QIYAMULLAIL MENJANA “RAHSIA KEKUATAN UMMAH”

Qiyamullail merupakan amalan rohani Islam  utama  untuk mencapai kesempurnaan hati bagi menjana “rahsia kekuatan ummah”, iaitu mendapat rahmat dan pertolongan Allah S.W.T.  Amalan ini dirujuk di dalam al-Quran sebagai “perkataan yang berat” iaitu menggambarkan betapa sukarnya manusia untuk mengerjakan amalan ini. Seruan Allah  supaya ummah mampu bangun malam bertujuan mengerjakan solat tahajjud adalah  untuk menerima anugerahNya yang agung iaitu khusyuk hati terha- dapNya  dan dikabulkan segala doa, agar hubungan ummah dengan kerajaan langit semakin dekat  serta taqarrubnya dengan Tuhan Maha Pencipta terikat sepenuh jiwa dan sempurna.

1.  Perintah Mengerjakan Qiyamullail

Amalan ini juga digambarkan dalam al-Quran  melalui peringatan-peringatan yang indah dan jelas tentang golongan yang mendapat kemenangan di akhirat nanti iaitu balasan syurga bagi mereka yang mampu istiqamah dalam berqiyamullail.  Allah S.W.T.  memerintahkan umat Islam supaya bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini. Sebagai contoh daripada beberapa firman Allah:
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ  كَانُوا قَلِيلاً مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ  آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ  كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ   وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya  orang-orang  yang  bertaqwa berada di taman-taman (syurga) di mata-mata air. Sambil  mengambil  apa  yang diberikan  kepada  mereka   oleh  Tuhan  mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah  orang-orang  yang berbuat baik. Mereka tidur sedikit pada waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” 
                                                                                    (Surah al-Zariat, ayat: 15 - 18)

 وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَاماً مَّحْمُوداً

Maksudnya:
“Dan  di sebahagian   malam hari, solat  tahajjudlah engkau sebagai  suatu  ibadat  tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan mu mengangkat mu ke tempat terpuji.” 
                                                                        (Surah al-Isra’, ayat: 79)


  تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ  فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

 Maksudnya:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedangkan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka, (iaitu bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”                           
                                                                                    (Surah al-Sajadah, ayat: 16 - 17)

أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاء اللَّيْلِ سَاجِداً وَقَائِماً يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ
Maksudnya:
“(Apakah kamu, hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu malam yang bersujud dan berdiri (qiyamullail), sedang ia takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Allah.”            
                                                                                                (Surah al-Zumar, ayat: 9)


وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً   إِنَّ هَؤُلَاء يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءهُمْ يَوْماً ثَقِيلاً
Maksudnya:
“Dan bersujudlah di sebahagian waktu malam dan bertasbihlah pada waktu malam yang  panjang pada malam hari. Sesungguhnya orang kafir menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan akibat yang menimpa mereka pada hari yang berat.”                                                                          (Surah al-Insan, ayat: 26 - 27)

Allah S.W.T.  berfirman:
 وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَارَ النُّجُومِ
Maksudnya:
“Dan  juga  hendaklah bertasbihlah kepadaNya pada  di malam hari  dan  di waktu  terbenamnya  bintang-bintang  (di waktu fajar)”           (Surah al-Thur, ayat 49)

FirmanNya lagi:
 وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً   وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً
Maksudnya:
“Dan hamba-hamba (Allah) Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucap kata-kata selamat. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.”
                                                                                    (Surah al-Furqan, ayat: 63- 64)

Nas-nas al-Quran di atas  digambarkan dengan kalimat-kalimat indah dan tersirat tentang keutamaan dan keagungan qiyamullail yang berat ini. Ini bertujuan supaya tidak menimbulkan salah faham atau menakutkan kepada  golongan yang ingin me- meluk agama Islam terhadap amalan ini ataupun ianya menggambarkan saat kesedaran manusia menghadapi godaan nafsu dan syaitan. Mereka tertarik kepada sistem Syariat Islam yang  dapat memberi keadilan dan kemakmuran dalam kehidupan untuk semua manusia. Apa saja kebaikan yang ditetapkan dalam ajaran Islam itulah juga yang diinginkan oleh fitrah manusia.

Membangunkan kebaikan dan kebaktian ertinya membuat perkara-perkara yang memang sesuai dan disukai oleh manusia. Membangunkan makrufat ini ertinya melaksanakan runtunan yang sememangnya umat Islam sendiri inginkannya dan manusia lain juga menyukainya kerana fitrah manusia adalah sama. Melalui makrufat yang tersebar luas itu nescaya dapat menambat hati manusia kepada agama Islam itu sendiri kerana manusia dapat melihat dan merasai betapa Allah  yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang menurunkan berbagai nikmat. Betapa pentingnya proses tarbiyah akidah ini yang mana Allah S.W.T.  telah menjelaskan di dalam al-Quran yang mulia bahawa orang-orang  (orang Arab Badwi) yang baharu memeluk Islam itu hanyalah  tunduk (patuh) kepada kebenaran Islam dan mereka belum memiliki kesempurnaan hati sebagaimana firman Allah S.W.T., maksudnya:
“Berkata orang-orang Arab Badwi: Kami telah beriman: Katakanlah: Kamu belum beriman, tetapi katakanlah: Kami telah Islam (tunduk) dan belumlah masuk keimanan  dalam hati kamu. Jika kamu mengikuti Allah dan RasulNya tidaklah kurang (pahala) amalanmu sedikit pun. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.”
                                                                                    (Surah al-Hujarat, ayat: 14)

Tegasnya, Nabi s.a.w melaksanakan proses tarbiyah akidah ke atas para sahabat  menerusi  berzikir dan  mujahadah   memerangi kehendak hawa nafsu  dan godaan syaitan untuk  mencapai kesempurnaan aspek rohani itu. Ini menepati firman Allah S.W.T.  yang bermaksud:
“Dan juga hendaklah bertasbihlah kepadaNya  pada   di malam hari  dan  di waktu  terbenamnya   bintang-bintang (di waktu fa jar)”                          
                                                                        (Surah al-Thur, ayat: 49)

Dijelaskan oleh Jamaluddin Al-Qasimi bahawa ayat Allah di atas bermaksud agar berterusan berzikrullah dan bangun malam mentaqarrubkan diri kepada Allah  melalui solat tahajjud dan membaca al-Quran. Ditegaskan pula oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Kemudian apabila engkau telah selesai (dari sesuatu amal iba- dat), maka bersungguh-sunggguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”          
                                                                                    (Surah al-Syarh, ayat: 7-8)

