Berdasarkan Hadis Jibril a.s. yang bertanyakan
kepada Nabi s.a.w. berkaitan tiga perkara iaitu iman, Islam dan ihsan.
Baginda memberikan jawapan mengenai iman
dengan menyebut rukun iman yang enam, mengenai Islam baginda memberikan jawapan
dengan menyebut rukun Islam yang lima dan mengenai ihsan, baginda bersabda yang
bermaksud,
“Ihsan itu anda beribadat kepada Allah
seolah-olah anda melihatNya. Jika anda tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya
Allah melihat anda.”
Dapat kita simpulkan bahawa pokok ajaran agama
Islam terdiri daripada tiga perkara iaitu Islam rukunnya lima, iman rukunnya
enam dan ihsan rukunnya satu. Oleh sebab itulah, maka para ulama Islam mengijmakkan
bahawa kesempurnaan agama berada dalam tiga asasnya, iman, Islam dan ihsan. Pihak JAKIM juga telah menetapkan bahawa hakikat
Islam terdiri daripada
tiga perkara asas yang utama ini.
Dapat kita simpulkan bahawa pokok
ajaran agama Islam terdiri daripada tiga perkara iaitu:
a)
Beriman kepada rukun iman yang enam.
b)
Beramal soleh berasaskan rukun Islam yang lima.
c) Berzikir terus menerus sehingga hati menjadi mutmainnah,
dan Allah S.W.T. akan menyampaikannya ke darjat ihsan.
Dengan itu dapat kita simpulkan bahawa darjat ihsan atau kesempurnaan
hati/akidah ialah penghayatan iman dan Islam ke tahap yang paling
sempurna. Al-Quran telah menyaksikan kesempurnaan hati para sahabat r.a. itu
seperti firman Allah S.W.T:
وَالسَّابِقُونَ
الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم
بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ
Maksudnya:
“Orang-orang
Islam yang dahulu dan yang mula-mula (beriman) dari kalangan Muhajirin dan
Ansar serta mereka yang mengikut jalan itu dengan ihsan (kesempurnaan akidah), Allah reda terhadap mereka dan mereka
reda terhadap Allah.”
(Surah
al - Taubah, ayat: 100)
Sabda Nabi s.a.w. “seolah-olah
anda melihatNya,” inilah yang diistilahkan oleh seseorang itu berada di
dalam keadaan fana’. Bila keluar dari fana’ maka orang tersebut
diistilahkan berada dalam keadaan baqa’billah iaitu yang diistilahkan
dalam hadis itu, “jika anda tidak melihatNya, maka Allah S.W.T. melihat
anda.” Seseorang yang berada dalam
keadaan baqa’billah sememangnya diselubungi oleh pengalaman rohaninya
semasa fana’. Oleh kerana itu ia
terasa Allah sentiasa melihatnya, mendengar bisik hatinya, mengetahui segala
rahsia hatinya. Bahagian ihsan inilah yang dinamakan hakikat dan
makrifat.
Apakah yang
diterima oleh orang yang difana’kan
oleh Allah? Ketika itulah dia akan mendapat kurnia peningkatan ilmu dan
kefahaman tauhid ke tingkat hakikat dan makrifah secara laduni
yang terus dari Allah. Ilmu dan kefahaman Akidah dapat dicapai secara kasbi
(usaha dan ikhtiar manusia), hakikat dan makrifah dicapai secara wahbi
(kurnia terus).
Al-fana’fillah
dari sudut bahasa bermakna hilang, lenyap dalam rahsia perbuatan atau sifat-sifat
Allah. Hati, ingatan, kesedaran tenggelam sepenuhnya dalam mengingati Allah
sahaja tidak ada yang lain dalam hati, ingatan dan kesedaran. Dalil adanya
fana’ ialah ayat 143 surah al-A’raf:
فَلَمَّا تَجَلَّى
رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكّاً وَخَرَّ موسَى صَعِقاً فَلَمَّا أَفَاقَ
Maksudnya:
“..Maka apabila Tuhannya (Allah S.W.T.)
mentajalli (menzahirkan ayat/nur/sifat wujudNya) dalam pandangan roh
Nabi Musa menerusi bukit (Tur Sina’) itu, menjadikan bukit itu lenyap (dalam pandangan mata kepala
Nabi Musa) dan Nabi Musa jatuh pengsan (jadi fana’).” (Surah
al-A’raf, ayat: 143)
Pengsan dalam ayat ini adalah
pengsan majazi bukan pensan hakiki, sebab ingatan dan kesedaran Nabi Musa a.s.
tidak hilang seperti orang yang pengsan sebenar, tetapi sebaliknya tetap ingat dan sedar, malah kian kuat dan
segar ingatan beliau. Sebab itu setelah beliau keluar dari fana’ tidak
kebingungan (orang yang pengsan bila sedar, kebingungan) dan terus menyebut:
“Maha Suci Engkau ya Allah, aku benar-benar kembali dan serah diri (zahir
batin) kepada-Mu dan (sekarang ini) aku (rasa) berada dalam permulaan
sebenar-benar mukmin.”
Nabi s.a.w. melaksanakan
tugas dan tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam dan mentarbiyah orang ramai
dalam penghayatan Islam yang sebenar (Syariat dan Akidah al-Quran), meliputi
amal ibadat/Syariat Islam dan amalan zikrullah/Akidah al-Quran selaras dengan
kejadian manusia yang terdiri daripada jasmani/jasad dan roh/hati. Akidah
al-Quran adalah akidah Rabbani, diceduk dari kalam Allah yang tiada kebatilan
padanya iaitu al-Quran yang terpancang kukuh dengan memperbanyakkan berzikir
mengingati Allah sebagai satu instrumen penting
bagi membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah Allah, di
samping dapat membersihkan jiwa pelakunya daripada pelbagai sifat kecelaan
dan menghiasinya pula dengan pelbagai sifat mulia.
Para sahabat merupakan pewaris Nabi s.a.w. yang
dapat mewarisi berbagai ilmu, makrifat, taqwa, iman dan akhlak yang sempurna.
Mereka juga berkewajipan menjalankan tugas mendidik, mengasuh, memimpin dan
menyeru manusia untuk beriman dan beramal soleh. Mereka sentiasa istiqamah
dalam bertaqwa pada zahir dan batin/akidah (syariat dan akidah). Sentiasa terbuka hijab hati (memiliki
pandangan mata hati) dan dapat makrifat yang sempurna serta dapat menguasai
diri dan dapat menentang berbagai-bagai
kehendak hawa nafsunya dan dapat pula mengukuhkan akidah dengan kehendak
dan kekuasaan (hidayahNya) semata-mata.
Inilah golongan yang sentiasa memilih dan menghayati perkara yang terbaik pada
zahir (menjauhi segala larangan Allah dan melakukan segala suruhanNya) dan
rohani (darjat ihsan). Rohani mereka sentiasa memandang Allah dan tidak memandang atau tertarik
perhatiannya terhadap sesuatu yang lain daripada Allah. Oleh itu, mereka
sentiasa reda dan menerima sepenuh hati apa yang berlaku, baik nikmat atau
bala, kerana tidak ada sesuatu yang berlaku kecuali dengan kehendak dan
kekuasaan Allah S.W.T.
Jelas sekali menerusi penelitian terhadap pelbagai
pandangan serta saranan para ulama Tasawuf, maka terserlah kepentingan dan
kedudukan amalan zikrullah dalam displin ilmu Tasawuf. Ia dilihat sebagai
instrumen penting dalam hubungan membentuk seorang insan kamil yang
diistilahkan oleh Nabi s.a.w. sebagai ‘seorang yang seolah-olah melihat
Allah ketika beribadat serta yakin bahawa Allah melihatnya.’ Kenyataan
Hadis di atas secara tidak langsung menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. merupakan
insan pertama mencapai status kesempurnaan ibadat yang dimaksudkan itu. Ihsan
merupakan darjat iman tertinggi yang boleh dicapai oleh hamba Allah. Maksud
sebenar ihsan dalam konteks tersebut ialah, penyaksian hamba terhadap
keagungan serta kesempurnaan Allah (syuhud) dan merasai kehadiranNya
dalam semua keadaan sekali pun berada di tengah-tengah urusan duniawi yang
diharuskan (sentiasa mengesakan Allah S.W.T. dalam semua keadaan). Malah rasa
kasih terhadap urusan duniawi pada hakikatnya merupakan satu pentajalian (tajalli)
kesempurnaan Allah yang tersirat disebaliknya, bukan pula kerana urusan itu.
Hati mereka tertarik kepada kehidupan akhirat yang abadi, melupakan kehidupan
duniawi yang sementara yang penuh tipudaya.
Pentafsiran ihsan sebagai ibadat dalam
konteks Hadis tersebut dapat difahami bahawa seseorang yang berada pada darjat
ihsan, semua perbuatan dan amalan yang dilakukan sama ada dalam bentuk
perlakuan seperti makan minum, bercakap, berniaga, suka duka, marah dan
sebagainya adalah menjadi suatu ibadat kepada Allah. Sehubungan itu,
kesempurnaan beribadat sebagaimana yang digambarkan Nabi s.a.w. dalam Hadis
jika diteliti, telah dicapai oleh baginda semenjak penerimaan wahyu pertama
lagi.
Wahyu pertama diturunkan kepada Nabi s.a.w., iaitu
suruhan ‘bacalah dengan nama Tuhanmu Allah’ telah memberi impak besar
yang sangat mendalam terhadap seluruh kehidupan baginda dari aspek kerohanian.
Bagi mengukuhkan lagi fakta tersebut, ‘Aishah r.a. pernah meriwayatkan Nabi
s.a.w. sentiasa menyebut serta mengingati Allah dalam semua detik ketika dan
semua keadaan yang dipamerkan oleh baginda. Apabila meneliti semula Sunnah Nabi
s.a.w., didapati baginda mengajar umatnya mengingati Allah bermula dari pekara
yang dianggap paling remeh seperti sewaktu keluar masuk tandas hingga kepada
semua urusan lain yang lebih penting, dan kesemuanya itu berada dalam ruang
lingkup mengingati Allah S.W.T.
Sehubungan dengan itu, tuntutan wahyu pertama
tersebut, dilihat bukan hanya terlaksana dengan sebutan lisan sebagaimana
difahami secara literal nas. Secara isyarat wahyu pertama tersebut telah
membayangkan bahawa ia merupakan satu talqin daripada Allah kepada Nabi
s.a.w. supaya berada dalam maqam Billah, iaitu suatu hal iman yang
dirasakan segala tindak tanduk dan gerak laku Nabi s.a.w. pada hakikatnya
adalah dengan Kudrat dan Iradat Allah. Hal iman di peringkat Billah dimaksudkan
menurut perspektif Tasawuf yang juga dikenali sebagai darjat ihsan
berdasarkan Hadis yang lepas, merupakan satu tahap tertinggi yang dimiliki oleh
seseorang hamba Allah. Maqam Billah atau darjat ihsan dimaksudkan juga
pernah digambarkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Maka apabila Aku kasih kepadanya,
Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya,
tangan dan kaki yang digunakannya untuk menepuk dan berjalan.”
Oleh itu, untuk mencapai maqam Billah atau
darjat ihsan tersebut, maka para ulama Tasawuf menjadikan amalan zikrullah sebagai satu
wasilah menyampaikan mereka kepada tujuan yang dimaksudkan. Nas ‘iqra’ bismi
Rabbik telah difahami sebagai satu anjuran menyebut nama Tuhan Allah
atau membawa Nama-nama Allah serta mengulanginya secara berterusan sehingga terpancar
makna kebersamaan Allah (Billah) dalam segala gerak laku dan tindak
tanduk seseorang hamba. Fahaman tersebut berasaskan lafaz ‘iqra’ membawa
makna ‘udhkur’ manakala huruf al-ba’ dalam perkataan bismi
membawa makna kelaziman dan berulangan (al-mulazamah wa al-tikrar).
Bertitik tolak daripada asas tersebut, para ulama Tasawuf sebagaimana dalam
pelbagai kenyataan lepas menyarankan supaya memperbanyakkan berzikir mengingati
Allah bagi mencapai iman di peringkat atau darjat ihsan seperti
kenyataan yang diganbarkan oleh al-Junayd:
“Seseorang yang berzikir dengan
Ism al-Dhat (Allah..Allah ..Allah) pergi meninggalkan diri serta berhubung
dengan Tuhannya, menunaikan hak Ketuhanan dan memandangNya dengan hati. Nur
syuhud telah melenyapkan segala sifat bashariyyahnya.”
Dengan memperbanyakkan menyebut dan mengingati Allah merupakan jalan yang amat berkesan dalam hubungan mengenal
(makrifah) Allah serta
sifat-sifat kesempurnaan dan keagunganNya. Allah akan limpahkan suatu nur khusus (nur
zikrullah) ke dalam ruang hati yang menyampaikan hati seseorang ke tingkat hakikat
dan makrifatullah, atau menyampaikannya ke darjat ihsan. Di
peringkat inilah biasanya orang tersebut mengalami fana’ dan
kemudiannya diletakkan oleh Allah dalam
keadaan baqa’, maka ia menjadi seorang muhsin. Setelah menjadi seorang
muhsin baharulah Allah kurniakan sifat ikhlas
dalam hati. Orang yang berhati ikhlas sangat istimewa di sisi
Allah. Oleh itu, hati yang ikhlas hanya
dikurniakan oleh Allah apabila
seseorang terus menerus berzikir dan mujahadah, dan mencapai darjat ihsan.
Ketiga-tiga syarat
tersebut disebutkan Allah dalam firmanNya yang bermaksud:
“Mereka
adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka
dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati
manusia.”
(Surah Ar-Ra’d: ayat 28)
Jika meneliti pelbagai
kenyataan tokoh Tasawuf dalam menghuraikan isu-isu berhubung dengan displin
ilmu Tasawuf, kenyataan mereka hanya difokuskan untuk mencapai satu matlamat
utama, iaitu darjat ihsan dalam ubudiyyah kepada Allah S.W.T.
Istilah-istilah yang digunakan dalam Tasawuf seperti al-fana’, al-baqa’,
al-sukr, al-jam’, al-faruq dan juga zikir Ism al-Dhat
adalah merujuk kepada proses-proses bagi mencapai maksud tersebut.
Kemudian jalan tarbiyah
akidah (berzikir dan mujahadah) ini diajarkan kepada tabi’in sehingga ia
menjadi amalan biasa yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang
awal untuk mencapai kesempurnaan akidah. Inilah golongan umat Islam yang
merupakan umat yang telah benar-benar berjaya menghayati jalan agama Islam itu
dan sampai ke darjat ihsan.
Malah, inilah golongan
orang-orang yang terbaik yang hampir
kepada Allah dan mendapat keredaanNya.
Malah, jalan tarbiyah untuk mencapai
darjat ihsan itu bukanlah semudah seperti apa yang difikirkan dan
diamalkan oleh golongan ahli zahir iaitu sekadar menyebut maksud darjat
tertinggi (ihsan) itu tanpa
menjalani tarbiyah ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf). Oleh kerana
itu, maka kebanyakan umat Islam masa kini hanya dapat menghayati dua asas
daripada tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman sahaja. Kerana itulah
mereka tidak akan dapat menghayati darjat ihsan melainkan mereka belajar dan beramal dengan
ilmu dan amalan tarekat Tasawuf seperti yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.
yang bermaksud:
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk
mengkhusyukkan hati mereka dengan mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah
al-Hadid, ayat: 16)
Realitinya umat Islam
dewasa ini semakin jahil untuk memahami dan menghayati hakikat intisari agama
Islam yang sebenar seperti yang difahami dan dihayati oleh orang-orang Islam
pada zaman yang awal itu. Mereka (generasi umat Islam di zaman yang awal) tidak
memerlukan pelbagai ilmu dan kefahaman Islam seperti ilmu Fiqah, Sejarah Islam,
Tamadun Islam, ilmu Tasawuf, ilmu Hadis, ilmu Tafsir, sirah Nabi s.a.w., ilmu
Kalam, teori Tauhid Wahabi, ilmu Dakwah dan sebagainya untuk menghuraikan dan
memperincikan ilmu dan amalan Islam di zaman
itu. Oleh sebab itulah, maka perkembangan ilmu dan kefahaman agama masa
kini tidak dapat dijadikan ukuran
tentang adanya perkembangan, dan kemajuan ilmu dan amalan Islam yang pesat,
yang semakin unggul dan sempurna dalam kalangan ummah, kerana mereka semakin
jahil untuk memahami dan menghayati hakikat intisari ajaran Islam yang
sebenar-benarnya seperti yang difahami dan dihayati oleh generasi umat Islam
pada zaman awal itu. Ilmu dan amalan kerohanian Islam apabila semakin jauh
ditinggalkan oleh zaman Nabi s.a.w. dan zaman sahabat menjadi kian malap dan
menurun keunggulannya, kian pudar cahaya kegemilangannya sehingga akhirnya
nanti akan hilang sama sekali.
