran amalan sunat kepada setiap mukalaf.
Dalam hal ini Allah menghubungkait
khusyuk hati (kesempurnaan akidah) dan memperbanyakkan berzikir mengingatiNya
dengan maksud menyempurnakan aspek rohani (hati) menerusi proses
menyebut-nyebut dan mengingati lafaz Allah akan men- cetuskan kesedaran
hati, dan membuahkan keyakinan yang teguh dan keimanan yang kental kepada
Allah sebagaimana firmanNya:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk
mengkhusyukkan hati mereka dengan mengi- ngati Allah (berzikrullah).”
(Surah al-Hadiid, ayat: 16)
Allah S.W.T. juga berfirman yang bermaksud:
الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ
قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Mereka
adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka
dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah
hati manusia.”
(Surah Ar-Ra’d: ayat 28)
Pertembungan di antara dua prinsip yang berbeza dalam tarbiyah akidah iaitu berasaskan kepada
pemahaman ilmu Kalam (ilmu Sifat 20) dan teori Tauhid Wahabi, atau berzikir terus menerus dan
bermujahadah memerangi nafsu (Akidah al-Quran)
telah melahirkan pelbagai aliran atau mazhab akidah dalam kalangan umat
Islam masa kini. Golongan mazhab akidah ahli zahir menumpukan kepada pemahaman
ilmu Kalam (ilmu Sifat 20) dan teori Tauhid Wahabi terhadap pengertian
kalimah tauhid (mendefinasikan Rabb), sifat-sifat Allah dan af’alNya menerusi hujah-hujah logik akal
dan ayat-ayat mutasyabihat supaya terzahir dalam kesedaran akal untuk
menimbulkan keyakinan kepada keesaan Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adakah orang yang hatinya mati
lalu Kami hidupkan dan kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan
hati yang bercahaya dan dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya
kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang
berada dalam berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada
kegelapan itu?”
(Surah al-An’am, ayat:122)
Kepelbagaian aliran atau mazhab dalam akidah ini jarang sekali di dengar
atau diperkatakan pada umum. Ini kerana aspek
ini tidak dibahaskan sama ada mereka jahil atau gerun untuk dibincangkan dalam kalangan ummah. Bagaimanapun,
ianya adalah sesuatu yang amat penting untuk diketahui atau diteliti
sejarah munculnya pelbagai mazhab
akidah dan proses tarbiyah akidah yang dilaksanakan, agar kita tidak tergelincir dari landasan
Akidah al-Quran yang hakiki dalam
penghayatan Islam yang sebenarnya, zahir dan batin/rohani.
Diajar ilmu Akidah tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah dan af’alNya,
padahal penganut-penganut agama lain juga menyatakan sifat-sifat tuhan mereka
seperti ada dan berada di atas langit, mempunyai muka, tangan, mata, rusuk,
boleh turun naik, berkuasa, mendengar atau tidak pekak, melihat atau tidak buta
dan sebagainya yang dilonggokkan pada akal. Apakah beza pegangan orang kafir (terhadap
sifat-sifat tuhan mereka) berbanding akidah
umat Islam di zaman ini yang ditarbiyahkan menerusi ilmu Akidah reka cipta (dilonggokkan pada akal)? Tanpa mereka
(golongan ahli zahir) sedari bahawa pengetahuan sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb (pada
akal) itu tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji) dan
mereka sentiasa gagal untuk mencapai khusyuk hati kepada Allah dan tenggelam
dalam lautan lalai semasa mengerjakan segala amal ibadat.
Inilah dakwah syiar Islam ke atas dua
aspek agama yang berbeza (Syariat
dan Akidah al-Quran), sesuai dan selaras dengan kejadian manusia yang
terdiri daripada jasmani dan rohani,
juga selaras dengan ilmu agama
ada yang zahir dan yang batin. Agama
tidak mengenali adanya sebarang bentuk pemisahan antara dua aspek
agama yang utama itu. Dalam kalangan kebanyakan umat Islam dewasa ini
berlakunya kebinasaan hati (kesesatan) atau memiliki pegangan akidah
ikut-ikutan (taklid) akibat
mengabaikan berzikir mengingati Allah terus menerus. Ternyata golongan ahli
zahir telah terputus tali rohaniah
dengan Allah (kesesatan) atau mengalami
fenomena ‘kekeliruan berakidah’ tanpa disedari kerana mereka telah menetapkan bahawa amalan rohani
Islam (amalan zikrullah) itu tiada
hubung kait dengan pencapaian
kesempurnaan akidah (mengabaikan amalan zikir mengingati Allah). Dengan itu jalan mereka (golongan ahli zahir)
menuju kepada Allah (mendapat rahmat dan keredaanNya) menjadi jauh dan
langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai hingga
seseorang itu mati.