Ibn Mas’ud r.a. mentakwilkan ayat Allah  di atas sebagai penegasan bahawa apabila kamu semua telah selesai menunaikan solat fardu, maka bersegeralah mendirikan qiyamullail.        
                                                                                    (Al-Marwazi dalam qiyamullail)

2. Hakikat Keimanan Di Zaman Nabi s.a.w.

Jalan tarbiyah untuk mencapai kesempurnaan akidah  tidak dapat dicapai menerusi proses tarbiyah akidah yang mudah seperti dakwah (akidah) golongan ahli zahir (pemahaman teori Tauhid Wahabi dan ilmu Kalam) atau seolah-olah  membina konkrit yang kuat serta kukuh selama-lamanya sehingga ke akhir hayat menerusi ucapan kalimah syahadah! Ingatlah! Jangan sekali-kali kita berangan-angan untuk menjadikan pengakuan dan penyaksian terhadap keesaan Allah  itu sebagai landasan memasuki syurga atau  menjauhi diri dari azab neraka. Ini  kerana hakikat keimanan atau kesempurnaan akidah yang sebenar bukan hanya sekadar penyaksian tauhid kepada Allah semata-mata. Kesempurnaan aspek rohani ini hanya mampu dicapai menerusi berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh (Akidah al-Quran) yang telah terserlah kepentingan pengamalannya sebagai satu jalan terbaik untuk sampai kepada mengenal Allah. Setelah seronok menerima Islam diiringi pula dengan faham, mestilah pula diyakini tentang perlunya berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan rohani Islam yang utama untuk menjana  “rahsia kekuatan ummah”.

Al-Quran menggambarkan suatu kewajipan ke atas setiap individu Muslim melaksanakan zikir yang terus menerus (Akidah al-Quran) kerana rasa keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.  juga akan  menguasai  jiwa orang yang sentiasa berzikir, lalu terserlah pula rasa penyerahan diri yang sempurna kepadaNya sahaja, dan golongan inilah yang mampu memikul perintah Allah  yang berat, iaitu  istiqamah berqiyamullail dalam kehidupan. Selaras dengan banyaknya Hadis-hadis Nabi s.a.w. ke atas perintah melaksanakannya, maka amatlah jelas kepada kita semua tentang  keutamaaan dan keagungan amalan  ini untuk menghampirkan diri kepada hadrat Allah  dan mendapat keredaanNya. Nabi s.a.w.  mengerjakan  amalan yang berat  ini dengan bersungguh-sungguh di  dalam semua keadaan seperti sihat, sakit, kesukaran, musafir, menghadapi bahaya dalam peperangan dan sebagainya. Begitu juga para sahabat  dan al-salaf sentiasa mengambil berat dalam mendirikan amalan rohani Islam ini sehingga menjadi amalan biasa yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang awal.

Manifestasi dari kekuatan ‘nur zikrullah’ yang memenuhi segenap sudut hatinya menerusi amalan zikir mengingati Allah terus menerus (Akidah al-Quran) akan memudahkan mereka mengerjakan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang dicintai Allah. Rasa cinta orang Mukmin kepada Allah  tidak mengira atau mempersoalkan sama ada sesuatu amalan itu sunat atau wajib. Baginya bukan soal kedudukan hukum wajib atau sunat. Bukan soal ranting yang dipandang remeh temeh oleh orang lain. Kesukaannya adalah kerana semata-mata sesuatu amalan itu dicintai oleh Allah. Malah, paling tidak setiap individu Muslim mesti berusaha mendapatkan bahagian daripada rasa cinta Allah  dan sentiasa berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh kerana tingkat mahabbah itu bergantung kepada tekad dan persiapan rohani (tingkat keimanan). Begitulah darjat yang tertinggi  (darjat ihsan) yang dicapai oleh para sahabat yang menggambarkan betapa  mendalamnya rasa cinta (mahabbah) mereka kepada Allah S.W.T. kerana melaksanakan amalan rohani ini dan dicintaiNya.

Maka tidaklah menghairankan kita semua di zaman para sahabat yang mengiringi Nabi s.a.w. masih merupakan zaman turunnya bantuan Allah  dalam segala aspek dan dalam berbagai bentuk kerana mereka memiliki “rahsia kekuatan ummah” yang dicapai menerusi amalan yang berat ini. Malah, qiyamullail menjadi amalan biasa yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang awal. Amalan ini adalah lambang kemuliaan orang Mukmin, menghapuskan dosa maksiat dan dapat me- ngangkatnya kepada darjat yang terpuji. Jarang sekali dalam kalangan para sahabat yang tidak tahu keutamaan dan keagungan amalan rohani ini dan tidak beramal dengannya. Ini kerana mereka lebih sempurna taqwa mereka dan lebih memahami hakikat Islam, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat atau yang zahir mahupun yang batin/rohani.

3. Kerajaan Langit

أَوَلَمْ يَنظُرُواْ فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللّهُ مِن شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَن يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Mengapakah mereka tidak melihat (dengan mata hati akan ayat-ayat Allah yang tersirat) dalam alam malakut kejadian yang di langit dan di bumi, dan dalam sesuatu yang Allah jadikan.”
                                                                        (Surah al-A’raf, ayat: 185)
       
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“Demikianlah kami perlihatkan dalam basirah Ibrahim ayat-ayat Allah dalam alam malakut kejadianNya yang dilangit dan di bumi, agar beliau menjadi orang yang benar-benar yakin (muqinin).”
                                                                         (Surah al-An’am, ayat: 75)

Jelas sekali mengapa ummah masa kini tidak dibela dan dibantu oleh Allah  adalah kerana mereka tidak layak dan tidak cukup syarat. Bukan sahaja amalan sunat yang memang dipandang remeh dan diperleceh begitu sahaja, malah amalan fardu pun terlalu culas, cuai dan sambil lewa. Tidak langsung memperlihatkan sifat taqwa yang sebenar dan akhlak yang mulia. Amalan sunat pula lebih cenderung berpegang kepada kedudukan “buat dapat pahala, tinggalkan tidak berdosa.” Dalam soal sunat ini tidak ada pula sikap positif  berbanding hal-hal berkaitan  duniawi yang  seringkali memilih keuntungan walaupun sekiranya tidak dilakukan tidak rugi.