Oleh sebab itulah, maka
kesempurnaan aspek rohaniah itu menjadi
syarat utama untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Bila
sampai ke darjat ini, maka rasa dalam
rohani wujud Allah yang jelas iaitu
hati sentiasa menghayati Allah
atau terbuka hijab hati, maka hati bukan hanya hidup dan terjaga, tetapi
pandangan mata hati (basirah) akan menjadi terang dan dapat musyahadah terhadap
apa-apa yang Allah kehendaki atau
kurniakan kepadanya. Ketika mata hati itu musyahadah, maka seluruh
kesedaran rohaninya hanya tertumpu kepada Allah semata-mata.
1.
Pencapaian Darjat Ihsan Di
Kalangan Para Sahabat r.a.
Generasi umat Islam yang awal terutamanya para sahabat lebih sempurna taqwa
mereka, kerana lebih memahami hakikat Islam, sama ada yang tersurat mahupun
yang tersirat atau yang zahir mahupun yang rohani/akidah. Malahan kejayaan para sahabat mencapai ke darjat ihsan menjadi penjana
“rahsia kekuatan ummah” itu sehingga
Allah menganugerahkan keredaanNya kepada mereka di dunia ini di atas kejayaan melaksa- nakan syiar Islam. Oleh
kerana itulah, maka dakwah Islam yang tepat dan benar ialah dakwah yang mampu
mendidik nafsu ummah agar tunduk terhadap syariat Allah dan membawa umat Islam
sampai ke darjat yang tertinggi atau memiliki “rahsia kekuatan
ummah”, dan memiliki sifat taqwa yang
sebenar dan akhlak yang mulia. Para sahabat yang berjuang bersama Nabi s.a.w.
telah merelakan dan mengorbankan apa saja termasuk nyawa demi kemuliaan agama
Allah. Mereka telah memilih dan merelakan diri mereka susah, sengsara dan
menderita demi untuk meraih kesejahteraan abadi iaitu mendapat keredaan Allah
S.W.T.
Golongan yang akan
menyusul kejayaan mereka nanti
adalah golongan yang dapat berjuang dengan bersungguh-sungguh melaksanakan
segala amal ibadat yang difardukan selaras dengan memiliki darjat yang
tertinggi (darjat ihsan). Begitulah seterusnya keadaan generasi umat
Islam yang kemudian hingga sampai datangnya hari kiamat, mereka itu mestilah
mengikuti displin keilmuan dan keimanan yang diwariskan oleh Nabi s.a.w.
Sebaliknya, kebanyakan umat Islam masa
kini hanya sekadar melaksanakan amal
ibadat atau syariat semata-mata tetapi menyingkirkan pencapaian darjat ihsan
(kesempurnaan akidah) yang difardukan oleh Allah S.W.T. Kekeliruan
terhadap dua aspek agama yang utama (Syariat dan Akidah al-Quran) menyebabkan golongan ahli zahir
ini terus mengabaikan amalan
zikir mengingati Allah. Malahan memperbanyakkan proses menyebut dan
mengingati Allah adalah amalan yang sangat
penting dalam Islam kerana telah dianggap sebagai cara yang menyampaikan
seseorang kepada mengenal Allah yang menjadi tonggak utama dalam Akidah
al-Quran.
Umat Islam bebas memberi apa sahaja maksud atau
penghuraian tentang pengertian “akidah” kerana nama atau istilah
itu tidak muncul seiring dengan dakwah keimanan (aspek rohani) Nabi s.a.w.,
para sahabat dan al-salaf. Bidang ilmu dan amalan (akidah) ini di peringkat awal dakwah Nabi s.aw. lebih
dikenali sebagai ilmu al-Yakin, ilmu al-Ikhlas, ilmu al-Hal, ilmu al-Batin,
ilmu al-Qulub, ilmu al-Ihsan, ilmu al-Tariqah, ilmu al-Iman
dan sebagainya lagi, dan semuanya itu adalah merupakan perkataan berlainan
tetapi merujuk kepada satu makna. Hakikatnya, Allah S.W.T. hanya memerintahkan
umatNya supaya memperbanyakkan proses menyebut dan mengingatiNya sebagai satu
instrumen utama yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim dalam usaha
penyempurnaan tuntutan makrifah (mengenal) Allah dalam Akidah al-Quran.
Amalan ini diamalkan oleh Nabi s.a.w.,
diajar kepada para sahabat
sehingga menjadi amalan biasa
yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat
Islam di zaman yang awal.
Sebaliknya, dengan manipulasi oleh para orientalis, dibantu oleh
pelbagai diayah atau buruk sangka atau- pun fitnah oleh para ulama dan ilmuwan
ahli zahir (menguasai dakwah akidah di
negara-negara Islam) terhadap ilmu dan
ama- lan tarekat Tasawuf, maka maksud dan hakikat sebenar jalan tarbiyah
(amalan zikrullah) untuk mencapai darjat ihsan atau kesempurnaan hati
telah lenyap daripada kalangan ummah.
Oleh sebab itulah, maka musuh-musuh Islam ini
terus melancarkan serangan terhadap golongan tasawuf dengan menyatakan bahawa ilmu
dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) adalah rekaan golongan ini semata-mata
yang tidak diperakui sebagai aspek agama yang terpenting iaitu tonggak utama
dalam Akidah al-Quran. Jika diterima pun,
amalan zikir kepada Allah
hanyalah dianggap sekadar amalan sunat semata-mata sebagai mana ibadat
sunat lain-lainnya seperti sentiasa membaca pelbagai doa atau wirid-wirid, menyimpan
janggut, berserban, bersugi, berpoligami, pakaian berjubah dan sebagainya
dengan kepentingannya yang sangat kecil seolah-olah amalan zikrullah ini adalah
perkara furu’ (cabang). Kegiatan yang dilaksanakan dalam usaha ini
dilakukan untuk menyelewengkan umat Islam daripada tasawwur Akidah al-Quran
yang sebenar, mengubah matlamatnya
daripada dasarnya yang asal (amalan
zikrullah). Inilah
persimpangan jalan antara tasawwur
Akidah al-Quran dengan akidah jahiliah (ilmu Akidah reka cipta).
Apabila segala sifat dan faktor tersebut telah
sebati dalam pemikiran umat Islam, maka lahirlah generasi umat Islam yang kabur
dan memiliki tasawwur sempit terhadap Akidah Islam. Lanjutan daripada itu
wujudlah kalangan ulama yang sentiasa cuba menokok tambah ke dalam Akidah
al-Quran ini dengan pelbagai bentuk atau jalan tarbiyah akidah reka cipta dan
pada masa yang sama pula cuba menyingkirkan amalan zikrullah daripada ajaran
Islam yang menjadi tonggak utama dalam akidah ummah. Perkara-perkara yang sepatutnya
diutamakan sengaja diabaikan, manakala perkara yang remeh-temeh atau sun- nah
yang zahir sengaja diperbesarkan hingga kadang-kadang terkeluar daripada garis
yang telah ditetapkan oleh sunnah. Mereka beranggapan perkara kecil (sunnah
zahir) itu perlu dilihat dengan kanta pembesar (mikroskop), sementara
perkara-perkara yang menjadi asas (amalan zikir mengingati Allah) dalam Akidah
al-Quran ini pula dilihat dengan sebelah mata tanpa pandangan yang sewajarnya
dan tidak mendapat tempat dalam pemikiran dan amalan umat Islam masa kini.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Bahawa sebahagian
ulama besar berkata: “Sesiapa yang
disibukkan dengan perkara yang wajib dengan melengahkan perkara yang sunnah
zahir, maka dia ma’dzur (dimaafkan). Dan sesiapa yang disibukkan dengan perkara
yang sunnah zahir dengan melengahkan perkara yang wajib, maka dia maghrur
(tersesat).”
Darjat ihsan atau kesempurnaan hati/akidah inilah yang menjadi penjana “rahsia kekuatan
ummah” bagi generasi umat Islam di zaman yang awal itu. Menjadi rahsia untuk
menuju kegemilangan ummah kerana selama ini perkara ini seolah-olah terpinggir
dan terabai, dilupakan dan tidak dipedulikan oleh umat Islam, khususnya ummah
dewasa ini. Rahsia ini seolah-olah tidak diketahui oleh umat Islam walaupun
mereka yang mengaku diri mereka ulama, ilmuwan, sarjana atau pejuang Islam.
Hakikatnya, “rahsia kekuatan ummah” atau darjat yang tertinggi (darjat ihsan)
ini mesti dimiliki semula oleh umat Islam demi Allah S.W.T., Rasul, agama dan
demi kepentingan dan keagungan ummah kali kedua. Ternyata pendekatan (Akidah
al-Quran) itu telah berjaya membina daya tahan dan daya juang para sahabat dan
generasi umat Islam yang awal. Mereka teguh mempertahankan Islam. Mereka mahu
melihat Islam berkembang ke seluruh alam, walaupun mereka derita dan sengsara
kerananya.
Pandangan basirah (mata hati) menjadi
neraca kesempurnaan akidah bagi umat Islam di zaman Nabi s.a.w., para sahabat,
tabi’in dan al-salaf. Generasi umat Islam pada zaman yang awal memahami hakikat Islam yang mudah dan juga
hakikat-hakikat Islam yang sukar dan sulit. Misalan amalan yang mudah ialah
pertanyaan khabar seseorang apabila bertemu dengan para sahabat yang lain. Mereka akan memberi jawapan samada mereka
beriman atau sebaliknya (munafik) berdasarkan kepada sampai ke darjat ihsan
atau memiliki pandangan mata hati (basirah) yang dicapai menerusi tarbiyah
berzikir dan mujahadah. Malahan
amalan ini sudah menjadi amalan biasa yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang
awal. Ini telah digambarkan di dalam
kitab, ‘Qut-ul-Qulub’ oleh Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 368 H.):
Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada Harithah bin
Malik al-Ansari r.a.:
“Bagaimanakah
keadaan engkau di pagi hari ya Harithah?”
Jawab Harithah r.a.:
“Di waktu
pagi hari saya berada di dalam keadaan benar-benar beriman.”
Nabi s.a.w. bersabda lagi,
“Apakah
hakikat (kebenaran) pengakuan keimanan engkau bahawa engkau beriman dengan
sebenar-benarnya?’’
Jawab Harithah r.a.:
“Ya
Rasulullah, nafsuku lari dari dunia, malam aku berqiyamullail, aku berpuasa di
siang hari sehingga aku seolah-olah nampak (pandangan mata hati) penghuni
syurga sedang menikmati berbagai kesenangan dan penghuni
neraka yang sedang meraung penuh azab.”
Ujar Nabi s.a.w.:
“Wahai
Harithah, engkau telah dapat makrifah (sempurna keimanan) maka hendaklah engkau
pegang kukuh (iman engkau itu).”
Sebaliknya,
apabila terdapat dalam kalangan
para sahabat tidak dapat melihat alam ghaib (alam malakut) mereka akan
menghukum diri mereka sebagai munafik iaitu terhijab pandangan mata hati (basirah).
Ini dinukilkan oleh Hanzalah r.a. tentang pengalaman beliau dan Abu Bakar
al-Siddiq r.a. yang diceritakan oleh Hanzalah r.a. sendiri:
“Dari
Hanzalah r.a., ia berkata: Abu Bakar r.a telah menemui aku. Ia pun bertanya:
Bagaimana keadaan iman engkau ya Hanzalah? Aku pun menjawab: Hanzalah telah
munafik. Abu Bakar pun menyebutkan: Subhanallah, apakah yang engkau katakan ya
Hanzalah? Aku berkata: Kita ketika berada di sisi Rasulullah s.a.w., baginda
itu mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, kita seolah-olahnya (pandangan
mata hati), melihat syurga dan neraka
itu dengan mata kepala, bila kita
berpisah dengan Rasulullah s.a.w., kita
pun sibuk dengan isteri-isteri,
anak-anak dan kerja-kerja kita, maka kita lupa semuanya tidak boleh ingat seperti
berada di hadapan baginda lagi. Abu Bakar berkata, Demi Allah kami pun
mengalami seperti cerita engkau ini.”
Menurut Shaikh Abu Talib al-Makki,
umat Islam di zamannya sudah tidak dapat memahami maksud pertanyaan seumpama (pandangan mata hati) itu, mereka sudah
menghubungkait dengan berbagai-bagai masalah kehidupan dunia. Oleh sebab
itulah, maka beliau menegaskan bahawa sesiapa yang bertanya kepada seseorang
bermaksud untuk mendapat tahu hal-hal keduniaan maka hukumnya haram. Apabila
ummah sudah tidak memahami hakikat akidah (pandangan basirah), ternyata mereka (umat Islam) sudah mengabaikan dan menafikan
tarbiyah ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf). Golongan Muhaddithin
(ahli Hadis), fahaman Muktazilah dan mazhab Asy’ariah-Maturidiah merupakan mazhab akidah ahli zahir yang silih berganti menguasai dakwah akidah umat
Islam pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Mazhab-mazhab (akidah) ini berjaya mendapat tempat di sisi pemerintah dan berkembang dengan
pesat dalam kalangan ummah dalam tempoh tertentu. Ini juga menunjukkan bahawa
mazhab Wahabi (teori Tauhid Wahabi) dan jemaah Tabligh belum muncul dalam
Islam.
Hujjatul Islam dan Hujjatul Tasawuf, Imam
al-Ghazali (w. 505 H.) menjelaskan tentang natijah berzikir dan mujahadah yang
dilaksanakan oleh golongan Tasawuf
adalah untuk mem- bersihkan pelbagai hijab hati supaya dapat
musyahadah terhadap apa-apa yang Allah S.W.T. kehendaki atau kurniakan kepada hati mereka. Kata beliau:
“Dari masa permulaan menjalani jalan (tariq) ini, orang
sufi sudah mengalami mukasyafah dan musyahadah. Pada waktu jaga (bukan mimpi) mereka bukan sahaja boleh
melihat (pandangan mata hati) rupa malaikat dan roh nabi-nabi tetapi juga dapat
mendengar suara memperolehi petunjuk dari mereka. Dari tahap musyahadah iaitu
melihat segala macam rupa dan contoh
itu, naik lagi ke tahap-tahap yang lebih tinggi dan tidak dapat lagi
digambarkan dengan perkataan (akal). Jikalau dicu- ba juga menggunakan
perkataan (akal) pasti akan menimbulkan salah faham yang tidak mungkin dapat
dielakkan.”
(Kitab Al-Ghazali: Al-Munqidh mana’d-Dalal:
m.s.60)
Hakikatnya, kebanyakan umat Islam dewasa ini amat sukar untuk mengakui kenyataan
hakikat beriman atau sebaliknya (munafik) secara nyata berdasarkan kepada
pencapaian pandangan mata hati (basirah)
akibat menjalani tarbiyah ilmu
Akidah reka cipta (mengabaikan amalan zikrullah), lantas menjadikan mereka
terhijab hati (kesesatan), iaitu tidak
dapat musyahadah terhadap apa-apa yang Allah kurniakan kepada hati. Pandangan berkenaan
dikukuhkan lagi dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan
penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat:10)
2. Syariat
dan Hakikat
Adanya kejadian manusia
terbahagi kepada dua bahagian iaitu zahir dan batin. Zahir manusia ialah tubuh
atau jasadnya. Terdapat mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut, jantung,
paru-paru dan sebagainya. Di namakan dengan lain-lain nama didasarkan kepada
kegunaannya yang berlainan.