Buku
ini menyentuh mengenai jalan tarbiyah akidah
yang hakiki (Akidah al-Quran) berasaskan kepada perintah Allah S.W.T.,
sunnah Nabi s.a.w., sunnah para sahabat,
amalan rohani tabi’in dan
al-salaf menerusi memperbanyakkan proses menyebut dan mengingati Allah sebagai
pencetus kesedaran hati yang boleh membuahkan suatu keyakinan yang teguh dan
keimanan yang penuh terhadap keesaan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Ini bukan
bererti menolak kemajuan dan tamadun, tetapi ingin memberi penekanan agar umat
Islam berjaya menghayati tasawwur Akidah Islam bagi menjana “rahsia kekuatan
ummah” yang mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun
duniawi (material) yang kukuh. Lebih-lebih lagi amat dikesalkan dan menyedihkan
apabila selama ini amalan
rohani Islam itu sangat terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan.
Malahan ada yang sampai ke tahap
memperleceh, meremehkan dan menafikan kebenaran ilmu dan amalan zikrullah,
justeru itu lantas menolaknya.
Islam
adalah agama Allah, milik Allah. Golongan yang benar-benar tepat menjalani
tarbiyah akidah maka berhak pula dibela, dibantu dan dimenangkan oleh Allah.
Allah berperanan bagi pihak pejuang kebenaran dalam menumpaskan musuh. Kerana
memusuhi kebenaran bererti memusuhi Allah. Umat Islam perlu berusaha dan
melakukan riadah (latihan amalan keroha- nian, iaitu ber‘uzlah)
untuk pengendalian nafsu dan membersihkan sifat-sifat keji bertujuan mencapai
darjat yang tertinggi atau memiliki “rahsia kekuatan ummah” sebagai
menghadirkan sebab untuk tujuan Allah S.W.T. mengurniakan kekuatan, kejayaan
dan kemenangan, iaitu bertepatan dengan landasan akidah yang hakiki (Akidah al-Quran) dalam penghayatan ajaran
Islam yang sebenarnya.
Oleh itu, kita mengharapkan semua perbincangan dan kajian
yang dilakukan dapat menyelesaikan semua permasalahan dan kekeliruan berkaitan
amalan zikrullah (Akidah al-Quran) dapat diperbetulkan, dan sekali gus dapat
menangkis berbagai kekeliruan dan salah faham
yang berlaku sejak sekian lama mengenainya, serta mampu mengembalikan
yang hak (memperbanyakkan amalan zikir mengingati Allah) kepada tempatnya
yang sebenar (Akidah Islam).. Malah lebih dari itu, kita mengharapkan ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf)
dijadikan tunjang pendidikan agama (tarbiyah akidah) di peringkat sistem pengajian pondok,
pusat-pusat tahfiz al-Quran, sekolah-sekolah rendah dan menengah, dan
pusat-pusat pengajian tinggi kerana ia merupakan cara
terpenting menyampaikan seseorang kepada kepada mengenal (makrifah)
Allah iaitu mengukuhkan hubungan ingatan hamba kepada Allah supaya terjalin
ikatan kehambaan yang kukuh dalam dirinya iaitu sentiasa mentauhidkan Allah
dalam setiap detik kehidupannya.
Dengan kembali kepada ilmu dan amalan
(zikrullah) itu dalam arus pendidikan moden, iaitu bahagian utama kehidupan
ini (Akidah Islam), maka baharulah kita dapat menghayati hakikat kesempurnaan
akidah dan selaras dengan penetapanNya bahawa memperbanyakkan berzikir
mengingati Allah yang dituntut oleh al-Quran sebagai satu tuntutan wajib ke
atas setiap mukalaf adalah bertitik
tolak daripada makna teras yang terkandung dalamnya, iaitu sentiasa
mentauhidkan Allah dalam semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi proses
menyebut-nyebut dan mengingati kalimah (Allah) itu.
Seterusnya kami berharap agar buku ini
dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada para pembaca sekalian tentang
tasawwur Akidah Islam yang sebenar. Suasana umat Islam masa
kini amat berhajat kepada tasawwur itu dalam
menyampaikan, menyebarkan dan mentarbiyahkan ajaran Islam kepada manusia.
Hanya dengan tasawwur (Akidah Islam)
yang dianjurkan oleh kitab al-Quran yang dapat menyedarkan mereka
semula setelah sekian lama berada di dalam buaian fikiran jahiliah tajaan
penjajah kuffar yang sentiasa memesongkan mereka daripada pengertian akidah
sebenar (Akidah al-Quran).