Apa kaitannya kemenangan dalam peperangan dengan qiya- mullail. Namun inilah yang berlaku dalam sejarah keagungan umat Islam masa silam. Sepatutnya mengikut kelaziman, tentulah kelengkapan perang, taktik dan kegigihan tentera yang perlu dikaji selidik. Tetapi itulah yang menjadi punca bantuan Allah  tidak datang lantaran sudah mula mengabaikan amalan rohani Islam  yang utama ini. Apalah yang diharapkan dari umat yang sudah terlalu melihat nilai meterial dan fizikal berbanding “soal kerohanian” atau “rahsia kekuatan ummah” termasuk para penyokong dan pejuang gerakan Islam masa kini. Akhirnya, berjuanglah dengan sekuat tenaga tanpa bantuan dari Allah. Dalam situasi demikian antara dua ‘platform’ ini, bertarung hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah sememangnya dari dulu umat Islam tidak berupaya mengatasi musuh. Namun dalam keadaan serba serbi kekurangan itu pula, Allah  menzahirkan kekuasaanNya yang tidak ada kuasa mampu melawanNya. Allah S.W.T. memberi kemenangan untuk umat Islam yang mampu menghampirkan diri (amalan qiyamullail) kepada hadratNya.

Bantuan Allah  kepada orang yang sentiasa khusyuk hati terhadapNya dalam berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Dan lazimnya bentuk bantuan yang Allah  datangkan itu mengikut keperluan semasa atau mengikut peranan seseorang.  Ertinya bantuan Allah  bagi orang yang sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaanNya berbeza menurut keperluan dan peranan semasa. Bagi pendakwah yang memiliki darjat ini, bantuan yang Allah turunkan berbeza dengan pemimpin. Dan berbeza pula dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik. Allah  permudahkan segala urusan orang yang memiliki  darjat yang tertinggi (kesempurnaan hati) ini. Sedikit berusaha, membawa hasil yang segera dan berjaya. Apatah lagi kalau bersungguh-sungguh dan banyak berusaha. Oleh yang demikian, maka sangat dituntut agar dalam berusaha dan berikhtiar atau melaksanakan segala amal ibadat (mencari rezeki) itu mestilah selaras dengan kesempurnaan akidah. Tegasnya, agama  tidak mengenali adanya sebarang bentuk pemisahan antara Akidah al-Quran dan Syariat  Islam.

Para al-salaf berada di kedudukan tinggi dan dominan ber- banding kaum lain kerana mereka adalah orang-orang Allah yang memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Allah  menaungi mereka maka muka bumi pun selamat di tangan mereka. Merekalah golongan yang terbaik dan mendapat keredaan Allah. Ini adalah kerana mereka bencikan kemuliaan dan keuntungan dunia, mereka adalah umat yang berjaya menghayati jalan agama Islam itu. Seluruh kehidupan dunia tidak lebih dari alat untuk sampai kepada matlamat perjuangannya iaitu Allah  dan keredaanNya. Al-Quran  ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah S.W.T.:
 وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ
Maksudnya:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Dia akan benar-benar menjadikan mereka berkuasa di muka bumi.        
                                                                                    (Surah al-Nur, ayat: 55)

Sesungguhnya kebenaran (haq) datangnya dari Allah. Ayat al-Quran atau dengan lain perkataan Islam ini adalah Allah  yang punya maka Allah  menjaganya. Apabila muncul golongan yang benar-benar tepat berada di jalan kebenaran itu maka Allah  pasti membelanya. Allah  bela kerana di tangan golongan itu terjamin Islam itu benar-benar murni dan tulen. Di tangan golongan ini Islam itu benar-benar menepati kehendak Allah  dan RasulNya. Mereka memiliki cukup syarat maka tentera Allah S.W.T. pun berperanan. Oleh  sebab  itulah Allah S.W.T.  berfirman:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحاً وَجُنُوداً لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيراً
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah ketika tentera (musuh) menyerang kamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin badai (ribut) dan tentera yang tidak kamu lihat. Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.”
                                                                                                (Surah al-Ahzab, ayat: 9)

Di samping itu, Allah  hantar tenteraNya untuk mengalahkan musuh. Sedikit sahaja di kalangan pejuang kebenaran mempersiapkan tenteranya yang kadang-kadang tidak sampai perlu berfungsi. Lihat sahaja bagaimana Allah  membela dan memenangkan pejuang-pejuang kebenaran. Allah  hantar tenteraNya yang hanya dengan itu agar manusia melihat dan gerun dengan kekuasaan dan kebesaran Allah. Agar manusia juga melihat betapa kebenaran itu sentiasa dibela dan dimenangkan olehNya. Agar manusia faham bahawa kebatilan pasti musnah. Memusuhi kebenaran ertinya memusuhi Allah, maka Allah  tewaskan musuh-musuhnya. Hakikatnya,  Allah  mahu para pejuang Islam yakin akan pembelaanNya seperti firman Allah S.W.T.:
 وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa. Kami limpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.”                   
                                                                                                (Surah al-A’raf, ayat: 96)

Allah S.W.T. menceritakan sejarah para nabi dan rasul di dalam al-Quran sebagai pengajaran buat kita. Diceritakan bagaimana berlakunya kehinaan dan kebinasaan umat dahulu, lantaran derhaka dan kesombongan mereka menentang dakwah para nabi dan rasul. Mereka mati  dalam keadaan hina, di akhirat sekali lagi akan terhina dengan azab siksa yang pedih. Allah S.W.T. hantar tentera-tenteraNya dalam berbagai bentuk:

1)     Kaum Nabi Nuh a.s. binasa dilanda ribut taufan dan banjir besar. Semua manusia yang derhaka, termasuk anak dan isterinya, serta binatang  yang tidak dapat diselamatkan habis mati. Nabi Nuh a.s. telah memberi peringatan kepada mereka supaya mentaati Allah  dan kembali kepada kebenaran. Namun mereka tetap dengan pegangan yang sesat itu (menyembah berhala), malah mengajak orang lain turut sama. Oleh kerana kedegilan mereka, Nabi Nuh terpaksa berdoa kepada Allah  untuk membinasakan umatnya yang ingkar itu sebagaimana firman Allah S.W.T.:
وَقَالَ نُوحٌ رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّاراً
إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِراً كَفَّاراً

     Maksudnya:
“Nuh berkata: ‘Ya Tuhanku, janganlah engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas muka bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi kafir.”
                                                                        (Surah Nuh, ayat:  26-27)

2)  Kaum ‘Ad pula dibinasakan oleh angin yang sangat kencang dan keras akibat perbuatan mereka menentang dan membangkang dakwah Nabi Allah Hud a.s. untuk mengesakan Allah. Manakala kaum Tsamud yang tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Saleh a.s. binasa dengan kejadian yang luar biasa iaitu gempa bumi yang dahsyat seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumahnya.”                 
                                                                        (Surah al-‘Araf, ayat: 78)

3)     Kaum Lut di samping menentang kebenaran, mereka juga adalah pengamal homoseks. Peringatan dan ancaman tidak dihiraukan, mereka tetap sesat dengan perbuatan keji itu sehingga tiba balasan Allah S.W.T. dengan diterbalikkan bumi dan dihujani tanah yang keras.