Begitulah juga roh atau
batin manusia ada berbagai anggota batin yang disebut sodrum, qalbun,
fuadun, shaghafun, lubbun dan sirrun. Semua nama-nama bahagian batin
manusia merupakan
kejadian Allah yang sama, dinamakan dengan nama berlainan seperti nama-nama
anggota zahir manusia tersebut. Menurut Imam Ghazali semuanya itu adalah Nurun
Latifatun Rabaniyyun (Nur rahsia yang sukar diketahui yang dirujuk kepada
urusan Allah S.W.T.).
Selain daripada
nama-nama anggota batin tersebut ada satu lagi nama yang sangat penting untuk
kita ketahui ialah basirah atau mata hati atau pandangan hati ataupun
pandangan batin. Jika pandangan mata kepala (basar), untuk melihat
perkara-perkara yang zahir di alam nyata, maka pandangan mata hati (basirah)
adalah untuk melihat perkara-perkara batin atau yang ghaib ataupun alam malakut.
Dengan tujuan memudahkan orang ramai untuk memahaminya, maka sesetengah ulama
Tasawuf meringkaskan nama-nama tersebut dengan menumpukan kepada tiga sahaja
iaitu qalbun (hati), ruhun (roh) dan sirrun (lubuk hati).
Hati (qalbun) fungsinya untuk memahami ilmu, terutamanya yang sukar diterima
oleh akal (al-qalb lilmafhumat). Roh untuk musyahadah (al-roh
lilmusyahadah). Sirr untuk menerima dan menyimpan tajalli (al-sirr
liltajalliyat).
Adanya kejadian manusia
seperti yang disebutkan adalah sangat sesuai dengan ilmu agama yang disyaratkan
kepada Nabi s.a.w. yang meliputi zahir dan batin (rohani). Dalam ilmu tasawuf dikenali sebagai syariat dan hakikat. Adanya
syariat dan hakikat dalam agama kita dapat lihat dari berbagai sudut. Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Saiyyidina Umar al-Khattab r.a. yang terkenal, di
mana Jibril a.s. berdialog dengan Nabi s.a.w., antara lain perkara yang didialogkan
ialah mengenai iman, Islam dan ihsan.
Rukun Islam yang lima adalah
merupakan sebahagian amalan yang terdiri daripada berbagai perkara mengenai
ibadat, muamalah, munakahat dan jinayat. Tumpuannya ialah pada zahir, jasmani
atau tubuh badan manusia. Ilmunya dinamakan Fiqah dan ulamanya dikenali
sebagai Fuqaha. Rukun iman ada enam adalah sebahagian kepercayaan pada akal.
Ilmunya dina- makan ilmu Tauhid. Ihsan pula adalah merupakan ilmu batin
atau roh kerana Nabi s.a.w. menjelaskan ihsan itu ialah anda beribadat
kepada Allah seolah-olah anda
melihatnya. Jika tidak, sesungguhnya Allah
melihat anda.
Oleh itu ilmu Fiqah dan
Tauhid yang dihuraikan dalam kitab-kitab itulah ilmu zahir atau syariat,
sebaliknya ilmu yang berkaitan dengan muqamat, ahwal dan perkara-perkara
adhwa- qiyah, ilmu wahbi (zawq) dan sebagainya itu dinamakan ilmu
hakikat.
Al-Quran juga ada
menyatakan tentang syariat dan hakikat ini melalui firmanNya yang bermaksud:
“Maka
Maha Sucilah Allah S.W.T. yang di dalam kekuasaannya malakut bagi setiap
sesuatu dan kepadaNya kamu kembali.”
(Surah
Yasin, ayat: 83)
Malakut
yang tersebut di dalam ayat di atas ialah hakikat, hakikat sesuatu yang wujud
atau kejadian itu dalam kekuasaan Allah S.W.T. Banyak ayat-ayat lain yang
menunjukkan adanya hakikat.
Kita juga boleh pastikan
adanya hakikat dengan melihat ayat-ayat Allah . Ayat-ayat Allah ada tiga jenis
iaitu ayat-ayat yang dibaca (al-matluwah), iaitu ayat-ayat al-Quran,
ayat-ayat yang dilihat dengan mata kepala (al-Mariyah) dan ayat-ayat
yang dilihat dan disaksikan oleh roh atau oleh pandangan mata hati atau basirah
(al-Masyhudah). Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Tidakkah
mereka (orang-orang kafir) melihat burung di atas kepala mereka terbang dengan mengembangkan
dan menguncupkan sayapnya, tidak ada yang memegang atau menerbangkan burung itu
kecuali (kekuasaan) Allah S.W.T. yang bersifat al-Rahman.”
(Surah
al-Mulk, ayat: 19)
Ayat al-Quran tersebut
adalah ayat yang dibaca, burung terbang dengan sayapnya adalah ayat yang
dilihat dan dirahsiakan oleh kehendak dan kekuasaan Allah, berserta
perbuatanNya adalah ayat yang dimusyahadahkan oleh roh atau pandangan basirah.
Istilah hakikat telah
pun digunakan oleh Nabi s.a.w. Dalam sirah Nabi s.a.w. kerap juga baginda
bertanya mengenai hakikat sesuatu. Misalnya baginda s.a.w. bertanya kepada
Harithah bin Malik: “Ya Harithah, sesungguhnya tiap-tiap ucapan ada hakikatnya,
maka apakah hakikat ucapan engkau bahawa engkau beriman dengan
sebenar-benarnya?”
Harithah menjawab: “Ya
Rasulullah, nafsuku lari dari dunia, malam aku berjaga (qiyamullail), siangku
berpuasa sehingga seolah-olah aku nampak (pandangan basirah) penduduk syurga
sedang menikmati berbagai kesenangan dan aku juga nampak penghuni neraka yang
sedang meraung penuh azab.”
3. Hati
Yang Dihidupkan (Bercahaya)
Kebaikan dan kejahatan
seseorang bergantung kepada baiknya hatinya. Hati adalah sebagai sumber yang
menerbitkan berbagai-bagai amalan zahir. Sedang anggota-anggota lainnya hanya
berbuat sesuatu dan bekerja sebagai anggota tenteranya. Walaupun cuma seketul
daging, tetapi hati memegang peranan penting dalam menggerak atau
memberhentikan, memperelok atau mencederakan perbuatannya.
Nabi s.a.w bersabda yang
bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad
(manusia) itu, apabila ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak
maka rosaklah jasad keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.”
Hati yang baik
menyebabkan seluruh badan menjadi baik. Demikian pula sebaliknya. Hati yang
baik adalah hati yang sentiasa berzikrullah (zikrul-Qalb) dan mematuhi
segala perintahNya. Manakala hati yang rosak (hati yang mati atau tidak berfungsi)
adalah hati yang keras yang dipengaruhi serta dikuasai sepenuhnya oleh hawa
nafsu dan syahwat yang jahat, hingga
tidak diindahkan lagi segala perkara yang haram. Maka rosaklah seluruh anggota
badan akibat daripada angkara hati yang tidak berfungsi, yang menyebabkan bencana bagi
diri dan kehormatan.
Oleh itu, hati adalah
raja sekelian anggota. Sekelian anggota mentaatinya, tidak menyalahinya. Kalau
ia menjadi raja yang baik, sekelian anggota menjadi raja yang baik. Sebaliknya,
kalau ia menjadi raja yang rosak, maka sekelian anggota turut pula menjadi
rosak.
Hati adalah anggota yang
paling mulia di dalam tubuh anak Adam.
Tambahan pula hati merupakan
tempat yang menjadi pandangan dan perhatian Allah. Malahan hati juga adalah
tempat terletaknya iman dan wadah bagi berbagai rahsia ghaib. Hati juga merupakan punca terpancarnya berbagai nur.
Di dalam al-Quran
terdapat banyak ayat Allah yang menjelaskan canggihnya ciptaan roh atau hati nurani
yang bermula dari alam lahut. Semua roh manusia berjanji untuk taat atau pa-
tuh kepada Allah S.W.T. Kemudian
dimasukkan roh ke dalam
jasad manusia semasa dalam
kandungan ibu untuk menanggung amanah
sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Diuji manusia dengan meletakkan nafsu sebagai benteng atau hijab denganNya
yang mesti diperangi agar pandangan mata hati (basirah) itu dapat
kembali mengenalNya seperti asal fitrah
kejadiannya (mengenal hakikat kebenaran Allah).
Begitu juga di dalam tempoh hayat kita, roh itu
akan diangkat oleh Allah di waktu tidur
dan dilepaskan bila sampai waktunya (sedar). Menjelaskan kepada kita semua
bahawa roh itu mampu kembali ke tempat asalnya (alam lahut) secara menyeluruh
atau sebahagian ketika kita hidup di dunia (tidur). Pencapaian tingkat makam
kerohanian ini mampu juga dilakukan di saat kita hidup (sedar) di dunia
menerusi berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh kerana ia adalah
keadaan biasa yang dilalui oleh semua manusia (semasa tidur), maka ianya
kembali mendapat pandangan basirah (mata
hati) seperti fitrahnya yang sudah mengenal dan melihat hakikat
kebenaran Allah S.W.T. sebagaimana firmanNya:
اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي
لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ
وَيُرْسِلُ الْأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ
لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Allah yang
memegang roh manusia ketika matinya dan memegang roh manusia yang belum mati di
waktu tidur, lalu Allah menahan roh orang yang telah ditetapkan kematiannya dan
melepaskan roh orang yang lain (tidur) sampai waktu yang ditentukan. Sungguh
pada yang demikian itu menjadi ayat-ayat (tanda) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah
al-Zumar, ayat: 42)
Ayat di atas memberikan penjelasan kepada
kita bahawa Allah-lah yang menggenggam
roh pada saat telah tibanya ajal iaitu pada saat tidak adanya hidup, jiwa dan
gerakannya. Di samping itu, Allah juga yang menggenggam roh yang belum datang
masa ajalnya di saat manusia sedang tidur, pada
waktu itu roh tidak lagi mempunyai kemampuan untuk membezakan dan
merasakan apapun secara batin. Sebab pada waktu tidur, hidup, jiwa dan gerakan masih ada. Oleh kerana itu
para ulama mendefinisikan bahawa tidur itu sebagai satu naluri yang dengan
paksa menimpa diri seseorang, sehingga menghalangi perasaannya untuk mengadakan
gerakan dan melemahkannya dari kesanggupan untuk mengerti melakukan sesuatu.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Jika
seseorang terbangun dari tidur, hendaklah dia mengucapkan: ‘Segala puji bagi
Allah yang telah mengembalikan rohku, memberi kesihatan pada tubuhku dan
mengizinkanku berzikrullah.”
(HR
Abi Hurairah)
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Dunya bahawa Nabi s.a.w.
pernah berdoa yang bermaksud:
“Ya Allah!
Sesungguhnya Engkau mengambil roh dari (tempat) antara urat-urat saraf dan
jari-jari tangan (sendi-sendi). Ya Allah! Tolonglah aku terhadap mati dan
mudahlah mati itu di atas diriku.”
Dengan itu, maka
ternyatalah bahawa roh berasal daripada alam arwah (alam Lahut) yang diturunkan
ke dalam jasad manusia yang memiliki kemampuan untuk mengetahui, berkehendak
dan berkuasa ke atas tubuh yang didiaminya. Ketika roh ditiupkan ke dalam
badan, maka badan menjadi hidup dan ketika meninggalkan badan, badan menjadi
mati. Oleh itu, kewujudan badan manusia itu bergantung pada roh dan bukan
sebaliknya. Roh sama sekali tidak mengenali mati, sedikitpun ia tidak terpengaruh
oleh kematian kecuali sekadar kehilangan wadah kasarnya.
Alam
Lahut
Alam
Jabarut
Alam
Malakut (Malaikat)
. | |
Alam
Mulki (Jasad Manusia)
Allah S.W.T.
juga berfirman:
مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَاراً وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَاراً
Maksud:
“Mengapakah
kamu masih tidak percaya kebesaran Allah (dan kekuasaanNya) pada hal, sesungguhnya
Dia telah mencipta kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat.”
(Surah
Nuh, ayat: 13-14)
Dan diturunkan juga ayat al-Quran ini yang
bermaksud:
“Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (alam Lahut).
Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya (jasad manusia).”
(Surah
al-Tin, ayat: 4-5)
FirmanNya lagi:
فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ وَأَنتُمْ حِينَئِذٍ تَنظُرُونَ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنكُمْ وَلَكِن لَّا تُبْصِرُونَ فَلَوْلَا إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ تَرْجِعُونَهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِين
Maksud:
“Mengapa,
ketika roh yang sedang menghadapi kematian itu telah sampai ke kerongkong, dan
kamu ketika itu sedang memerhatikan, sedangkan Kami lebih dekat
kepada orang itu
daripada kamu, tetapi kamu
tiada melihat. Maka bukankah elok
jika kamu tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan kami). Mengapa kamu
tidak kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika kamu memang orang
yang benar.”
(Surah al-Wa’qiah, ayat: 83-87)
Orang yang mengenal dirinya (memiliki kesempurnaan
hati) akan pasti mengenal Tuhannya. Inilah fitrah (hakikat Akidah) yang sedia
ada di dalam diri manusia di mana roh manusia telah mengenal Allah dan musyahadah
terhadapNya sebelum dimasukkan ke tubuh badan atau jasad seperti yang
disebutkan dalam al-Quran di mana Allah S.W.T. bertanya kepada para roh manusia
yang bermaksud:
Allah
berfirman:“Wahai roh-roh tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Maka jawab para roh manusia, bahkan (sebenarnya)
Engkaulah Tuhan kami, kami saksikan”
(Surah al - A’raf, ayat: 171)
Hakikatnya, kebanyakan umat Islam masa kini tidak
mengenal penyakit-penyakit hati yang menjadi hijab dengan Tuhan Maha Pencipta
akibat ditarbiyahkan dengan ilmu Akidah reka cipta (ilmu Sifat 20 dan teori Tauhid Wahabi), lantas menjadikan hati mereka
terus terhijab (hati dimasuki bid’ah). Oleh itu, apabila manusia melupai kewajipannya (lalai berzikir dan mujahadah)
lalu menurut kepada berbagai-bagai kehendak hawa nafsu dan waswas syaitan, maka
ia akan terus berada di lembah kehinaan (kesesatan). Begitulah manusia yang
pada peringkat awal kejadiannya merupakan ciptaan Allah yang paling mulia (roh/
hati), kemudian akan menjadi hina atau rendah martabatnya berbanding dengan makhluk-makhluk lain
seperti binatang-binatang, pohon-pohon, batu-batu dan sebagainya apabila mereka
mempertuhankan nafsu dan mengabaikan perintah Allah (lalai berzikir mengingati
Allah) seperti dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:
وَفِي أَنفُسِكُمْ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Maksud:
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta
memikirkan (dalil-dalil dan bukti tentang
kekuasaan Allah).”
(Surah
al-Dhariyat, ayat: 21)
Nabi s.a.w.
juga bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah
bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad (manusia) itu, apabila
ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak maka rosaklah jasad
keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.”
Imam al-Ghazali menegaskan bahawa mengenali dan
membaiki segala penyakit-penyakit hati adalah fardu ‘ain bagi setiap Muslim.
Allah memuji orang yang dapat membersihkan hati dari penyakit-penyakitnya, dan
merugilah orang yang terus mengotori hatinya (hati yang mati). Ini menepati
firman Allah S.W.T. :
قَدْ
أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksud:
“Berbahagialah
orang yang membersihkan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah
al-Shamsy, ayat: 9-10 )
Hakikat akidah (roh) dapat kita lihat dalam
peringatan Allah S.W.T. kepada ummahNya tentang kepentingan dan keutamaan
aspek (hati yang tidak terhijab) itu
seperti firmanNya:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ
ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتَ بِرَبِّكُمْ
قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا
كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ
Maksudnya:
“Dan
ingatlah, ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi
mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka. Allah berfirman:
“Wahai roh-roh tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Maka jawab para roh manusia, bahkan
(sebenarnya) Engkaulah Tuhan kami, kami saksikan” Kami lakukan yang demikian
itu agar di hari akhirat nanti kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami lalai
akan hal (hakikat akidah) ini.”