Sesungguhnya Akidah Islam yang sebenar
(sentiasa berzikir mengingati Allah), ibadat yang betul dan sahih, akhlak
yang mulia dan hukum hakam yang adil merupakan empat rukun uta- ma yang
diketengahkan oleh al-Quran dalam memberikan tasawwur bagi mencapai binaan
ummah berteraskan Islam yang tulen. Semoga Allah S.W.T. memanjangkan usia kita
dalam berbuat taat kepadaNya dan memudahkan kita untuk mengikuti jalan
kebenaran yang sejati, dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya, dan
tunjukkanlah kepada kami kesesatan yang sebenar dan berilah kami kekuatan untuk
menjauhinya. Kepada para ulama dan
ilmuwan Islam yang telah
mengarang kitab-kitab dan kertas kajian yang menjadi rujukan kami dalam
penyusunan buku ini semoga dicucuri rahmat Allah, aamiin.
Sekian, wassalamu’alaikum.
PERINGATAN
Assalamu'alaikum wbt,
PERINGATAN KEPADA PARA PEMBACA BUDIMAN!
Segala isi kandungan dalam buku ‘Tasawwur Akidah
Islam: Zikrullah Sendi Akidah’ perlu
difahami secara teliti dan berhati-hati kerana ianya melibatkan aspek rohaniah
manusia yang tidak boleh difahami atau dicerap oleh akal yang dilonggokkan dengan hujah-hujah tentang sifat-sifat
Allah (pendalilan akal), teori Tauhid Wahabi dan pengetahuan ilmu Fiqah (fadilat-fadilat dan
hukum hakam segala amal ibadat). Oleh sebab itulah, maka Imam al-Ghazali menegaskan bahawa jalan tarbiyah
ilmu dan amalan tarekat Tasawuf tidak boleh dicapai dengan jalan mendengar dan ta’lim (belajar),
tetapi hanya boleh dicapai dengan cara merasa (sentiasa menyebut dan
mengingati Allah) dan ber‘uzlah
semata-mata. Jalan tarbiyah
(akidah) ini diasaskan dari jalan ‘uzlah Nabi s.a.w. di Jabal Nur dan Nabi Musa a.s.
di bu- kit Tur Sina’ untuk membersihkan
pelbagai hijab hati (sifat-sifat mazmumah) bagi mencapai kesempurnaan
tuntutan penyucian jiwa dan pengabdian diri kepada Allah.
Amalan ber‘uzlah Nabi s.a.w. di
Gua Hira’ selama beberapa tahun dipimpin oleh mursyid baginda, Jibrail a.s.
merupakan asas ilmu Akidah Islam dalam mentarbiyah (akidah) para sahabat r.a.
untuk mencapai kesempurnaan aspek rohani itu. Di zaman yang awal itu tidak ada
kitab-kitab ilmu Kalam, teori Tauhid Wahabi, ilmu Tasawuf, tafsir
al-Quran, ilmu Fiqah dan sebagainya yang digunakan baginda untuk menghuraikan proses penyucian jiwa (rohani). Hakikatnya, dalam tempoh itu tiada
ceramah agama atau bacaan kitab-kitab pada setiap hari dalam bentuk teori atau
slogan untuk mencanangkan sejarah kegemilangan Islam atau ilmu Akidah reka cipta ataupun
pengetahuan ilmu Fiqah (hukum hakam dan fadilat segala amal ibadat)
secara mendalam untuk menyampaikan
seseorang kepada mengenal (makrifah) Allah.
Secara jelas, selama lebih sebelas
tahun Nabi s.a.w. menangani
permasalahan dalaman manusia (akal, nafsu dan hati) di kota Makkah adalah untuk
menyempurnakan elemen-elemen dalaman para sahabat menerusi berzikir
mengingati Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Ternyata proses tarbiyah (Akidah al-Quran) Nabi s.a.w. menerusi berzikir dan
bermujahadah (untuk mencapai kesempurnaan akidah) adalah bertentangan dengan
tarbiyah (akidah) yang dilaksanakan kebanyakan umat Islam dewasa ini yang
dicapai menerusi hujah-hujah dan penghuraian
ilmu Akidah reka cipta (ilmu yang hanya berpaut pada akal atau sekadar
hafalan semata-mata) yang tidak mampu
membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji).