4)    Kaum Aikah (kaum Nabi Shuib) juga dimatikan dengan suara yang mengguntur hingga mati di rumah. Mereka adalah kaum yang suka menipu dalam timbangan dan sukatan, suka merugikan orang demi mendapat kekayaan dan menolak kebenaran.

5)  Firaun begitu angkuh dan sombong hingga mengakui dirinya Tuhan, menganiaya, menindas dan menghalang rakyatnya menerima kebenaran dari Allah S.W.T. Akhirnya dia dan para pengikutnya ditenggelamkan Allah  di dalam laut ketika mengejar Nabi Musa a.s.

6) Penduduk Negeri Saba’ yang enggan bersyukur dengan nikmat kemewahan dan kemakmuran serta berpaling dari kebenaran yang didatangkan Allah dengan satu banjir besar. Bukan sahaja mereka yang ingkar mati, tetapi se- gala kebun dan bangunan yang indah turut binasa.

Itulah sebahagian daripada kebinasaan yang menimpa umat terdahulu. Kini kemungkaran bermaharajalela di dalam masyarakat kita. Insaf  dan bertaubatlah sebelum tiba ketentuan dari Allah. Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam hadisnya, maksudnya:
“..Bila satu kaum melakukan penzinaan secara terang-terangan mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan (menipu dalam perniagaan) mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak atasan. Bila mereka enggan membayar zakat, mereka akan terhalang oleh hujan dari langit, dan kalau tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak, tidaklah diturunkan hujan. Bila mereka me- langgar janji Allah dan RasulNya, maka mereka akan dijajah oleh musuh dari bangsa lain yang akan merampas sebahagian dari harta mereka..”
                                                                                    (HR Ibnu Majah dan Baihaqi)

4. Pelaksanaan Amalan Qiyamullail Di Zaman Nabi s.a.w.

Qiyamullail merupakan amalan rohani Islam  yang utama untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Agar terhindar dari desakan hawa nafsu dan syaitan, maka kita mesti berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh sebagai  pendorong utama untuk menghidupkan waktu malam dengan qiyamullail. Inilah persiapan diri yang diperlukan oleh setiap individu Muslim untuk istiqamah dalam berqiyamullail, iaitu dapat melepaskan diri daripada desakan hawa nafsu dan godaan syaitan. Allah  telah menggambarkan amalan  ini sebagai “perkataan yang berat” seperti yang disebutkan dalam firmanNya;
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيل
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.”                 
                                                                                    (Surah al-Muzammil, ayat: 5)

Al-Qurtubi menjelaskan maksud ayat al-Quran di atas menjurus kepada betapa berat dan sukarnya  melaksanakan qiyamullail. Bagi melaksanakan amalan ini  kita terpaksa menempuh kesukaran yang luar biasa pada diri (waktu tidur atau mengantuk) dan godaan syaitan (ikatan ketika tidur).

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Ketika salah seorang di antara kamu tidur, syaitan mengikat tiga ikatan di bahagian lehernya dan menampal di setiap ikatan dengan ungkapan ‘malam itu panjang bagimu, maka teruskanlah tidurmu.’ Jika ia terjaga dan berzikrullah kepada Allah, terlepaslah satu ikatannya. Jika ia berwuduk, terlepaslah ikatan kedua. Jika ia solat, terlepaslah seluruh ikatannya, maka dia akan menjadi bersemangat dengan jiwa yang baik. Tetapi jika ia sebaliknya, dia akan bangun pagi dengan malas dan jiwa yang resah.”

Syaitan sentiasa berusaha untuk menghalang manusia untuk bangun dari tidur bagi mengerjakan amalan ini. Syaitan itu tahu keunggulan dan keutamaan qiyamullail  yang mana Allah  mengurniakan kepada para hambaNya yang mampu bersungguh-sungguh mengerjakannya dengan anugerah  khusyuk hati dan sebagai penjana “rahsia kekuatan ummah”. Oleh itu,  syaitan akan sentiasa berjuang  dengan habis-habisan pada setiap malam bagi menghalang manusia dari mengerjakan amalan rohani Islam ini sehingga  ianya terasa menjadi beban yang amat berat.
Nabi s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:
“Orang yang berjihad adalah orang yang melawan hawa nafsunya untuk mendapatkan keredaan Allah.”
                                                                                     (HR Tirmizi dan Ibn Hibban)

Di dalam salah satu hadis, disebutkan bahawa seseorang dilaporkan kepada Nabi s.a.w. dan dikhabarkan lebih lanjut, orang tersebut tidur sampai pagi hari hingga tidak sempat berqiyamullail, lalu Nabi s.a.w. bersabda. Maksudnya:
“Syaitan kencing di telinga orang tersebut.”

Qatadah  r.a.  berkata:
“Disebutkan bahawa orang munafik tidak pernah bangun malam (solat tahajjud).”

Nabi s.a.w. bersabda. Maksudnya:
“Solat yang paling utama setelah solat fardu adalah solat malam. Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah, muharram.”

Dari Ummu Salamah r.a., diriwayatkan bahawa  Nabi s.a.w. di suatu malam tiba-tiba terjaga dari tidurnya, lalu baginda bersab- da:
“Maha Suci Allah, entah bencana apa yang diturunkan malam ini dan entah perbendaharaan apa yang akan dikurniakan. Siapa yang membangunkan penghuni bilik (isteri). Wahai, betapa ramai orang yang berpakaian di dunia namun ia bertelanjang di Akhirat.”