(Surah
al - A’raf, ayat: 172)
Nabi s.a.w.
juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya
seseorang dari kamu itu dikumpulkan kejadiannya dalam perut (rahim) ibunya
selama empat puluh hari sebagai nuthfah (air mani). Lalu dalam masa empat puluh
hari berikutnya berubah menjadi alaqah (segumpal darah). Kemudian setelah
empat puluh hari berikutnya berubah
menjadi mudhghah (segumpal daging). Kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat
yang diperintahkan untuk meniupkan roh
kepadanya, seraya menuliskan empat perkara iaitu menetapkan rezekinya, ajalnya,
amal perbuatannya dan ketentuan apakah ia tergolong orang yang celaka ataukah
orang berbahagia”
(HR Imam Ahmad)
Manusia diciptakan dalam keadaan yang menakjubkan
iaitu himpunan dari tanah pilihan (jasad Adam) dan ditiupkan roh padanya.
Manusia yang hanya menumpukan pada jasadnya semata-mata (Syariat Islam) dan
melupakan tiupan roh (tarbiyah hati
menerusi berzikir dan mujahadah) tidak
akan mengenali hakikat dirinya (roh). Hakikat
akidah (roh) sebenarnya adalah
hati yang dapat musyahadah
terhadap segala sifat keagungan dan kesempurnaanNya, iaitu merupakan fitrah
yang sedia wujud da- lam diri manusia. Manakala, Allah
menjadikan nafsu dan syaitan sebagai tembok pemisah (pelbagai hijab) di
antara manusia denganNya. Pelbagai hijab
itu menjadikan hati manusia mati
(kesesatan) atau tidak berfungsi (tidak kenalkan Tuhannya, Allah) dan tidaklah ada peluang baginya untuk
mendapatkan pandangan mata hati (basirah), maka mereka akan tertarik kepada
kejahatan dan maksiat.
Menerusi berzikir dan mujahadah yang
bersungguh-sungguh untuk membersihkan
hati dari segala kotoran dan penyakit-penyakit hati yang merosakkan segala amal
perbuatan dan keperibadiannya, maka Allah angkatkan atau singkapkan berbagai
hijab sehingga hati atau roh manusia mendapat musyahadah terhadap
wujudnya Allah. Inilah antara hakikat dan makrifah Allah yang Allah S.W.T. sampaikan secara laduni
atau secara mukhasyafah.
Ayat-ayat Allah S.W.T. yang berikut telah
menjelaskan tentang pandangan mata hati/basirah manusia sejak lebih 1400 tahun lalu, meskipun
golongan ahli zahir sentiasa menafikan
tentang fitrah manusia (hati/roh) yang boleh menyaksikan (musyahadah)
rahsia-rahsia Allah S.W.T. yang ada di langit dan yang ada di bumi sebagai natijah kesempurnaan hati ummahNya di dunia ini. Ayat al-Quran dikemukakan sebagai contoh
kepada maksud tersebut:
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُور
Maksudnya:
“Maka sesungguhnya bukan matalah yang buta, tetapi
yang buta ialah hati yang berada di
dalam dada.”
(Surah al - Hajr, ayat: 46)
وَمَن كَانَ فِي هَـذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيل
Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di Akhirat
(nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang
benar).”
(Surah
al- Isra’, ayat: 72)
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْض
Maksudnya:
“Demikianlah kami perlihatkan
dalam basirah Ibrahim ayat-ayat Allah dalam alam malakut kejadianNya yang di
langit dan di bumi, agar beliau menjadi orang yang benar-benar yakin
(muqinin).”
(Surah al-An’am, ayat: 75)
Allah S.W.T. juga berfirman mengenai pandangan
mata hati (basirah):
مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى
Maksudnya:
“Tidak
berdusta hati itu tentang apa yang dilihatnya.”
(
Surah al - Najm, ayat: 11)
Nabi s.a.w. pernah menyebut mengenai
pencapaian pandangan mata hati (basirah) apabila aspek rohani itu
tidak terhijab seperti di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Apabila
hati Bani Adam tidak di kelilingi oleh syaitan-syaitan maka sudah pastilah
mereka mampu melihat kerajaan di langit.”
Nabi s.a.w.
juga bersabda yang bermaksud:
“Allah
S.W.T. berfirman:
Sesungguhnya
Allah mempunyai hamba-hamba yang jasadnya di bumi dan hatinya di bawah Arasy.”
Dari fakta-fakta yang
dijelaskan di atas, amat jelas menunjukkan bahawa kegagalan individu Muslim
untuk mencapai makrifah (mengenal) Allah adalah kerana ketidakmampuan mereka
melepaskan diri dari desakan hawa nafsu dan waswas syaitan yang menjadi
benteng kukuh membelenggu hati (kesesatan) sehingga menghalangnya untuk musyahadah
terhadap rahsia-rahsia Allah. Oleh kerana itulah, Allah memerintahkan kita agar menggunakan
pendengaran untuk mendengar berbagai kebenaran yang terdapat di dalam
al-Quran dan al-Sunnah. Pemandangan mata diperintahkan agar memerhatikan semua
kejadian Allah. Terdapat ayat-ayat yang
menyentuh perkara tersebut. Ini kerana semasa di dunia orang-orang kafir tidak
menggunakan penglihatan, pendengaran dan akal untuk meraih ilmu dan kefahaman
untuk beriman dan beramal ibadat, maka mereka di akhirat sangat menyesali
kesilapan mereka. Oleh sebab itulah maka Allah S.W.T. berfirman:
وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ
السَّعِيرِ
Maksud:
“Dan
orang-orang kafir itu berkata sekiranya kami di dunia dahulu mendengar
(kebenaran Allah S.W.T.) ataupun kami gunakan akal kami (untuk menerima dan
beriman kepada kebenaran Allah) nescaya kami tidak menjadi penghuni neraka ini.”
(Surah
al-Mulk, ayat: 10)
4.
Canggihnya Hati yang Dihidupkan dan Diberi Cahaya
Golongan
ahli zahir terus mempertahankan
tarbiyah ilmu Akidah reka cipta
(hujah-hujah dan debat yang tercela) dan berpegang kepada prinsip bahawa
hati/roh adalah urusan Allah dan mereka
tidak memerlukan tarbiyah yang khusus (berzikir dan mujahadah) untuk
membersihkan pelbagai hijab aspek rohani itu. Mereka hanya perlu melonggokkan pemahaman ilmu Kalam (ilmu Sifat
20) dan teori Tauhid Wahabi secara mendalam
untuk menimbulkan keyakinan tentang
keesaan Allah atau mencapai kesempurnaan akidah. Malahan ilmu tarekat Tasawuf
tidak ada dalam kamus hidup mereka.
Apabila Nabi s.a.w. melihat keindahan ciptaan
aspek hati dan sifat bolak-baliknya,
maka bersumpahlah baginda dengan sabdanya yang
bermaksud:
“Tidak, demi Zat yang membolak-balikkan hati.”
Allah S.W.T.
berfirman:
Maksudnya:
“Dan Kami
bolak-balikkan hati mereka dan pandangan mereka.”
(Surah
al - An’am, ayat: 110)
Sifat hati yang mudah
berubah-ubah sehingga Nabi s.a.w. mengatakan, “Tidak dinamakan qalb (hati) melainkan kerana dia berubah-ubah
(yataqallab).” Dalam hadis yang lain
baginda menerangkan tentang hati yang berbolak-balik pada setiap saat dengan
sabdanya yang bermaksud:
“Hati itu seumpama burung pipit yang
sentiasa berbolak-balik setiap hari.”
Nabi s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Hati itu dalam bolak-baliknya seperti air yang kuat mendidih seperti di
dalam periuk.”
Nabi s.a.w. pernah
menyebutkan di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Hati seumpama bulu burung yang berada di tanah sahara yang
dibolak-balikkan angin dari sebelah ke sebelah.”
Oleh kerana sifat hati yang sentiasa
berbolak-balik maka Nabi s.a.w. sentiasa berdoa yang bermaksud:
“Ya
Allah, Zat yang membolak-balikkan hati
dan mata, baliklah hati kami untuk mentaatiMu.”
Para sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang
kebimbangan yang sentiasa diberi perhatian oleh baginda terhadap hati: “Apakah yang engkau bimbangkan, ya!
Rasulullah? Jawab baginda s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: “Apakah yang mampu mententeramkan aku, sedangkan
hati itu berada di antara dua jari Allah (Kuasa) yang Maha Pemurah. Ia yang membolak-balik
hati itu sekehendakNya.”
Baginda
s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:
“Kalau
Allah hendak meluruskan hati maka diluruskanNya dan apabila Ia hendak menyesatkan hati, maka disesatkanNya.”
Begitulah gambaran yang
menakjubkan tentang kekuasaan Allah S.W.T.
yang memisahkan seorang hamba dengan hatinya. Dengan itu amatlah penting
bagi setiap individu Muslim sentiasa menjaga keadaan hatinya agar sentiasa
bersih dan suci seperti fitrahnya. Di samping itu, kita seharusnya sentiasa
berwaspada terhadap sifat bolak balik
yang timbul di dalam hati akibat hijab nafsu dan waswas syaitan menjadikan
aspek itu tidak tetap dan sentiasa berubah-ubah, maka hati itu harus dijaga dengan sebaik-baiknya
menerusi berzikir dan mujahadah.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Bahawasanya bagi tiap-tiap sesuatu itu ada alat untuk mensucikan, dan
alat untuk mensucikan hati ialah zikrullah.”
Dalam hadis lain disebutkan
yang bermaksud:
“Janganlah
kamu memperbanyakkan bicara tanpa berzikrullah. Sesungguhnya banyak berkata-kata
tanpa berzikrullah akan menimbulkan kekesatan hati, dan sesungguhnya
sejauh-jauh manusia dari Allah adalah hati yang kesat.”
Kata Arif billah;
“Zikir lisan dengan rasa dalam
rohani (zawq) itu adalah pedang bagi orang salik (orang yang beramal menuju ke
hadrat Allah) di alam rohani/ghaib. Dengannya mereka membunuh musuh-musuh
mereka (tentera syaitan) dan dengannya juga mereka menentang apa yang
merosakkan yang datang mengancam mereka.”
Dikatakan di dalam kitab
Al-Hilyah bahawasanya Abu Abdullah Ahmad bin Hanbal mengatakan:
“Kelembutan
hati itu diperolehi dari berterusan berzikrullah dan memakan makanan yang
halal.”
Dengan berzikir terus menerus seseorang Muslim
akan da- pat mencapai tasfiyyah (suci
hati dari unsur-unsur syirik) dan dengan menjauhi sifat-sifat tercela serta
menghayati sifat-sifat terpuji (dengan al-takhalli
dan al-tahalli), dan akan mencapai tazkiyyah (bersihnya hati dari
berbagai-bagai sifat tercela). Oleh sebab itu, maka Allah S.W.T. telah
menetapkan bahawa hati manusia akan tenang (khusyuk) dengan berzikir mengingati
Allah. Amalan ini juga menjadi penawar
kepada hati yang terkena rasukan syaitan (hati yang mati).
Kita harus menerima hakikat bahawa hati adalah
aspek rohani manusia yang amat kompleks dan terlalu berbeza sifatnya
dengan akal. Akal hanya memahami apa
yang didengar atau dibaca ataupun dilihat tetapi tidak mampu menembusi atau mencerap perkara-perkara yang di luar alam nyata (alam
malakut). Akal sebijak mana sekalipun, demikian juga pendengaran dan
pandangan bukanlah menjadi sumber (ilmu
agama). Pancaindera itu hanyalah merupakan alat penting untuk mendapatkan dan
memahami ilmu yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Tokoh ulama khalaf
yang terkenal, Imam Shafi’i berpendapat bahawa keupayaan akal seperti
juga keupayaan pandangan mata adalah terbatas, meskipun keistimewaan manusia berbanding
makhluk yang lain ialah manusia dianugerahkan akal.
Di samping itu akal merupakan daya yang kuat bagi
manusia memikir dan menilai serta memilih. Dengan kekuatan inilah akal manusia dapat mencapai berbagai-bagai
kemajuan dalam kehidupan. Oleh sebab itulah, maka amat jelas bahawa peranan akal itu hanyalah
menerima, menyimpan dan mengeluarkan ilmu tetapi terbatas pada alam benda atau
alam nyata (alam hissi) sahaja. Bagi orang yang cerdik, dia boleh
menerima, menyimpan dan mengeluarkan dengan baik. Sesetengah ulama berpendapat
bahawa daya akal hanya terbatas pada perkara yang munasabah padanya atau boleh
diterimanya atau ma’qulat, menolak
perkara-perkara yang tidak boleh masuk
akal (ghayrul ma’qulat). Sebagai contoh, perjalanan ‘israk dan
mikraj’ yang memakan masa yang sangat singkat sedangkan destinasinya begitu
jauh. Akal berfungsi apabila mendapat bantuan penglihatan dan pendengaran. Oleh
kerana itu, orang yang dilahirkan buta
dan pekak tidak dibebani taklif agama.
Hakikatnya, al-Quran telah menjelaskan tentang
aspek pandangan basirah dan menolak pendapat golongan ahli zahir (lebih 1400 tahun lepas) yang menafikan
pencapaian aspek pandangan (basirah) itu. Banyak ayat-ayat al-Quran yang
menjelaskan hati mempunyai kecerdikan yang lebih canggih dan lebih ajaib
berbanding dengan kecerdikan akal. Kecerdikan hati dibantu oleh pandangan (basirah) itu yang mampu melihat dan memahami
berbagai-bagai rahsia Allah (ayat-ayat Allah) di alam malakut seperti yang
dilakukan oleh golongan ulul-albab seperti firman Allah S.W.T. :
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya pada kejadian yang
di langit dan yang di bumi, dan dalam peredaran masa malam dan siang terdapat
ayat-ayat Allah yang dapat dilihat dan difahami oleh pandangan hati
ulul-albab.”
(Surah Ali Imran, ayat: 190)
Kecerdikan hati bertambah canggih kerana dibantu
oleh sirr, gedung ilmu, hakikat dan makrifah. Menurut golongan Tasawuf, sirr
berfungsi menerima dan menyimpan berbagai-bagai limpahan hakikat dan makrifat (as-sirr
liltajalliyat). Sirr merupakan gedung yang sangat ajaib kerana sifat
keanjalannya yang semacam tidak terbatas.
Bila dicurahkan berbagai-bagai ilmu, hakikat dan
makrifah, ia menjadi semakin luas, sehingga ada sebuah hadis Qudsi menyatakan,
yang bermaksud:
“Seluruh langit dan bumi tidak
mampu menampung berbagai-bagai rahsia Allah. Tetapi sirr boleh menampungnya.”
Penggunaan Akal dan Hati Untuk
Mengenal Allah
Mengenal Allah dengan menggunakan akal perlu
menerusi dua dalil. Yang pertama, dalil naqli (ayat matluwah atau
ayat-ayat al-Quran yang dibaca). Yang kedua, dalil ‘aqli (ayat mar’iyyah
atau dalil-dalil yang dilihat oleh pandangan mata). Dengan dua dalil tersebut,
maka tercapailah ilmu dan kefahaman mengenai Allah (disebut sebagai ilmu dan
kefahaman tauhid). Setakat itulah sahaja kemampuan akal dalam usaha seseorang
mengenal Allah berdasarkan firmanNya:
قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
“Berkata orang-orang Arab Badwi:
Kami telah beriman: Katakanlah: Kamu belum beriman, tetapi katakanlah: Kami
telah Islam (tunduk) dan belumlah masuk keimanan dalam hati kamu. Jika kamu mengikuti Allah dan
RasulNya tidaklah kurang (pahala) amalanmu sedikit pun. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Penyayang.”