Didasarkan kepada pengalaman ber‘uzlahnya (selama 11 tahun, iaitu
mengambil sunnah tarbiyah akidah Nabi s.a.w. di kota Makkah), maka Imam
Al-Ghazali menyimpulkan bahawa kesempurnaan hati/akidah tidak dapat dicapai
dengan pemahaman ilmu Kalam. Kata beliau:
“Maka
makrifah (kenal) kepada Allah S.W.T., sifat-sifatNya, perbuatanNya dan semua
yang kami nyatakan dalam topik ‘Ilm Mukhasafah (terdahulu) tidak mungkin boleh
dicapai oleh seseorang menerusi (mempelajari) ilmu Kalam. Bahkan kemungkinan besar ilmu Kalam tersebut menjadi penghalang utama yang menghijabkan seseorang
daripada mengenal Allah S.W.T. Sebaliknya, cara sebenar (untuk mengenal
Allah) ialah melalui amalan mujahadah (bersungguh-sungguh berzikrullah) yang
telah dijadikan Allah S.W.T. sebagai permulaan bagi hidayatNya.”
Kenyataan beliau tersebut bermaksud metode pendalilan akal (ilmu Kalam)
dan mendefinasikan Rabb (teori Tauhid Wahabi) sahaja tidak memadai untuk
menjadikan seseorang Muslim mencapai
matlamat bertujuan sampai kepada
mengenal Allah kecuali melaksanakan metode yang
dikemukakan oleh para tokoh Tasawuf
yang didasarkan ke atas al-Quran dan al-Sunnah.
Sebab itu tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam
Shafi’i yang ditarbiyahkan (akidah) dengan jalan ‘uzlah ini menyebutkan:
“Sesiapa
yang mahu Allah S.W.T. bukakan pintu hatinya (kesempurnaan hati) dan diberi
ilmu (secara laduni atau zawqi) maka wajiblah ia ber‘uzlah dan menyedikitkan
makanan dan tidak bercampur dengan orang bodoh dan setengah orang alim yang
tidak ada keinsafan serta tidak ada adab (menafikan tarbiyah ilmu
dan amalan zikrullah).”
Hal demikian menunjukkan bahawa pendirian
para tokoh Tasawuf menjadikan jalan berzikir dan mujahadah (untuk membersihkan hijab hati dan membendung kehendak
hawa nafsu) yang diketengahkan oleh mereka adalah jalan terbaik untuk mencapai
kesempurnaan akidah atau makrifah Allah berpandukan banyak ayat
anjuran berzikir dalam al-Quran. Tanpa ilmu dan amalan zikrullah, jalan menuju
kepada Allah menjadi jauh dan langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin
tidak akan sampai hingga seseorang itu mati.
Jika
timbul sebarang kemusykilan atau kekeliruan, silalah rujuk kepada guru
tarekat Tasawuf atau shaikh mursyid yang memimpin amalan ber‘uzlah.
Setiap fakta atau isu yang mengelirukan dalam ilmu dan amalan zikrullah
(tarekat Tasawuf) mempunyai maksud dan penghuraiannya yang berdasarkan
dalil-dalil al-Quran, hadis-hadis Nabi
s.a.w. dan ijma’ para ulama Tasawuf bagi menjelaskan ketulenan ilmu dan amalan
(zikrullah) ini yang telah lahir bersama kelahiran agama Islam.
Sesungguhnya, su’uzan atau buruk
sangka terhadap orang Islam adalah haram. Mentakwilkan perkataan dan perbuatan
orang Islam itu adalah wajib.
Sekian, wassalamu’alaikum
2 comments:
Assalamualaikum w.b.t kepada tuan admin..
1. dimana boleh saya beli naskah zikrullah neraca keimanan ini? jika tiada dipasaran bolehkah saya print untuk bacaan keluarga.
2. Bolehkan tuan berikan panduan bagamana untuk mencari dan mengenali guru yang murshid..
sekian terima kasih.
Wsalam wbt buat saudara yang mencintai ilmu dan amalan zikrullah.
1)edisi terkini risalah zikrullah neraca keimanan dalam proses percetakan. oleh itu, buat masa kini boleh lah pihak kami emailkan seluruh naskah itu ke alamat email saudara.
2)Maksud guru mursyid adalah semata-mata merujuk kepada guru pembimbing rohani yang mampu menunjukkan jalan yang lurus memerangi nafsu yang keji supaya kita mampu melaksanakan sunnah Nabi SAW, iaitu melaksanakan segala amal soleh yang difardhukan seiring dengan kesempurnaan hati yang dicapai dengan amalan berterusan berzikrullah dan qiyamullail..
3)Mudah-mudahan kita sentiasa di jalan yang benar seiring dengan akidah angkatan umat Islam di zaman yang awal..
4)Wassalam
Post a Comment