Orang yang bangun solat tahajjud  lebih mantap dari aspek  ketenangan dan khusyuknya hati,  serta tidak terganggu oleh kesibukan  urusan seharian yang tidak putus-putus. Akal fikiran mereka dapat berehat dari bebanan harian yang berterusan. Amalan ini juga sangat berkesan dalam membaca al-Quran iaitu hati sentiasa mengingati Allah  atau  khusyuk hati terhadapNya  berbanding membacanya di siang hari.  Perjuangan memerangi nafsu dan syaitan untuk menyahut panggilan Ilahi bagi menger- jakan amalan ini menggambarkan kejayaan umat Islam membersihkan hijab hati. Malah, melawan tarikan nafsu ke tempat tidur (tidur yang berlebihan) yang terus diperkuatkan oleh tuntutan fizikal yang keletihan dengan bebanan kerja di siang hari   merupakan  jalan bermujahadah utama untuk memerangi aspek (nafsu) itu  yang sentiasa melalaikan manusia daripada tunduk perintahNya. Suasana keheningan malam pula yang tidak ditemui pada waktu siang menghasilkan ketenangan pada hati. Allah  yang mencipta hati itu dan Dia mengetahui apa kelebihan dan kelemahan  yang ada pada hati itu.  Ternyata amalan rohani Islam ini  memberi pengaruh yang kuat pada hati ummahNya dan dapat membersihkan hijab hati sehingga hati itu hidup dan terjaga (bercahaya dengan “nur zikrullah”),  dan dapat musyahadah terhadapNya yang tidak putus-putus.  

Dapat kita tegaskan lagi bahawa bangun di waktu malam untuk mengerjakan qiyamullail merupakan amalan  yang amat berat setelah kita kepenatan  mengerjakan segala amal soleh di siang hari seperti mencari rezeki, menguruskan soal kehidupan keluarga  dan sebagainya. Manakan tidak, seharian kita bekerja dan berfikir, sudah tentu banyak  tenaga yang digunakan. Di samping itu, tidurlah merupakan keperluan utama kita  untuk berehat. Para pakar kesihatan moden berpendapat bahawa tidur nyenyak dan sempurna kita hanya memerlukan tidur sekitar 2 jam semalam. Tidur sekitar 2-3 jam inilah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat iaitu kadar rehat minima yang diperlukan untuk organ-organ badan berfungsi dengan normal.

Amalan  ini memerlukan pengorbanan dan kesungguhan untuk melawan desakan nafsu  yang sentiasa melalaikan kita dari patuh kepada perintah Allah. Hanya dengan  berzikir dan mujahadah  menjadi pendorong untuk kejayaan melaksanakan amalan yang berat ini (melawan desakan nafsu dan syaitan). Oleh sebab itulah, maka qiyamullail ini amat memberi kesan yang menakjubkan bagi setiap individu Muslim. Mereka yang telah mengamalkan dan bermalam dengannya, tidak akan meninggalkannya. Allah akan mengurniakan khusyuk hati terhadapNya  dan mengabulkan semua permohonan para hambaNya. Allah  turun ke langit dunia untuk mendengar permohonan dan keluh kesah mereka. Mereka menghampirkan diri  kepada Allah untuk menerima keberkatan dan keampunan Rabb yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Berkata Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a.:
“Sesungguhnya semua manusia bersungut atas iblis, namun  iblis juga bersungut ke atas orang yang berzikrullah.”

Lalu beliau pun membaca firman Allah S.W.T:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya  orang  yang bertaqwa  apabila  disentuh   rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pandangan (rahmat Allah ).”                        
                                                                                     (Surah al-A’raf, ayat: 201)

Nabi s.a.w. sentiasa memerintahkan para sahabat  supaya berqiyamullail kerana amat besar fadhilatnya dan para pelakunya sentiasa mendapat kemuliaan yang besar sebagaimana sabda baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Hendaklah kamu melakukan qiyamullail kerana qiyamullail  adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, sebab qiyamullail  mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.”

Abdullah bin Salam r.a. menjelaskan bahawa antara amal ibadat yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam di dalam ucapan pertama Nabi s.a.w. setelah sampai di kota Madinah adalah  mengerjakan qiyamullail. Perintah ini menggambarkan keutamaan dan keagungan amalan ini untuk ummah mendapat kemenangan dalam medan kehidupan. Beliau berkata:
“Setelah Rasulullah s.a.w. sampai ke kota Madinah, orang ramai segera pergi mendapatkan baginda. Ketika aku berada bersama baginda, aku dapati bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat jujur. Yang pertama sekali aku mendengar dari ucapan baginda adalah sabdanya: “Wahai manusia, sebar- kan perdamaian, berikanlah makanan, sambungkanlah persaudaraan (silaturahim) dan bangun dan solatlah pada waktu malam (qiyamullail) ketika orang lain sedang tidur, kemudian kamu akan masuk syurga penuh kedamaian.”
                                                                                     (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada malam ada suatu ketika dan jika orang meminta kebaikan di dunia dan di akhirat ketika tersebut, maka permintaannya pasti diberikan kepadanya dan ianya terjadi di setiap malam.”

Baginda (s.a.w.) bersabda lagi yang bermaksud:
“Pada setiap malam, Allah S.W.T.  turun ke langit dunia, ketika malam tinggal sepertiga terakhir, lalu berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku lalu Aku kabulkan doanya. Siapa yang me- minta keampunan kepada-Ku, lalu Aku ampuni dia.”

Kata Arif billah:
“Detik-detik malam itu terlalu mahal nilainya. Kerana itu, jangan memurahkannya dengan kelalaian.”

Pada awal kemunculan dakwah dan risalah Islam, qiyamullail   wajib ke atas Nabi s.a.w. dan para sahabat. Perintah wajib tersebut berjalan setahun  lalu diringankan menjadi ‘sunat muak- kadah’, iaitu sunat yang amat digalakkan  tetapi selalu di ulang-ulang perintah itu di dalam al-Quran. Itulah pendapat jumhur ulama dan empat imam. Sebab itulah apabila Nabi s.a.w. tidak dapat berqiyamullail kerana sakit atau tertidur, baginda  akan menqadha’ solat malam  dengan mendirikan solat dua belas rakaat pada waktu siang.

Disebutkan di dalam hadis, maksudnya:
“Jika Nabi s.a.w., melakukan salah satu solat, beliau mengerjakan terus menerus. Jika baginda tertidur atau sakit sehingga tidak dapat berqiyamullai, baginda  solat dua belas rakaat pada waktu siang.”

Dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. di atas, maka dapatlah  kita membuat kesimpulan bahawa  keunggulan mengerjakan qiyamullail adalah untuk mendapat khusyuk hati terhadap Allah  (terbuka hijab hati) dan penjana “rahsia kekuatan ummah.” Kerana itulah amalan  ini sentiasa dilaksanakan oleh Nabi s.a.w., para sahabat, tabi’in dan al-salaf dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan  biasa yang menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang awal itu. Mereka sentiasa menghiasi diri mereka dengan banyak beramal ibadat untuk sampai ke hadrat Allah, sentiasa  berzikir dan mujahadah terus menerus, sangat sedikit tidurnya di waktu malam (mengerjakan qiyamullail), sanggup menahan derita di dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhannya  dan  keredaanNya seperti yang disebutkan dalam firmanNya yang bermaksud:
“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu  malam untuk mereka tidur.  Dan di akhir malam mereka beristighafar kepada Allah.” 
                                                                                     (Surah al-Dzariyat, ayat: 17-18) 

Amal ibadat yang tepat dan mendapat keredaan Allah S.W.T. bukan sekadar menjaga sah  batal atau memenuhi segala syarat rukun syariat semata-mata, tanpa mengambil kira khusyuk hati semasa mengerjakan segala amal ibadat. Malangnya, ianya tidak difahami dan dihayati oleh ummah di zaman ini, akibat tidak menjalani tarbiyah akidah menerusi berzikir dan mujahadah (Akidah al-Quran). Apabila sempurnanya ibadat (Akidah al-Quran dan Syariat Islam), maka akhir perjalanannya penuh sinar kerana sampai kepada rahmat dan keredaan Allah  yang dicintainya.

Shaikh Syed Qutub  menjelaskan tentang keunggulan amalan rohani Islam ini dengan berkata:
“Mereka adalah golongan yang memiliki keyakinan (tidak ada keraguan), yang bertaqwa (tidak bercakap kosong) dan selalu terjaga untuk menyembah dan memohon keampunan dan tidak menghabiskan umurnya dalam kesia-siaan dan kealpaan. Golo- ngan ini adalah mereka yang yakin dan terjaga,  amat tajam sensitivitinya dengan pengawasan Allah S.W.T. terhadap mereka, dan pengawasan mereka terhadap diri sendiri. Kebaikan mereka digambarkan dalam gambaran khusyuk, yang halus dan sensitif. Mereka sedikit tidur di waktu malam di waktu orang lain nyenyak tidur. Mereka mengharap kepada Tuhannya dengan berdiri dan bersujud memohon keampunan dan rahmat dan menikmati sesuatu yang amat jauh dengan lebih selesa dan nikmat. Di ketika orang lain melekatkan tubuh pada tilam tetapi mereka berdiri dan sujud menadah tangan kepada Tuhan Yang Maha Penyayang yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Mereka tidak dikuasai rasa mengantuk kecuali sedikit dan me- reka tidak tidur malam kecuali sekejap. Mereka tunduk kepada Tuhan mereka pada waktu malam, di mana lambung mereka berada jauh dari tempat tidurnya. Mereka sentiasa bersiap sedia sehingga tidak merasa keberatan untuk tidak tidur. Itulah keadaan yang selalu diamati oleh tokoh-tokoh dari kalangan tabi’in dengan memiliki kedudukan teguh dalam keimanan dan keyakinan yang terhasil dari  amalan qiyamullail itu.”

Allah S.W.T. telah menjelaskan  keutamaan dan keunggulan qiyamullail untuk mencapai khusyuk hati dengan firmanNya:
 يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ  قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلاً   نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً  أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً  إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً   إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءاً وَأَقْوَمُ قِيلاً  إِنَّ لَكَ فِي اَلنَّهَارِ سَبْحاً طَوِيلاً   وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيل

Maksudnya:
Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk solat pada waktu malam, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya  atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau le- bih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perla- han. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu (berzikrullah) dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan (bersungguh-sungguh).”                 
                                                                                     (Surah al-Muzammil, ayat: 1 - 8)

Ayat al-Quran di atas sudah cukup untuk menjelaskan bahawa Allah  memerintahkan ummahNya supaya mengerjakan qiyamullail dengan bersungguh-sungguh. Allah S.W.T. mengurniakan ganjaran  yang amat besar  iaitu khusyuk hati terhadapNya kepada mereka yang mampu mengerjakan amalan ini.  Di siang hari  kita tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada aspek rohani/hati kerana mempunyai bebanan tugas harian. Kita memerlukan penumpuan akal fikiran dan tenaga sepenuhnya sebagai khalifah Allah untuk mencari rezeki dan menguruskan kehidupan harian. Dengan berqiyamullail, hati dapat sunyi dari kesibukan hidup yang tidak akan habis-habis  dan  fikiran juga dapat berehat dari berbagai-bagai beban. Dengan bersungguh-sungguh berzikrullah dan beribadat dengan penuh ketekunan, maka Allah S.W.T. akan mengurniakan khusyuk hati yang sebenar-benarnya  sebagaimana firman Allah S.W.T.  yang bermaksud:
Sebutlah nama Tuhanmu (berzikrullah) dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan (bersungguh-sungguh).”   
                                                                                     (Surah Al-Muzammil, ayat: 7)

Dengan kata-kata lain, Allah S.W.T. menjadikan waktu malam yang panjang adalah  khusus untuk manusia berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh sebagai jalan mujahadah memerangi nafsu yang bertujuan menghampirkan diri (rahmat) kepada  Tuhan Maha Pencipta dan mendapat keredaanNya. Amalan ini memerlukan persediaan rohani (berzikir dan mujahadah)  selain fizikal dan mental untuk membina mahligai qiyamullail yang sempurna. Seorang  arif billah pernah mengatakan: “Telah lima puluh tahun aku berqiyamullail, namun baru setahun ini aku dapat merasakan dan menikmati mahligai (qiyamullail) yang mulia itu.”