(Surah al-Hujarat, ayat: 14)
Maka ada lagi dua tingkat ilmu yang mesti dicari
iaitu hakikat dan makrifah atau secara zawq ataupun kurnia terus ke dalam
hati oleh Allah. Allah S.W.T. mengurniakan hidayat kepada manusia sesuai dengan
keadaan hati atau rohani masing-masing. Golongan muslim, mukmin dan muhsin akan
dapat hidayat yang sesuai dengan kedudukan mereka. Untuk mencapai tingkat
hakikat dan makrifah, kita perlu menggunakan hati (ber- zikir dan mujahadah),
maka hati akan benar-benar mutmainnah dan Allah singkapkan berbagai hijab
sehingga hati atau roh manusia dapat musyahadah terhadap wujudnya Allah.
Inilah antara hakikat dan makrifahNya
yang Allah sampaikan secara laduni atau secara mukhasyafah.
Kerana hanya menerusi pandangan mata hati (basirah) sahaja, dalil
mengenai Allah yang ketiga (ayat masyhudah) yang tersirat dalam semua
kejadian akan dapat disaksikan (musyahadah) seperti yang Allah S.W.T.
nyatakan dalam firmanNya:
أَوَلَمْ يَنظُرُواْ فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا خَلَقَ ال
Maksudnya:
“Mengapakah mereka tidak melihat
(dengan mata hati akan ayat-ayat Allah yang tersirat) dalam alam malakut
kejadian yang di langit dan di bumi, dan dalam sesuatu yang Allah jadikan.”
(Surah
al-A’raf, ayat: 185)
FirmanNya lagi:
وَفِي أَنفُسِكُمْ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat
serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti tentang
kekuasaan Allah).”
(Surah al-Dhariyat,
ayat:21)
Cara zawq tersebut kadang-kadang
diistilahkan dengan cara tajalli iaitu didasarkan kepada pengalaman Nabi
Musa a.s. seperti yang tersebut dalam al-Quran. Allah S.W.T.berfirman:
وَلَمَّا
جَاء مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي
أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَـكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ
فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ
لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكّاً وَخَرَّ موسَى صَعِقاً فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ
سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَاْ أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“Dan apabila Musa a.s. telah
datang (menyempurnakan) masa yang Kami telah tetapkan dan Tuhannya (Allah)
telah berkata-kata kepadanya, Musa berkata: ‘Ya Tuhanku, perlihatkan zat-Mu
supaya aku dapat melihatMu.’ Allah berfirman: ‘Engkau tidak akan dapat
melihatKu, tetapi renungkanlah bukit itu, jika ia tetap ada di tempatnya
nescaya engkau akan melihatKu.’ Maka apabila Tuhannya (Allah) mentajallikan (menzahirkan ayat/nur/sifat wujudNya) bagi
bukit itu menjadikan bukit itu lenyap dan Nabi Musa a.s. jatuh pengsan ((jadi
fana’). Maka apabila baginda telah pulih dari pengsannya (fana’nya) ia berkata:
“Maha Suci Engkau ya Allah, aku kembali (benar-benar) dan serah diri (zahir dan
batin) kepadaMu dan (sekarang ini) aku (rasa) berada dalam permulaan
sebenar-benar mukmin.”
(Surah al-A’raf, ayat: 143)
Nabi Musa a.s. dalam
ayat tersebut berhasrat melihat Zat Allah S.W.T. Bagimanapun, jawapan yang
diterima oleh baginda ialah suruhan supaya memandang bukit Tur Sina’. Oleh itu,
memandang bukit tersebut adalah merupakan satu bentuk rabitah untuk
memahami maksud melihat Zat Allah. Hal demikian adalah kerana hakikat Zat dan sifat Allah S.W.T. tidak dapat dilihat
oleh makhlukNya. Apabila Nabi Musa a.s. memandang bukit Tur Sina’, lalu Allah
mentajalli sebahagian daripada makna wujudNya dalam pandangan batin Nabi
Musa a.s. Keadaan tersebut telah melenyapkan tumpuan pandangan zahir baginda
kepada bukit Tur Sina’ serta menjadikannya jatuh tersungkur dalam keadaan fana’.
Nabi Ibrahim a.s. pula pada satu tahap telah pun
beriman bahawa Allah berkuasa menghidupkan orang yang mati. Tetapi keimanannya
hanya didasarkan kepada ilmu dan kefahamannya pada peringkat akal sahaja. Oleh
sebab itu, maka baginda a.s. bermunajat kepada Allah agar ditingkatkan iman,
ilmu dan kefahamannya ke tahap hakikat dan makrifah menerusi hati. Al-Quran ada
membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah:
وَإِذْ
قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ
أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ
فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ
عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءاً ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ
سَعْياً وَاعْلَمْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya:
“Dan tatkala Ibrahim bermunajat:
‘Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang
yang mati.’ Allah bertanya: Adakah engkau tidak beriman (bahawa Aku berkuasa
menghidupkan orang yang mati)?’ Ibrahim men- jawab, ‘Bahkan (Ya Allah aku telah
beriman). Akan tetapi (jika Engkau tunjukkan bagaimana Engkau menghidupkan
orang yang mati, maka dapatlah) menjadikan hatiku ini menjadi mut- mainnah.’
Allah berfirman: ‘(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian jinakkanlah
kepadamu (lalu cincanglah semuanya). Setelah itu, letakkanlah di atas tiap-tiap
sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya
semuanya akan datang kepadamu dengan segara (Allah perlihatkan dalam pandangan
mata hati (basirah) baginda a.s. sehingga mendapat limpahan hakikat dan
makrifah mengenai kudrat dan iradat Allah yang boleh menghidupkan semula empat
ekor burung yang mati). Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa, lagi Maha
Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah, ayat: 260)
Tajaliyyat (pelbagai limpahan) nur
hakikat dan makrifah tersebut menjadi pandangan mata hati (basirah)
baginda a.s. sangat canggih yang membolehkan baginda menerima terus
berbagai-bagai tajaliyyat daripada Allah seperti firman Allah S.W.T.:
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ
Maksudnya:
“Demikianlah kami perlihatkan
dalam basirah Ibrahim ayat-ayat Allah dalam alam malakut kejadianNya yang di
langit dan di bumi, agar beliau menjadi orang yang benar-benar yakin
(muqinin).”
(Surah al-An’am, ayat: 75)
Golongan ulul-albab juga telah berjaya menggunakan
mata hati (basirah) untuk melihat ayat-ayat masyhudah di alam mala
kut berdasarkan firman Allah:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam kejadian yang
di langit dan yang di bumi dan dalam peredaran masa malam dan siang terdapat
ayat-ayat Allah yang dapat dilihat oleh ulul-albab.”
(Surah
Ali Imran, ayat: 190)
Allah S.W.T.
ada juga menjelaskan hakikat pandangan mata hati (basirah) dalam
firmanNya:
مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى
Maksudnya:
“Tidak
berdusta hati itu tentang apa yang dilihatnya.”
(
Surah al - Najm, ayat: 11)
Dengan ini bermakna golongan ulul-albab telah
dikurniakan oleh Allah hakikat dan
makrifah. Kemampuan hati dan mata hati (basirah) yang begitu canggih
sebagaimana yang disebutkan di atas menunjukkan hati mereka telah dihidupkan
dengan limpahan ‘nur zikrullah’
oleh Allah S.W.T. Inilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah:
أَوَ
مَن كَانَ مَيْتاً فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُوراً يَمْشِي بِهِ
فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا
كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Maksudnya:
“Adakah orang yang hatinya mati
lalu Kami hidupkan dan kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan
hati yang bercahaya dan dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya
kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang
berada dalam berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada
kegelapan itu?”
(Surah
al-An’am, ayat:122)
Dalam ayat di atas Allah S.W.T. nyatakan ada dua
orang yang mempunyai hati yang berbeza dan berlawanan. Orang yang pertama
hatinya hidup dan bercahaya (‘nur zikrullah’). Orang kedua hatinya mati
dalam berbagai-bagai kegelapan. Hati yang hidup dapat berfungsi dengan baik dan
mendapat kejayaan. Sebaliknya, hati yang mati tidak dapat berfungsi sama
sekali. Kedua-dua orang tersebut adalah orang Islam.
Syarat Allah SWT Hidupkan Hati
Antara tanda jelas yang menunjukkan hati itu hidup
ialah hati berasa takut dan gerun kepada kebesaran Allah sehingga seluruh badan menggeletar dan berakhir
dengan hati tenang sepenuhnya dan seluruh tubuh badan menjadi lembut dan selesa
sebagaimana firmanNya:
اللَّهُ
نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ
تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ
جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnnya;
“Allah
telah menurunkan perkataan yang paling baik (al-Qu- ran) yang serupa (mutu
ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua
anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang
kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah
al-Zumar, ayat: 23)
FirmanNya lagi yang
bermaksud:
“..Dan
Allah sentiasa memberi hidayah kepada orang yang benar-benar kembali kepadaNya.
Mereka itu adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan hati mereka
mutmainnah dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah hati itu akan menjadi
mutmainnah.”
(Surah
al-Ra’d, ayat: 27-28)
Berdasarkan dua ayat
al-Quran di atas, maka dapat kita simpulkan syarat yang Allah S.W.T. tetapkan
untuk mendapat kurnia dihidupkan hati dan dilimpahkan cahaya (‘nur zikrullah’)
ada tiga;
1)
Beriman dengan rukun iman yang enam
2)
Beramal soleh dengan rukun Islam yang lima
3)
Berzikrullah dan bermujahadah hingga hati menjadi mutmainnah.
Tidak memadai hanya dengan melaksanakan syariat agama semata-mata iaitu
beriman dengan rukun iman yang enam dan melaksanakan segala amal soleh yang
difardukan sahaja, iaitu tanpa memiliki kesempurnaan hati/akidah (mengabaikan
tarbiyah ilmu dan amalan zikrullah). Tanpa ilmu dan amalan tarekat Tasawuf (zikrullah) itu,
hakikat penghayatan kerohanian Islam
tidak akan dapat dicapai dengan sebenar-benarnya.
5. Roh Orang Yang
Hidup Bertemu Dengan
Roh Orang Yang Mati
Bertemunya roh orang yang masih hidup dengan roh
orang yang sudah meninggal dunia termasuk jenis mimpi yang benar seperti yang
dialami oleh orang ramai dan termasuk hal yang dirasakan. Memang ini termasuk
masalah yang masih samar dalam kalangan umat Islam. Oleh kerana kebanyakan umat
Islam masa kini menjalani tarbiyah akidah menerusi pemahaman teori Tauhid Wahabi dan ilmu Sifat
20 serta ilmu Syariat (pengetahuan ilmu Fiqah) semata-mata, tetapi mengabaikan
ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) maka mereka terhalang dan terhijab
untuk mengetahui dan memahami tentang
roh.
Bukti dan dalil-dalil dari masalah ini tidak
terhitung banyaknya. Sesuatu yang dapat dirasakan dan kenyataan merupakan bukti
yang paling kuat tentang hal ini. Roh orang-orang yang masih hidup dan roh
orang-orang yang sudah meninggal dunia boleh saling bertemu, sebagaimana
roh-roh di antara orang-orang yang hidup juga boleh saling bertemu seperti
firman Allah S.W.T:
اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي
لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ
وَيُرْسِلُ الْأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ
لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Allah yang
memegang roh manusia ketika matinya dan memegang roh manusia yang belum mati di
waktu tidur, lalu Allah menahan roh orang yang telah ditetapkan kematiannya dan
melepaskan roh orang yang lain (tidur) sampai waktu yang ditentukan. Sungguh
pada yang demikian itu menjadi ayat-ayat (tanda) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah
al-Zumar, ayat: 42)
Abu Abdullah bin Mandah menyebutkan dari Ibn Abbas
r.a. yang menjelaskan ayat al-Quran di
atas dengan katanya: “Sampai berita kepadaku bahawa roh orang-orang yang
hidup dan yang sudah meninggal dunia boleh saling bertemu ketika tidur, lalu
mereka saling bertanya. Kemudian Allah menahan roh orang yang sudah meninggal
dunia dan mengembalikan roh orang-orang yang masih hidup ke jasadnya.”
Ibnu Abu Hatim menyebutkan di dalam tafsirnya, As-Suda tentang firman Allah: “Dan roh orang yang tidak mati: dalam masa
tidurnya”, bahawa Allah memegang roh di dalam tidurnya itu, lalu roh orang
yang hidup itu bertemu dengan roh orang yang sudah meninggal dunia, lalu mereka
saling mengingat dan mengenal. Kemudian
roh orang yang hidup kembali ke jasadnya di dunia hingga sampai ajalnya, dan
roh orang yang sudah me- ninggal dunia ingin kembali ke jasadnya tetapi ia
ditahan.
Pendapat kedua tentang ayat ini bahawa yang
ditahan dan yang dikembalikan merupakan roh orang yang hidup ketika tidurnya.
Ajal (umur) orang yang sudah berakhir seperti yang ditetapkan, maka Allah menahan
roh itu di sisiNya dan tidak dikembalikannya ke jasad. Sedangkan orang yang ajalnya belum sampai waktu yang
ditentukan, Dia mengembalikannya ke jasadnya, sampai ajal yang ditetapkan tiba.
Pertemuan antara roh orang-orang yang hidup dengan
roh orang-orang yang sudah meninggal dunia menunjukkan bahawa orang yang hidup
boleh melihat orang yang sudah meninggal dunia pada waktu tidur, sehingga orang
yang hidup boleh mendapatkan berita dari orang yang sudah meninggal dunia, dan
orang yang sudah meninggal dunia boleh menceritakan apa yang tidak diketahui
oleh orang yang hidup, sehingga berita itu pun menjadi kenyataan.
Dalam peristiwa ‘Isra’ dan Mikraj’
disebutkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud, dia
berkata: “Ketika Nabi s.a.w. dimikrajkan
baginda bertemu Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa, lalu mereka saling
mengingat tentang Hari Kiamat. Maka mereka mulai menanyakan kepada Nabi
Ibrahim. Tetapi beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang Hari Kiamat itu.
Lalu mereka menanyakan kepada Nabi Musa. Namun beliau juga tidak mempunyai
pengetahuan tentang hal itu. Hingga mereka bersepakat untuk menyerahkan masalah
ini kepada Nabi Isa. Maka Nabi Isa menjawab: “Allah telah berjanji kepadaku.”
Mereka mengerutkan dahi. Lalu Nabi Isa menyebutkan
tentang munculnya Dajjal, seraya berkata: “Dajjal
itu turun dan aku membunuhnya. Kemudian manusia kembali ke tempat mereka
masing-masing. Lalu muncul Yakjuj dan Makjuj serta rombongannya yang muncul
dari segenap penjuru. Mereka tidaklah melewati air melainkan meminumnya hingga
habis, tidak melewati sesuatu melainkan merosakkannya. Maka manusia memohon
kepadaku. Lalu aku berdoa kepada Allah agar mematikan mereka. Malahan bumi juga
bermohon kepada Allah kerana ia tersiksa oleh bau bangkai mereka.
Manusia
memohon lagi kepadaku, lalu aku berdoa agar Allah mengirim air dari langit
(hujan), menghayutkan badan mereka lalu melemparkannya ke laut. Kemudian
gunung-ganang meletup dan bumi diratakan menjadi satu hamparan. Lalu Allah
memberitahu kepadaku bahawa jika hal itu terjadi maka itulah Hari Kiamat bagi
manusia. Perempuan yang hamil tidak diketahui lagi oleh keluarganya, bila dia
akan melahirkan, siang atau malam.”
Hadis ini disebutkan Al-Hakim, Al-Baihaqi dan
selainnya. Nash ini menyebutkan tentang beberapa roh yang saling mengenal dan
saling mengingatkan. Allah juga menceritakan tentang keadaan para syuhada,
bahawa mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka, mendapat limpahan rezeki,
mendapat berita gembira kerana akan bertemu dengan syuhada lain yang akan
menyusul sesudah mereka, mereka mendapat berita gembira berupa nikmat dari
Allah dan kurniaNya. Demikianlah roh-roh itu boleh saling bertemu setelah
meninggal dunia. Roh-roh yang lebih dahulu meninggal dunia bertanya kepada roh
yang mendatangi mereka untuk meminta berita daripadanya sebagaimana kafilah
yang di- minta berita tentang seseorang dan apa yang dilakukan. Jika roh-roh
itu menjawab, “Dia telah meninggal dunia,” namun tidak bertemu dengan mereka,
maka mereka berkata, “Dia dibawa pergi ke pusat neraka Jahanam.”
Kebebasan roh untuk melihat alam ghaib (alam malakut)
adalah berdasarkan kepada pencapaian darjat ihsan atau memiliki
pandangan mata hati. Jika roh itu bebas, maka ia boleh melihat rahsia alam
ghaib sebagimana melihat ilmu Allah yang disampaikan kepada RasulNya secara
terperinci seperti hari kiamat, balasan
nikmat syurga, azab neraka dan sebagainya. Ianya disampaikan terus kepada roh secara
spontan atau dikenali sebagai ‘ilmu laduni’.
Mimpi
itu terdiri dari tiga jenis:
1. Mimpi sebagai petunjuk Allah S.W.T.
2. Mimpi yang datangnya dari syaitan
3. Mimpi yang datangnya dari bisikan hati (roh)
Allah S.W.T. mengurniakan lintasan-lintasan baik
ke dalam mata hati (basirah)
orang mukmin ketika ia tidur seperti yang diceritakan oleh Harithah
kepada Nabi s.a.w. tentang mimpinya. Ianya juga mungkin merupakan hidayahNya
yang disampaikan oleh malaikat yang memang ditugaskan untuk itu. Bertemunya roh
orang yang masih hidup dengan roh orang yang sudah meninggal dunia seperti ahli
keluarga, sahabat dan sebagainya. Demikianlah roh yang diangkat ke langit dan
Allah berfirman kepadanya (petunjukNya),
dan roh yang dapat masuk syurga dan melihat segala sesuatu yang ada di sana.
Memang inilah masalah aspek ilmu (hati) yang paling samar (keliru) di kalangan
ummah!
Abu Abdullah bin Mandah menyebutkan di dalam kitab
An-Nafsu wa ar-Roh, dari hadis
Muhammad bin Humaid, dari Salim bin Abdullah, dari ayahnya, dia berkata: “ Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a.
bertemu Sayyidian Ali bin Abu Talib r.a., lalu Sayyidina Umar berkata
kepadanya: ‘Wahai Abu al-Hasan, barangkali engkau tahu dan kami tidak, atau
kami yang tahu dan engkau tidak. Tiga perkara akan aku tanyakan kepadamu, siapa
tahu engkau tahu sebahagian di antaranya.’ Sayyidina Ali bertanya: ‘Apa itu?’
Sayyidina Umar r.a. menjawab: “Seseorang
mencintai orang lain, padahal orang yang mencintai itu tidak melihat satu
kebaikan pun pada orang yang dicintainya. Seseorang membenci orang lain,
padahal orang yang membenci itu tidak melihat satu pun keburukan pada diri
orang yang dibencinya.”
Sayyidina Ali r.a. berkata: “Ya. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
‘Sesungguhnya
roh-roh itu seperti pasukan yang disusun, yang bertemu di tempat terbuka dan
mereka pun merasa bosan. Selama roh-roh itu saling mengenal, maka ia akan
bersatu, dan selama roh-roh itu saling mengingkari, maka ia akan berselisih.”
Sayyidina Umar berkata: “Itu yang pertama.” Lalu
Umar melanjutkan: “Seseorang menyampaikan hadis padahal dia lupa, dan justeru
ketika lupa itulah dia menyebutkan hadis tersebut.” Sayyidina Ali berkata: “Ya.
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
‘Tidaklah
ada di dalam hati-hati itu melainkan ada satu hati yang terhalang mendung
seperti mendung yang menghalangi rembulan ketika rembulan itu bersinar. Jika
rembulan itu terhalang oleh mendung maka keadaan menjadi gelap. Jika mendung
itu menghilang, maka keadaan menjadi terang. Ketika hati itu hendak
memberitahu, lalu ia terhalang maka ia menjadi lupa. Jika mendung itu menyingkir
maka ia menjadi ingat kembali.”
Sayyidina Umar berkata: “Itu yang kedua.” Lalu
Sayyidina Umar melanjutkan: “Seseorang bermimpi, di antara mimpinya itu ada
yang benar dan ada pula yang tidak benar.”
Sayyidina Ali berkata: “Ya. Aku pernah mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidaklah
seseorang tidur lelap, melainkan rohnya dibawa ke Arasy. Yang tidak bangun
sebelum tiba di Arasy, maka itulah mimpi yang benar. Sedangkan yang bangun
sebelum tiba di Arasy, maka itulah mimpi yang dusta.”
Sayyidina Umar berkata: “Itulah tiga perkara yang selalu aku cari jawapannya. Segala puji bagi
Allah, akhirnya aku mengetahui sebelum aku mati.”
Sayyidina Ali berkata lagi: “Roh-roh itu dibawa naik ketika tidur, dan apa yang dilihatnya di
langit, maka itu adalah benar. Ketika roh itu dikembalikan ke jasadnya, maka syaitan
menyeretnya ke udara dan mendustakannya. Maka mimpi yang dilihatnya ketika itu
adalah batil.”
Sesiapa yang rohnya masuk ke kerajaan langit
(petunjukNya), maka itu adalah mimpi yang benar. Sebaliknya selama ia tidak
masuk ke kerajaan langit, maka mimpi itu adalah dusta.
Diriwayatkan dari Abu al-Darda’. Beliau berkata: “Jika seseorang tidur, maka rohnya dibawa
naik sampai ke Arasy. Jika roh itu suci, maka ia diperkenankan sujud di sana,
dan jika roh itu kotor, maka ia tidak diperkenankan sujud di sana.”
Demikianlah orang yang bermimpi dalam tidur boleh
berbincang-bincang dengan orang lain yang masih hidup, padahal jarak antara
keduanya cukup jauh. Sedangkan orang
yang meli- hat dalam keadaan terjaga, rohnya tidak terpisah dari jasad
nya. Ini merupakan gambaran yang dua roh itu selaras dan hubungan keduanya yang
erat sehingga yang satu dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakannya, sementara
orang lain tidak merasakannya. Ianya juga merupakan gambaran yang diberikan
oleh malaikat yang berupa mimpi kepada orang yang sedang tidur, atau bisikan
hati orang yang bermimpi itu sendiri
Di antara para al-salaf ada yang mengatakan: “Sesungguhnya
roh-roh itu saling bertemu di alam ghaib, saling mengenal atau saling
mengingat. Malaikat yang menguruskan mimpi mendatangi roh itu dan menunjukkan
gambaran yang baik atau yang buruk. Allah S.W.T. mengutus seorang malaikat
untuk mendatangkan mimpi yang benar, memberitahu atau mengilhamkan pengetahuan
tentang setiap roh, nama dan keadaannya yang berkaitan dengan agama, dunia dan
tabiatnya, sehingga tidak ada yang tersamar sedikit pun dalam hal ini dan tidak
ada yang meleset.”
Muzahim, maula Umar bin Abdul Aziz menyebutkan
dari Fatimah binti Abdul Malik, isteri Umar bin Abdul Aziz, dia berkata: “
Suatu malam Umar bin Abdul Aziz terbangun, lalu dia berkata, “Aku baru sahaja bermimpi
yang sangat mengkagumkan.” Isterinya bertanya: “Mimpi apa itu?” Umar bin Abdul
Aziz menjawab: “Aku tidak akan menceritakannya kepadamu kecuali setelah tiba
waktu pagi.”
Ketika tiba waktu subuh, dia bangun solat, lalu
kembali ke tempat duduknya. Isteri Umar menuturkan, “Aku gunakan kesempatan itu
untuk mendekatinya, lalu aku berkata, “Beritahulah tentang mimpimu malam tadi.”
Umar berkata: “Aku bermimpi seakan-akan aku diangkat ke suatu tanah yang luas
dan hijau, yang seakan-akan merupakan permaidani hijau. Di sana ada sebuah istana berwarna
putih yang diperbuat dari perak. Kemudian ada seseorang yang keluar dari dalam
istana itu sambil berseru dengan lantang, “Mana Muhammad bin Abdullah bin Abdul
Mutalib? Mana Rasulullah?”
Tiba-tiba muncullah Nabi s.a.w. lalu masuk ke
dalam istana itu. Kemudian ada orang lain keluar dari dalam istana, lalu berseru
dengan suara lantang, “Mana Abu Bakar
Ash-Shiddiq? Mana Abu Quhafah?” Tiba-tiba Abu Bakar muncul lalu masuk ke dalam
istana. Kemudian ada orang lain lagi yang keluar dari dalam istana dan berseru,
“Mana Umar bin Al-Khattab?” Tiba-tiba muncullah Umar bin Al-Khattab lalu masuk
ke dalam istana.
Kemudian ada orang lain lagi yang keluar dari
dalam istana dan berseru, “Mana Usman bin Affan?” Tiba-tiba Usman bin Affan
muncul lalu masuk ke dalam istana itu. Kemudian ada orang lain lagi yang keluar
dari dalam istana dan berseru, “Mana Ali bin Abu Talib?” Tiba-tiba muncullah
Ali bin Abu Talib lalu masuk ke dalam istana.
Kemudian ada orang lain lagi yang keluar dari
dalam istana dan berseru, “Mana Umar bin Abdul Aziz?” Lalu Umar berkata, “Maka
aku bangkit hingga aku masuk ke dalam istana. Aku menghampiri ke arah
Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang disebutkan tadi ada di sekeliling
beliau. Aku bertanya-tanya di dalam hati, “Di sebelah mana aku harus duduk?”
Maka aku putuskan untuk duduk di sebelah Umar bin Al-Khattab. Ketika aku sedang
memerhati, ternyata Abu Bakar ada di sebelah kanan Rasulullah s.a.w. dan di
sebelah Abu Bakar ada seorang lagi. Aku bertanya: “Siapakah orang yang ada di
antara Abu Bakar dan Rasulullah itu?” Ada yang menjawab: “Dia ialah Isa bin
Maryam.”
Tiba-tiba ada yang berbisik kepadaku, namun antara
diriku dan dirinya ada pembatas yang berupa nur, “Wahai Umar bin Abdul Aziz,
pegangilah apa yang ada pada dirimu selama ini dan teguhkanlah hatimu padanya.”
Kemudian seakan-akan dia mengizinkan aku untuk keluar. Maka aku pun keluar dari
istana itu, Aku menoleh ke belakang, yang ternyata Usman bin Affan juga ikut
keluar dari sana, seraya berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah
menolongku. “Aku lihat Ali bin Abi Talib juga keluar dari istana seraya
berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah mengampuni aku.”
Qubaishah bin Uqbah berkata: “Aku bermimpi bertemu
Sufyan As-Tsauri setelah dia meninggal dunia. Aku bertanya kepadanya, “Apa yang
diperbuat Allah kepadamu?” Beliau menjawab: “Aku melihat Tuhanku dengan mata
kepalaku sendiri dan Dia berfirman kepadaku, “Semoga engkau senang, Aku reda kepadamu
wahai Ibnu Sa’id. Kamu dulu biasa mendirikan solat jika malam sudah datang,
dengan kata-kata yang sedih dan hati yang pasrah. Maka silalah pilih istana
mana yang kamu inginkan, dan kunjungilah Aku kerana Aku tidak jauh darimu.”
Syu’bah bin Al-Hajjaj dan Mas’ar bin Kaddam,
adalah dua orang yang hafal al-Quran dan dua orang yang mulia. Abu Ahmad
Al-Buraidi berkata: “Aku bermimpi bertemu keduanya, setelah keduanya meninggal
dunia. Lalu aku bertanya kepada Syu’bah: “Wahai Abu Bustham, apa yang diperbuat
Allah terhadap dirimu?”
Beliau menjawab: “Semoga Allah melimpahkan taufik
kepada dirimu untuk menjaga apa yang aku katakan ini, sesungguhnya Tuhanku
menempatkan daku di taman yang memiliki
seribu pintu yang diperbuat dari perak dan mutiara. Dia yang Maha Ar-Rahman
berfirman kepadaku, “Wahai Syu’bah, oarang yang mengharungi lautan untuk mengumpulkan
ilmu dan memperbanyakkannya. Kamu mendapatkan nikmat sehingga boleh berdekatan
dengan-Ku dan Aku reda kepadamu dan kepada seorang hamba-Ku yang suka bangun
malam. Dialah Mas’ar. Aku memberi kesempatan kepada Mas’ar untuk mengunjungi
Aku dan akan Aku bukakan Wajah-Ku Yang Mulia, agar dia dapat memandangnya.
Inilah yang Ku-perbuat terhadap orang-orang yang banyak beribadat dan tidak
melakukan kemungkaran.”
Ahmad bin Muhammad Al-Lubadi berkata: “Aku
bermimpi bertemu dengan Ahmad bin Hanbal, lalu aku tanyakan kepadanya, “Wahai
Abu Abdullah, apa yang telah diperbuat Allah terhadap dirimu?” Beliau menjawab.
“Dia telah mengampuni dosa-dosaku. Kemudian Allah berfirman, “Wahai Ahmad,
apakah kamu menganggap-Ku akan menjatuhkan hukuman enam puluh kali cambukan?”
Aku menjawab, “Benar wahai Tuhanku.” Lalu Dia berfirman: “Inilah Wajah-Ku. Aku
telah membukanya bagimu, maka pandanglah.”
Abu Ja’far
As-Saqa’, teman Bisyr bin Al-Harits berkata: “Aku bermimpi bertemu Bisyr
Al-Hafi dan Ma’ruf Al-Kurkhi, keduanya mendatangiku. Aku bertanya: “Dari mana?”
Keduanya menjawab, “Dari syurga Firdaus. Kami baru sahaja mengunjungi
Kalimullah, iaitu Nabi Musa.”
Abu Ja’far As-Saqa’ juga menceritakan: “Aku
bermimpi bertemu Bisyr bin Al-Harits setelah meninggal dunia. Aku bertanya
kepadanya: “Wahai Abu Nashr, apa yang telah diperbuat Allah kepadamu?” Dia
menjawab, “Allah menyayangiku dan merahmatiku, Dia juga berfirman kepadaku,
“Wahai Bisyr, sekiranya kamu bersujud kepada-Ku di atas bara api, maka kamu
belum memenuhi rasa syukur atas apa yang Ku-masukkan ke dalam hati
hamba-hambaKu.” Lalu, Allah memperkenankan aku untuk memasuki separuh syurga.
Maka aku segera masuk ke sana dari mana pun yang aku kehendaki, dan Dia
berjanji untuk mengampuni dosa orang-orang yang mengiringi jenazahku.”
Malaikat itu membawa lembaran ilmu ghaib Allah
S.W.T. dari Ummul Kitab, sesuai dengan kebaikan dan keburukan orang itu
berhubung dengan agama dan kehidupannya. Dia diberi perumpamaan dan gambaran
bentuk yang sesuai dengan kebiasaannya. Terkadang dia diberi berita gembira
dengan suatu kebaikan yang pernah dilakukannya, terkadang dia diberi peringatan
dari dosa yang dilakukannya, terkadang diberi peringatan tentang sesuatu yang tidak disenanginya dan diberi
sebab-sebab yang boleh menghindarkan diri daripadanya, dan hikmah atau
kemaslahatan lain yang dijadikan Allah
dalam mimpi, sebagai limpahan nikmat dan rahmatNya, kebaikan dan
kemurahanNya.
Allah menjadikan salah satu di antara cara-caranya
ialah menerusi pertemuan beberapa roh, yang kemudian saling mengingat. Berapa
ramai orang yang bertaubat, menjadi baik dan zuhud di dunia, hanya kerana mimpi
yang dialaminya dalam tidur. Berapa ramai orang yang mendapat harta terpendam
hanya kerana melalui mimpi.