Allah S.W.T.  juga berfirman:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً   إِنَّ هَؤُلَاء يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءهُمْ يَوْماً ثَقِيلاً
Maksudnya:
“Dan bersujudlah di sebahagian waktu malam dan bertasbihlah (berzikrullah) pada waktu malam yang panjang pada malam hari. Sesungguhnya orang kafir menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan akibat yang menimpa mereka pada hari yang berat (akhirat).” 
                                                                                     (Surah al-Insan, ayat: 26 - 27)

Perintah Allah S.W.T. di dalam ayat di atas adalah  memerintahkan ummahNya menggunakan waktu malamnya yang panjang untuk solat tahajjud dan berzikrullah. Sebaliknya, kepada mereka yang lalai terhadap perintah ini, Allah S.W.T. menyifatkan mereka seperti orang kafir yang menyukai kehidupan dunia dan sentiasa tunduk kepada desakan hawa nafsu. Mereka tidak memperdulikan anugerah yang agung daripadaNya iaitu khusyuk hati dan mendapat keampunanNya. Golongan ini juga tidak takut terhadap siksaan yang amat pedih di Padang Mahsyar nanti. Oleh itu,  qiyamullail  merupakan amalan rohani Islam  yang utama untuk memerangi nafsu dan membaiki penyakit-penyakit hati yang tidak boleh ditukarganti dengan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta (pemahaman ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi). Oleh sebab itulah, maka seluruh  generasi umat Islam di zaman yang awal  tahu dan menghayati keutamaan mengerjakan amalan rohani Islam ini untuk menjana pencapaian “rahsia kekuatan ummah” (darjat ihsan).

Panas teriknya matahari hari Mahsyar amat luar biasa. Tidak seorang pun yang mampu menahan panasnya yang dahsyat. Keringat mengalir dari sekujur tubuh manusia, bagaikan air bah yang melanda kawasan mukim dan menghayutkan. Ada satu anugerah besar bagi hamba-hambaNya yang hadir di Mahsyar waktu itu iaitu hadiah qiyamullail  yang pernah diamalkan ketika hidup di dunia. Manusia yang sentiasa bangun malam mendirikan qiyamullail akan mendapat keringanan dari Allah  selama mereka berdiri dalam panasnya hari Mahsyar. Keringanan ini sesuai dengan lamanya berdiri ketika melaksanakan solat tahajjud.

Ibnu Abbas r.a. yang ditarbiyahkan amalan ini oleh Nabi s.a.w. sejak usia 10 tahun mengatakan:
“Sesiapa yang ingin mendapatkan keringanan akan lamanya berdiri di Padang  Mahsyar, maka hendaklah dia memperlihatkan dirinya kepada Allah dengan lamanya berdiri, rukuk dan sujud dalam qiyamullail pada waktu malam.” 
                                                (Ibnu Jarir dalam Tafsir Ibnu Jarir XXIII: 200)

Abu Amru Al-Auza’i mengatakan:
“Sesiapa yang lama dalam melaksanakan qiyamullail. Allah S.W.T. akan memberi kemudahan baginya, ketika dia berdiri di hari Mahsyar.” 
                                                (Ibnu Kathir dalam Bidayuh Wan Nihayah X: 117)

Nabi s.a.w. sentiasa mentarbiyah amalan ini ke atas para sahabat dan kaum kerabat baginda  dengan menasihatkan dan mengingatkan mereka tentang keutamaan dan keagungan qiyamullail. Nabi s.a.w. sentiasa rajin membangunkan mereka supaya mengerjakan amalan rohani Islam ini, bahkan baginda suka berjalan-jalan mencari mereka ke rumah masing-masing atau ke masjid untuk mendengar bacaan mereka pada waktu solat tahajjud dan ketika membaca kitab suci al-Quran. Nabi s.a.w. dan generasi umat Islam yang awal itu bersama-sama menikmati ibadat ini sebagai anugerah Allah  (khusyuk hati  dan mendapat keampunanNya) dan bukannya sebagai amal ibadat yang membebankan.

Qubaishah r.a.  menyampaikan bahawa Nabi s.a.w. apabila telah bangun pada tengah malam lalu baginda berdiri, lantas mengatakan:
“Wahai manusia bangun dan berzikrullah. Bunyi gema trompet pertama telah terdengar. Sesiapa yang bimbang (kepada amal ibadatnya) hendaklah dia berjalan pada malam yang kelam. Ini kerana orang yang berjalan pada malam yang kelam pasti akan tiba di tempat perhentiannya (yang selamat). Ingatlah bahawa berniaga dengan Allah amat mahal harganya. Ini kerana harga perniagaan ini adalah syurga. Bunyi trompet pertama telah sampai dan akan diikuti oleh tiupan kedua. Ketahuilah bahaw sanya kematian itu datang dengan apa yang ada bersamanya.”
             (HR Tirmizi yang menempatkannya dalam peringkat hasan sahih. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya. Imam Hakim dan Mustadraknya dikatakannya sebagai sahih sanadnya )

Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. menggambarkan orang yang suka bangun malam (solat tahajjud) seperti menjajarkan kaki yang kukuh. Ini kerana mereka mengharapkan keampunan dan kasih sayang Allah. Ketika waktu siang mereka bagaikan orang arif dan alim, bagaikan bunga-bunga mereka mengharum baunya kepada masyarakat. Kadang-kadang mereka menghabiskan malam dengan taqarrub, kelihatan fizikal mereka amat lemah. Orang yang tidak faham akan menganggap mereka sebagai orang sakit jiwa. Namun begitu malam mereka terus hidup (qiyamullail) membersihkan jiwa dengan berzikir dan membaca al-Quran. Semangat ibadat mereka terus berkobar.
                                                (Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah)

Diriwayatkan  bagaimana kesungguhan Nabi s.a.w.  berqiyamullail dengan menyinsingkan lengan baju baginda, mendirikan solat malam sebanyak tiga belas rakaat mencakup solat witir dan dua solat sunat sebelum subuh. Digambarkan juga kegigihan Nabi s.a.w. mengerjakan amalan ini sehingga bengkak kedua kaki baginda. Ini memberikan isyarat yang jelas kepada kita semua  bahawa amalan rohani ini mesti dilaksanakan dengan  bersungguh-sungguh untuk melawan godaan nafsu yang sentiasa menghalang manusia dari mengerjakan solat tahajjud.