Dalam kitab Al-Mujalasah
karya Abu Bakar Ahmad bin Marwan Al-Maliki disebutkan dari Al-Mu’tamir bin
Sulaiman, dari seseorang yang memberitahu
kepadanya, beliau berkata: “Pada suatu malam kami bertiga melalui
perjalanan yang jauh. Ketika salah seorang di antara kami tidur, kami melihat
dari hidungnya keluar sesuatu seperi sebuah lampu. Lalu lampu itu masuk ke
dalam sebuah gua yang tidak jauh dari tempat kami, keluar lagi dan masuk ke
dalam hidung teman kami. Lalu teman kami itu terbangun sambil mengusap-usap
mukanya. Dia berkata: “Aku baru sahaja bermimpi yang sangat aneh. Aku melihat
di dalam gua itu ada begitu dan begini.” Maka kami pun masuk dan kami
mendapatkan di dalamnya ada sisa-sisa harta yang terpendam.
Abdul Muttalib pernah bermimpi agar datang ke
sumur Zamzam. Ketika ke sana, beliau mendapatkan harta yang terpendam. Umair
bin Wahb pernah bermimpi seakan-akan ada orang berkata kepadanya: “Bangunlah
dan datanglah ke tempat ini dan itu dari suatu rumah, lalu galilah, nescaya
engkau akan mendapatkan harta peninggalan ayahmu.” Kerana memang ayahnya pernah
menimbun harta yang melimpah dan tiba-tiba meninggal dunia tanpa sempat
meninggalkan wasiat tentang harta itu.
Sayyidina Ali bin
Abu Talib r.a. berkata:
“Apa yang
terjadi pada diri Umair bin Wahb ini dan ditemukannya harta benda yang melimpah
melalui mimpi merupakan kejadian yang amat mengagumkan bagi kami. Pada zaman
kami hal seperti ini juga dialami oleh Abu Muhammad Abdullah Al-Bughanisyi,
seorang lelaki yang soleh dan terkenal, kerana sering bermimpi bertemu dengan
roh orang-orang yang sudah meninggal dunia dan juga bertanya kepada mereka
tentang hal-hal yang ghaib. Apa yang dialami itu diceritakan kepada keluarga
dan kerabatnya, sehingga lambat laun dia menjadi terkenal. Suatu hari datang
seseorang yang datang menemuinya, lalu mengadu tentang seorang sahabat karibnya
meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa pesan. Padahal rakannya itu memiliki
harta yang banyak tetapi tidak diketahui di mana tempatnya. Sepatutnya harta
itu boleh dimanfaatkan untuk kebaikan. Maka pada malam itu Abu Muhammad berdoa
kepada Allah S.W.T., sehingga dia bermimpi bertemu dengan orang yang
ciri-cirinya sudah disebutkan. Ketika dia menanyakan urusan di atas, maka orang
tersebut memberitahunya.”
Kisah tentang masalah ini amat banyak. Begitu juga
penggunaan sesuatu ubat untuk mengubati penyakit menurut petunjuk mimpi yang
dilihat ketika tidur.
Banyak riwayat yang mutawatir tentang hal ini, di
antaranya yang disebutkan oleh Soleh bi Basyir, dia berkata: “Aku pernah
bermimpi bertemu Atha’ As-Salmi setelah dia meninggal dunia. Aku katakan
kepadanya, “Semoga Allah merahmatimu, kerana sudah sekian lama engkau selalu
dilanda kesusahan di dunia.”
Dia menjawab: “Demi Allah, yang demikian itu
justeru membuahkan kegembiraan dan kesenangan yang tiada henti.” Aku bertanya:
“Di tingkatan mana engkau sekarang berada?” Dia menjawab: “ Aku bersama
orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, dari para nabi, syuhada dan
para salihin.”
Abdullah bin Al-Mubarak berkata: “ Aku bermimpi
bertemu Sufyan Ats-Tsauri setelah dia meninggal dunia. Lalu aku bertanya
kepadanya: “Apa yang telah diperbuat Allah terhadap dirimi?” Beliau menjawab: “Aku
bertemu Muhammad dan golongannya.”
Shakhr bin Rasyid berkata: “Aku bermimpi bertemu
Abdullah bin Al-Mubarak setelah beliau meninggal dunia. Lalu aku katakan
kepadanya: “Bukankah engkau sudah meninggal dunia?” Beliau menjawab: “Ya.” Aku
tanyakan lagi: “Apa yang telah diperbuat Allah terhadapmu?” Beliau menjawab:
“Allah telah mengampuniku dengan suatu ampunan, yang meliputi segala dosaku.”
Aku tanyakan lagi: “Bagaimana dengan Sufyan
Ats-Tsauri?” Beliau menjawab: “Wah, beliau bersama orang-orang yang mendapat
nikmat dari Allah dari para nabi, syuhada dan shalihin, dan mereka adalah
teman yang sebaik-baiknya.”
Muawiyyah bin Yahya menyebutkan dari Abdullah bin
Salamah, bahawa Abd Rahm Al-Masma’i memberitahu kepadanya, bahawa Abu Ayyub
Al-Anshari memberitahu kepadanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda. Maksudnya:
“Apbila roh
orang mukmin dicabut, maka dia disambut oleh orang-orang yang mendapat rahmat
di sisi Allah, sebagaimana orang yang akan memberitakan berita gembira yang
disambut di dunia, lalu mereka bertanya, ‘Lihatlah saudara kamu itu agar dia beristirehat,
kerana dia dalam kesusahan.”
“Yang lain
bertanya, ‘Apa yang dilakukan Polan dan
apa yang dilakukan Polanah? Apakah Polanah itu sudah menikah? Jika mereka
bertanya kepadanya tentang seseorang, lalu yang ditanya menjawah, ‘Dia sudah meninggal dunia sebelumku,’ maka mereka berkata, ‘Inna lillahi wa inna
ilaihi raji ‘un. Rupanya dia dibawa pergi ke pusat neraka jahanam.”
6. Roh
Setelah Berpisah Dari Jasad (Kematian)
Kematian merupakan tempat kembali dan kebangkitan
yang pertama. Sebab Allah S.W.T. menjadikan dua tempat kembali dan dua
kembangkitan bagi anak Adam, yang pada masing-masing ada pembalasan menurut
kebaikan dan keburukan amalnya. Kebangkitan pertama ialah terpisahnya roh dari
badan lalu ia menuju ke tempat pembalasan yang pertama. Kebangkitan yang kedua
ialah hari di mana Allah mengembalikan semua roh ke badannya dan
membangkitkannya dari kubur, untuk menuju ke syurga atau ke neraka. Ini
merupakan pengumpulan yang kedua. Allah S.W.T. berfirman mengenai akhirat di
dalam kitabNya, al-Quran:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ
وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ
عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya:
“Tiap-tiap
yang bernyawa akan merasai kematian, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah
akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka
dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. (Ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Surah
Ali Imran, ayat: 185)
Nabi s.a.w.
menjelaskan tentang nikmat yang diterima
oleh orang mukmin dengan sabdanya yang bermaksud: “Maka dibukakan pintu syurga baginya, lalu didatangkan kepadanya dari
kurnia dan kenikmatannya.” Adapun tentang orang yang derhaka kepada perintah
Allah S.W.T., maka baginda bersabda: “Maka
dibukakan pintu neraka baginya, lalu didatangkan kepadanya dari panas dan
racunnya.”
Barzakh merupakan tempat awal pemberian balasan,
samada seksa awal atau kenikmatan akhirat. Telah ditetapkan keadilan Allah S.W.T.,
kesempurnaan dan kesucianNya untuk memberikan kenikmatan dan kesenangan kepada
orang mukmin, dan seksaan dan penderitaan kepada golongan yang ingkar kepada
perintahNya
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Tidakkah
seorang Muslim berjalan melewati kuburan saudaranya yang dikenalnya ketika di
dunia, lalu dia mengucapkan salam kepadanya, melainkan Allah mengembalikan
rohnya kepadanya hingga dia membalas salam saudaranya.”
Ertinya bahawa orang yang sudah meninggal dunia
mengetahui ziarah saudaranya dan juga menjawab salamnya.
Di dalam kitab Shahih Bukhari dan Sahih Muslim diriwayatkan
dari Nabi s.a.w. dari beberapa jalur, bahawa baginda memerintah untuk
mengumpulkan para syuhada perang Badar dan meletakkan ke dalam satu lubang
bekas sumur. Kemudian baginda datang dan berdiri dekat mereka sambil memanggil
nama mereka satu persatu: “Wahai Polan
bin Polan, wahai Polan bin Polan, apakah kamu mendapat apa yang dijanjikan
Tuhan kamu adalah benar? Sesungguhnya aku telah mendapat apa yang dijanjikan
Tuhanku kepadaku adalah benar.”
Lalu Sayyidina Umar bertanya kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin engkau
bercakap dengan orang-orang yang sudah menjadi bangkai?” Baginda menjawab: “Demi Tuhan Yang Mengutusku dengan
kebenaran, mereka lebih mampu mendengar apa yang aku katakan daripada kamu,
hanya sahaja mereka tidak mampu menjawab.”
Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawa orang sudah
meninggal dunia dapat mendengar suara sandal orang-orang yang menghantarkannya,
ketika mereka meninggalkan kuburnya.
Roh berperanan di alam ghaib yang tidak mampu
terjangkau oleh akal untuk mencerap atau
melihatnya. Roh orang-orang mukmin yang meninggal dunia berada di Ar-Rafiqul
A’la di IIIiyyin yang paling tinggi. Ia masih mempunyai hubungan dengan
jasadnya. Jika orang Muslim mengucapkan salam kepada si mati, maka Allah S.W.T.
mengembalikan roh kepadanya, sehingga ia boleh menjawab salam itu. Roh itu
tetap berada di Ar-Rafiqul A’la dan tidak menyertai jasad.
Roh Nabi s.a.w. sentiasa berada di Ar-Rafiqul
A’la, Allah S.W.T. akan mengembalikan roh baginda di maqamnya untuk menjawab
salam orang yang menyampaikan salam baginda dan juga mendengar perkataannya.
Nabi s.a.w. menceritakan tentang perjumpaan baginda dengan Nabi Musa berdiri di
makamnya di Baitulmaqdis semasa peristiwa “Israk dan Mikraj”. Kemudian
apabila sampai di langit keenam, baginda berjumpa semula dengan Nabi Musa.
Perpindahan roh yang begitu pantas tidak dapat dicerap atau difikir dengan akal. Begitulah sifat roh
yang tidak dibatasi oleh jarak dan waktu! Keadaan roh itu juga saling
berbeza kemampuannya di antara mereka mengikut darjat kehampiran (al-Qurb)
seseorang dengan Allah S.W.T. yang dicapai berdasarkan darjat atau tingkat
kerohanian. Roh yang lepas bebas ialah roh orang-orang Mukmin semasa di dunia mereka mampu membebaskan diri
mereka dari kehendak hawa nafsu yang sentiasa membelenggunya untuk mencapai
darjat yang tertinggi (darjat ihsan).
Nabi s.a.w. mensyariatkan kepada umatnya, agar
mereka mengucapkan salam kepada ahli kubur, seperti mereka ucapkan kepada orang
yang masih hidup, iaitu dengan ucapan:
“Salam
sejahtera ke atas kamu, tempat tinggal orang-orang Mukmin.”
Ucapan seperti ini sepatutmya disampaikan kepada
orang yang dapat mendengar dan memahaminya. Jika orang yang sudah meninggal
dunia itu tidak dapat mengetahui dan memahaminya, nescaya ucapan seperti ini
sama dengan bercakap kepada orang yang tiada dan benda yang mati.
Kalangan al-salaf sepakat akan hal ini, dan banyak
atsar yang diriwayatkan dari mereka, bahawa orang yang meninggal dunia dapat
mengetahui ziarah orang yang masih hidup dan dia merasa gembira akan
kedatangannya itu.
Abu Bakar bin Abdullah bin Muhammad bin Ubaid bin
Abu Dunya mengatakan di dalam Kitab al-Qubur
, bab tentang orang yang meninggal dunia mengetahui ziarah orang yang masih
hidup, dari Aisyah r.a., dia berkata Nabi s.a.w. bersabda. yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang menziarahi kuburan saudaranya dan duduk di
dekatnya, melainkan mengetahuinya dan menjawab perkataanya hingga dia bangkit.”
Abu Hurairah r.a.
berkata:
“Apabila
seseorang melewati kuburan saudaranya yang dikenalnya lalu dia mengucapkan
salam kepadanya, maka orang yang mati itu membalas salamnya dan mengenalinya.
Jika dia melewati kuburan orang yang tidak dikenalnya lalu mengucapkan salam,
maka dia hanya membalas salamnya.”
Diriwayatkan dari Ad-Dhahhak, dia berkata: “Sesiapa yang menziarahi suatu kuburan pada
hari Sabtu sebelum matahari terbit, maka roh ziarahnya itu mengetahui
ziarahnya.” Seseorang bertanya kepadanya: “Bagaimana hal ini boleh terjadi?” Dia menjawab: “Kerana keutamaan hari Jumaat.”
Diriwayatkan dari Usman bin Saudah At-Thafaway,
ibunya adalah seorang perempuan ahli ibadat dan digelar ‘Perempuan Rahib’. Dia berkata:
“Ketika
ajal hampir menjemput ibu, dia
mengangkatkan kepalanya ke langit lalu berkata,“Wahai simpanan dan pusakaku,
yang menjadi sandaran dalam hidupku ketika hidupku dan setelah matiku,
janganlah Engkau menelantarkan aku ketika mati dan janganlah Engkau membiarkan
aku di kuburku.”
Tidak lama kemudian ibu meninggal dunia. Pada
setiap hari Jumaat aku menziarahi kuburnya, mendoakan baginya, memohon
keampunan baginya dan bagi para penghuni kubur. Suatu ketika aku bermimpi
bertemu dengan ibu. Maka aku bertanya, “Wahai ibu, bagaimana keadaan ibu
sekarang?”
Ibu menjawab: “Wahai
anakku, sesungguhnya kematian itu kesulitan yang sangat berat. Tetapi
alhamdulillah aku sekarang berada di alam Barzakh yang terpuji. Di sana kami
menebarkan Raihan, bertelekan pada bantal sutera tebal dan nipis, hingga hari
berbangkit.”
Aku
bertanya: “Apakah memerlukan sesuatu
daripadaku?” Ibu menjawab: “Ya, ada.” Aku bertanya: “Apakah itu?”
Ibu
menjawab: “Janganlah engkau berhenti
menziarahi kami dan mendoakan kami, kerana aku gembira dengan kedatanganmu pada
hari Jumaat. Ketika engkau berangkat mening- galkan keluargamu, dikatakan
kepadaku, “Wahai perempuan rahib, ini dia anakmu datang. Maka bergembiralah
engkau.” Maka dengan ziarahmu ini, orang-orang di sekitarku yang sudah
meninggal dunia juga merasa gembira.”
Nabi s.a.w. telah mengajari umatnya, jika mereka
menziarahi kuburan hendaklah mengucapkan:
“Kesejahteraan
semoga sentiasa dilimpahkan atas kamu sekalian wahai penghuni perkampungan yang
terdiri dari orang-orang mukmin dan Muslim, dan kami insya Allah akan menyusul
kamu sekelian. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu meninggal
dunia daripada kami dan kamu serta yang lebih akhir, kami bermohon semoga Allah
melimpahkan keselamatan kepada kami dan kepada kamu sekelian.”
Roh yang terpisah dari jasad (kematian) itu ada
dua jenis iaitu roh yang mendapat seksaan dan roh yang mendapat kenikmatan. Roh
yang mendapat seksaan disibukkan dengan seksaan yang menimpanya, sehingga dia
tidak boleh saling berkunjung dan bertemu. Sebaliknya, roh yang mendapat
kenikmatan mendapat kebebasan dan tidak dibelenggu, sehingga mereka boleh
saling berkunjung dan bertemu serta mengingatkan apa yang pernah terjadi di
dunia dan apa yang akan dialami para penduduk dunia lainnya. Setiap roh bersama
pendampingnya, yang menyerupai amal solehnya sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
“Dan
sesiapa taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di
syurga) bersama-sama dengan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah kepada
mereka, iaitu Nabi-nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan orang-orang yang
soleh, serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
(Surah al-Nisa’, ayat:
69)
Kebersamaan ini berlaku di dunia, di alam Barzakh
dan di hari pembalasan. Seseorang bersama orang lain yang dicintainya pada
ketiga-tiga alam itu.
Allah S.W.T. mensifati roh itu dengan dimatikan,
ditahan dan dilepaskan seperti firmanNya di dalam al-Quran:
اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي
لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ
وَيُرْسِلُ الْأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ
لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Allah yang
memegang roh manusia ketika matinya dan memegang roh manusia yang belum mati
di waktu tidur, lalu Allah menahan roh orang yang telah ditetapkan kematiannya
dan melepaskan roh orang yang lain (tidur) sampai waktu yang ditentukan.
Sungguh pada yang demikian itu menjadi ayat-ayat (tanda) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Zumar,
ayat: 42)
Abu Hurairah berkata: “Jika roh seseorang mukmin
keluar dari jasadnya, maka roh tersebut diterima oleh dua
malaikat dan menaikkannya ke langit.” Hammad pula berkata: “Disebutkan bahawa
bau wangi roh orang yang beriman itu bagaikan kasturi.” Abu Hurairah kembali
berkata: “Penghuni langit berseru; roh baik datang dari bumi. Semoga Allah
berselawat atasmu dan atas jasad yang selama ini sibuk beramal soleh, lalu roh
tersebut pergi mengadap Tuhannya.”
Hammad berkata: “Jika roh orang kafir keluar dari
jasadnya, maka bau busuknya sangat
menjijikkan, maka pada waktu itu para penghuni langit berseru: “Roh jahat dari
bumi”, para malaikat mengutuk roh tersebut.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Barra’
menerangkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Penghormatan akan
diberikan kepada roh seorang hamba yang beramal soleh setelah keluar dari
jasadnya, para malaikat berselawat kepada roh yang baik itu, dibukakan baginya
pintu langit, diberikan kain kafan dan wangi-wangian dari syurga. Rohnya mengeluarkan
bau wangi-wangian yang melebihi wanginya kasturi, lalu para malaikat membawanya
dalam perjalanan mulia dan terhormat.
Sebaliknya roh yang jahat akan dilaknat oleh
malaikat langit pada saat ia keluar dari jasadnya, lalu pintu langit tertutup
baginya. Setiap rombongan malaikat berseru di pintu langit agar roh tersebut
tidak lalu di hadapan mereka. Di samping itu, roh tersebut diberi kain kafan dan
bau dari neraka. Dari roh tersebut keluar bau busuk yang membuatkan malaikat
menderita, lalu ia dinaikkan ke langit, tapi pintu-pintu langit tidak dibukakan
untuknya, maka roh itu dicampakkan dengan penuh kemurkaan.
Nabi s.a.w.
menceritakan selepas menghadapi kematian bahawa roh itu di bawa naik ke
langit dan setiap malaikat yang ada di langit dan bumi berdoa kepada Allah
S.W.T. untuk roh itu. Pintu-pintu langit dibukakan bagi roh itu, lalu ia naik dari satu langit
ke langit yang lain, hingga dibawa kepada Allah
azza wa jalla. Allah S.W.T. memerintahkan para malaikat agar namanya
ditulis dalam buku penghuni IIIiyyin atau dalam buku orang-orang yang derhaka,
kemudia ia dikembalikan ke bumi. Sedangkan roh orang kafir dilempar dengan satu
kali lemparan, dan ia masuk ke dalam kuburnya di dalam badan untuk menghadapi
pertanyaan.
Nabi s.a.w. juga menceritakan bahawa roh orang
mukmin terbang hinggap di sebuah pohon di syurga, lalu dikembalikan Allah ke
jasadnya. Baginda juga menceritakan bahawa roh para syuhada berada di dalam
tubuh burung berwarna hijau, hilir mudik di sungai-sungai syurga dan memakan
dari buah-buahnya. Baginda juga menceritakan bahawa roh itu mendapat kenikmatan
dan azab di alam Barzakh hingga datangnya Hari Kiamat.
Ibn Abbas berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketika saudara kamu terbunuh di Uhud, maka Allah meletakkan roh mereka di
dalam badan seekor burung yang berwarna hijau, menempati sungai-sungai syurga,
memakan buah-buahannya, hingga di pelita-pelita dari emas di bawah lindungan
Arasy. Ketika mereka mendapatkan tempat makan, tempat minum dan tempat tidur
yang bagus, maka mereka berkata, “Sekiranya saudara kita mengetahui apa yang
telah diperbuat Allah kepada kita, tentulah mereka tidak akan menghindar dalam
jihad dan tidak melarikan diri dari peperangan.” Allah azza wa jalla berfirman:
“Aku menyampaikan kepada mereka tentang kamu.”
Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat kepada Nabi
s.a.w. iaitu surah Ali Imran, ayat: 169 yang bermaksud:
“Janganlah
sesekali kamu menyangka bahawa orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada
jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup di sisi
Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Allah S.W.T.
juga berfirman yang bermaksud:
“Kesudahannnya,
jika ia (yang mati itu) dari orang-orang Muqarrabin, maka (ia akan beroleh)
ketenteraman, rezeki yang baik dan syurga yang penuh kenikmatan.”
(Surah
al-Waqi’ah, ayat: 88-89)
FirmanNya lagi:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ
الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا
بِالْجَنَّةِ
الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya
orang yang berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka meneguhkkan
pendirian mereka (mencapai kesempurnaan hati), maka malaikat akan turun kepada
mereka (pada saat kematian mereka) lalu berkata, ‘Janganlah kamu bimbang
(daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu
berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada
kamu.”
( Surah
Fussilat, ayat: 30)
Diriwayatkan dari Masruq, beliau berkata: “Para sahabat r.a. berkata kepada beliau,
“Tidak seharusnya kami berpisah dengan engkau di dunia ini. Jika engkau
meninggal dunia, maka engkau akan ditinggikan di atas kami, sehingga kami tidak
boleh melihat engkau.”
Menurut Ka’ab bahawa roh orang-orang mukmin berada
di IIIiyyin di langit ketujuh, sedangkan roh orang-orang kafir berada di Sijjin
di bumi ketujuh, di bawah pasukan Iblis.
Salman Al-Farisi mengatakan bahawa roh orang-orang
mukmin berada di Barzakh di bumi dan dapat pergi ke mana pun yang
dikehendakinya. Sebaliknya, roh orang-orang kafir berada di Sijjin. Dalam suatu
lafaz daripadanya disebutkan, bahawa roh orang-orang mukmin berada di bumi dan
dapat pergi menurut kehendaknya.
Asy-Sya’bi berkata: “Ada seorang lelaki dari
kalangan Anshar datang menemui Nabi s.a.w. sambil menangis. Baginda bertanya:
“Apa yang membuatmu menangis?” Lelaki Anshar itu menjawab: Wahai Nabi Allah, demi
Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, engkau lebih aku cintai daripada
keluargaku dan hartaku. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, engkau
benar-benar lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Ketika aku ber- sama
keluargaku, aku selalu ingat engkau. Tiba-tiba aku ingat jika engkau wafat dan
aku pun wafat. Maka ketika itulah aku sedar bahawa sesekali pun aku tidak dapat
berkumpul dengan engkau kecuali di dunia sahaja. Engkau akan ditinggikan di an-
tara para nabi, dan aku sedar bahawa sekiranya aku masuk syurga, maka aku akan
berada di tempat yang lebih rendah dari tempat engkau.”
Baginda s.a.w. tidak menjawab perkataan orang
Anshar itu sehingga turunlah ayat 69 dari surah al-Nisa’.
Allah S.W.T.
yang bermaksud:
“Wahai jiwa
(roh) yang tenang (roh yang diberkati). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati
yang puas (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredaiNya. Maka masuklah
engkau di dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam
syurgaKu.”
(Surah al-Fajr, ayat: 27-30)
7.
Ketentuan Allah S.W.T. (Sunnahtullah)
Umat Islam seharusnya menerima hakikat bahawa ilmu
dan kefahaman agama (pelbagai bidang) merupakan perkara asas dan terpenting
yang perlu didakwahkan dan disebarkan
dalam kalangan umat Islam. Ini bertujuan supaya segala amal ibadat yang
dilaksanakan itu betul dan tepat untuk Allah datangkan hasil (rahmat dan
pertolonganNya), iaitu bertepatan dengan sunnahNya atau ketentuanNya. Begitulah juga dengan segala bentuk, cara
dan jalan tarbiyah akidah (Akidah al-Quran) sebagai sebab-musabab yang
bertepatan itu pula semuanya telah ditempuh dan dilalui oleh Nabi s.a.w., para
sahabat , tabi’in dan al-salaf. Ertinya
apabila ummah memilih jalan (tarbiyah akidah)
yang lain, maka nati jahnya juga akan menjadi lain. Oleh itu umat Islam
mesti menolaknya dan kembali mengikut tarbiyah (akidah) generasi umat
Islam awal yang telah berjaya sampai ke
darjat yang tertinggi (darjat ihsan)
dan memiliki “rahsia kekuatan ummah”,
dan mereka sentiasa mendapat bantuan dan kemenangan dari Allah S.W.T.
Allah S.W.T. sudah menetapkan tiap-tiap sesuatu
itu hanya terhasil dengan sebab dan peraturan. Sebab atau ketetapan ataupun
peraturan terhasilnya sesuatu itu pula sudah ditentukan. Inilah yang dinamakan
sunnahtullah seperti dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.:
فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَبْدِيلاً وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَحْوِيل
Maksudnya:
“Sesungguhnya
kamu tidak akan mendapati apa yang disunahkan (ketetapan) Allah itu berubah.
Sekali-kali kamu tidak akan mendapati sebarang
penukaran bagi perjalanan ‘Sunnah Allah’ itu.”
(Surah
al-Fatir, ayat: 43)
FirmanNya lagi,
maksudnya:
“Kemudian
Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih di kalangan
hamba-hamba Kami. Maka di kalangan mereka ada yang menzalimi dirinya sendiri
(dengan tidak mengamalkan ajaran al-Quran), dan antaranya ada yang bersikap
sederhana, dan antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat
kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurniaan yang besar
(daripada Allah semata-mata).”
(Surah
al-Fatir, ayat: 32)
Untuk memburu kejayaan atau terhasil sesuatu maka dituntut agar berusaha dan
berikhtiar. Usaha ikhtiar ini merupakan satu perintah Allah sebagai melahirkan sebab. Malah, Allah perintahkan pula supaya usaha ikhtiar itu
mesti dibuat bersungguh-sungguh dengan segenap tenaga dan keupayaan yang termampu.
Manusia sememangnya diberi peluang seluas-luasnya ruang untuk memilih dan
berusaha.
Usaha yang bersungguh-sungguh itu bukan sekadar
dari sudut curahan tenaga semata-mata. Ia mestilah juga berserta dengan segala syarat atau memenuhi keperluan
yang bersangkutan dengan hasil yang hendak dicapai. Atau menepati dengan peraturan
sesuatu perkara itu. Sehingga dengan itu ianya selari, sesuai dan bertepatan
dengan ketentuan Allah. Memanglah semua orang tahu hakikatnya perubahan itu
dari Allah. Namun Allah S.W.T. jika hendak datangkan perubahan juga mestilah
bersebab!
Perlu diingat agama Islam ini adalah hak milik
Allah. Maka Allah jua yang berhak
menentukan siapa di kalangan hambaNya yang benar-benar layak dikurniakan darjat
yang tertinggi (darjat ihsan) ini. Allah memelihara kemurnian dan
kemuliaan Islam daripada dicemari oleh orang-orang yang kufur (kesesatan).
Apabila Allah kehendaki kejayaan dan kemenangan diberi kepada umat Islam tiada
suatu kuasa pun yang dapat menghalang dan menahan dari berlaku.
Sekali lagi ditegaskan bahawa setiap sesuatu
tertakluk kepada hukum sebab akibat atau sunnahtullah (ketentuan atau ketetapan
Allah). Hanya sebab-sebab yang tepat sahaja yang akan menghasilkan akibat
(natijah) yang diharapkan. Tidak mungkin padi akan hidup di atas batu yang
kering kontang. Jika mahukan darjat yang tertinggi atau memiliki kesempurnaan
hati tanpa berzikrullah atau mujahadah adalah umpama mengharapkan ikan tanpa
memancing atau umpama mengharapkan anak tanpa berkahwin ataupun umpama
mengharapkan buah tanpa menanam pokok.
Pada keseluruhannya buku ini mengajak para pembaca
sekelian dan seluruh umat Islam berfikir sejenak betapa sukarnya menjalani
tarbiyah akidah (Akidah al-Quran) untuk sampai ke darjat tertinggi (darjat
ihsan) yang mana terpaksa
bertarung di sepanjang hayat bermujahadah melawan desakan hawa nafsu dan waswas
syaitan (lintasan-lintasan jahat) yang sentiasa mendorong manusia melakukan
kejahatan atau maksiat. Oleh itu, jika hati/roh tidak berfungsi (kesesatan),
nafsu akan bermaharajalela di dalam diri. Bila nafsu bermaharajalela di dalam
diri, maka suburlah sifat tamak, rakus, pemarah, hasad dengki dan lain-lain
kejahatan yang menjadi faktor utama penyumbang kepada gejala buruk, maksiat, rasuah, kezaliman, jenayah dan
keruntuhan akhlak dalam kalangan ummah
Begitu tinggi nilai darjat ihsan
(kesempurnaan hati/akidah) sehingga terlalu sukar untuk diperolehi. Tetapi ia
bukan satu alasan untuk umat Islam memandang sepi dan meminggirkan begitu
sahaja. Sebab itulah digambarkan sebagai ‘rahsia kekuatan ummah’. Kesan dengan
memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan) inilah menjadi
faktor kepada kejayaan zaman ummah yang awal itu. Sejarah telah membuktikan
hakikat ini, bangsa Arab yang sebelumnya terkenal jahil, malas dan jumud telah
bertukar menjadi bangsa yang kuat dan mulia setelah menerima Islam. Dalam
jangka masa yang tidak sampai 30 tahun selepas menjadikan syiar Islam (Akidah
al-Quran dan Syariat Islam) sebagai pegangan hidup, umat Arab telah menjadi
empayar dunia. Dalam apa jua keadaan, Islam telah menetapkan aspek akidah (Akidah
al-Quran) ini mesti diletakkan pada tempat yang tertinggi. Di pihak musuh Islam
yang sentiasa berusaha memadam dan melenyapkan “rahsia kekuatan ummah” dari jiwa umat Islam, kerana mereka melihat
bahawa telah terbukti Islam ini kuat, gagah, unggul dan agung kerana umatnya sentiasa hampir kepada rahmat dan pertolongan
Allah (golongan al-muhsinin).
Sebaliknya pula apabila umat Islam mengabaikan pencapaian “rahsia kekuatan
ummah”, maka mudah sahaja mereka dipermainkan dan diperkotak-katikkan oleh
pihak musuh.
Dari fakta-fakta yang telah diberikan di atas,
maka amat nyata dan jelas bahawa pencapaian darjat ihsan atau memiliki
kesempurnaan akidah itu memang diperintahkan oleh Allah. Kerana itulah maka
kita dapati Nabi s.a.w. dan generasi umat Islam yang awal seperti para sahabat
r.a., tabi’in dan al-salaf berzikir dan
mujahadah dengan bersungguh-sungguh (Akidah al-Quran) sebagai amalan biasa dalam
kehidupan harian untuk mencapai darjat
yang tertinggi (darjat ihsan). Inilah golongan umat Islam yang telah
benar-benar berjaya menghayati akidah
yang hakiki dalam penghayatan Islam yang
sebenarnya, zahir dan batin/rohani. Malahan inilah golongan orang-orang
yang terbaik, yang hampir kepada Allah
dan mendapat keredaanNya dan itulah antara hakikat yang dimaksudkan dalam
firman Allah S.W.T. da- lam surah al-Taubah, ayat 100.
Hakikatnya, kebanyakan umat Islam masa kini hanya dapat menghayati dua asas daripada
tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman sahaja kerana mengabaikan amalan
zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya. Kerana itulah mereka tidak akan dapat
menghayati Akidah al-Quran melainkan mereka belajar dan beramal dengan
ilmu dan amalan tarekat Tasawuf seperti yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.
yang bermaksud:
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan
penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”
(Surah al-Baqarah, ayat:10)
No comments:
Post a Comment