Para sahabat juga sering berjemaah qiyamullail bersama Nabi s.a.w. Ibn Mas’ud r.a mengatakan bahawa beliau pernah bersama mengerjakan amalan ini di belakang Nabi s.a.w. Baginda sangat lama berdiri sehingga aku ingin berniat kurang baik. Ketika ditanya padanya, mengapa ia berlaku seperti itu, dia menjawab: Aku ingin duduk dan pergi meninggalkan Nabi s.a.w. (kerana lamanya baginda berdiri).          
                                                                                                (Mustafaqqun‘alaih)

Auf  bin Malik al-Asyja’i berkata: Dia pernah solat tahajjud bersama Rasulullah s.a.w. Ketika berdiri baginda membaca surah al-Baqarah. Ketika bacaannya sampai kepada ayat rahmat, baginda berhenti dan memohon rahmat Allah. Ketika berada pada ayat azab, baginda berhenti sejenak sambil memohon perlindungan dari azab Allah. Baginda lalu rukuk dengan lama, seperti lamanya berdiri. Dalam rukuknya baginda membaca kalimat:
            “Maha   Suci  Zat  yang  memiliki  kekuasaan,  kerajaan,
             kesombongan dan keagungan.”
 
Kemudian baginda sujud yang mana lamanya sama dengan berdirinya, juga membaca kalimat tersebut. Sesudah itu berdiri dengan membaca surah Ali Imran dan surah seterusnya (al-Nisa’ dan al-Maidah).
                                       (HR Abu Dawud dan Nasa’i)

Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa  pada suatu malam Nabi s.a.w. dalam keadaan sakit. Ketika seorang sahabat  r.a. memandang baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kesan sakitmu nampak jelas pada keadaan tubuhmu.” Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: “ Sesungguhnya keadaanku seperti yang kamu lihat saat ini Alhamdulillah, dalam solat tahajjud semalam aku telah sempat membaca tujuh surah yang panjang.”   
            (HR Abu Ya’la. Imam Al-Hakim mensahihkannya)

Aisyah r.a. berkata: “Hendaklah kamu semua tetap melaksanakan qiyamullail. Ini kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit, baginda lakukan dengan duduk. Aku tahu bahawa di kalangan kamu semua ada yang akan mengatakan cukup bagiku menunaikan solat wajib sahaja, dan aku pun berfikir seperti itu.”
                                                                                     (HR Imam Ahmad) 

Kesungguhan Nabi s.a.w. berqiyamullail sebagai contoh peribadi yang sekadar percikan dari amalan  biasa di dalam kehidupan baginda. Nabi s.a.w. sendiri berada di tahap tertinggi dalam kalangan manusia sebab itu peringkat Nabi s.a.w. itu adalah ‘rahmatun lil alamin’. Seluruh alam yang merangkumi alam nyata dan alam ghaib mendapat limpahan rahmat kerana kehadiran baginda. Maka ada golongan lain yang mengiringi ba- ginda mengikut urutan taqwa, limpahan keberkatan dan kekeramatan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. sehingga dinobatkan sebagai ‘wabihim yunsaruun’. Ertinya dengan sebab mereka maka orang lain dibantu.

5. Pelaksanaan  Qiyamullail    Di   Kalangan Para Sahabat

Setiap individu muslim perlu menjalani tarbiyah akidah menerusi  berzikir dan mujahadah (Akidah al-Quran). Tarbiyah (akidah) ini  merupakan kesungguhan dan kegigihan usaha menentang desakan hawa nafsu, godaan syaitan, memperbaiki sifat-sifat tercela dan akhlak yang rendah dan hina, supaya hijab hati terbuka dan seluruh kesedaran rohaninya tertumpu kepada Allah semata-mata. Hati mereka benar-benar takut dan gerun terhadap Allah  di samping bergantung kepada rahmatNya semata-mata. Hati orang tersebut menjadi merdeka daripada semua pengaruh makhluk. Mereka  menjadi hamba Allah  yang memiliki sifat taqwa sebenar dan akhlak mulia yang semata-mata inginkan rahmat Allah  dan mendapat keredaanNya.

Tanggungjawab yang besar dan terpuji bagi ibu bapa adalah mendidik dan membimbing anak-anaknya supaya mengerjakan  amalan ini. Pendidikan agama yang sebenar bukanlah semata-mata mempelajari  ilmu Fiqah (fadilat-fadilat dan hukum-hakam segala amal ibadat), atau memahami hujah-hujah ilmu Akidah reka cipta  ataupun mempelajari bacaan al-Quran dan tajwidnya semata-mata. Sebaliknya,  mereka mesti  menumpukan sepenuh perhatian kepada syiar qiyamullail. Malah,  inilah tugas utama para ulama dan ilmuwan Islam masa kini untuk merubah jalan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta  kepada pelaksanaan amalan rohani Islam ini. Mereka perlu menumpukan segala usaha dakwah ke arah menyedarkan ummah yang telah lama leka dengan tarbiyah akidah (ilmu Akidah reka cipta) itu supaya bersungguh-sungguh mengerjakan amalan yang hampir pupus ini.

Dengan asas keutamaan dan keagungan  amalan rohani Islam ini, maka Nabi s.a.w. sentiasa menyarankan dan mengerahkan anak-anak dan kaum kerabatnya agar bangun mengerjakan amalan rohani ini tanpa mengira usia. Ini dijelaskan oleh Abdullah bin Abbas r.a  dengan katanya;
“Aku telah bertahajjud bersama Nabi s.a.w. sejak berusia 10 tahun dan bersolat di sebelah kanan baginda (s.a.w.). Jika aku mengantuk baginda (s.a.w.) akan mencubit telingaku (yang kanan).” 

Nabi s.a.w. pernah membangunkan menantu baginda, Sayyidina Ali bin Abi Talib bersama isterinya Fatimah Az-Zahrah supaya berqiyamullail. Baginda ke rumah Sayyidina Ali untuk memastikan mereka mengerjakan  amalan rohani itu dengan bertanya: ‘Mengapa kamu semua tidak bangun melaksanakan amalan qiyamullail?” Lalu Sayyidina Ali menjawab: “Wahai Rasulullah, kamu berada dalam genggaman Allah. Bila Allah S.W.T. mahu agar kami bangun pasti kami akan dibangunkanNya.” Nabi s.a.w. menjawab sambil menepuk paha baginda sendiri (kerana  mereka membantah dengan alasan yang tidak betul iaitu berharap pada takdir untuk menutup kemalasan) dengan membaca firman Allah S.W.T.:
 وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَل
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami huraikan di dalam al-Quran ini untuk manusia dari segala contoh, tetapi manusia itu makhluk yang banyak membantah.” 
                                                                                     (Surah al-Kahfi, ayat: 54)

Bergegas ke tempat tidur dan segeralah tidur setelah mengerjakan solat Isyak adalah sunnah Nabi s.a.w. Kebiasaan seperti ini adalah merupakan perilaku terpuji para sahabat r.a. dan generasi umat Islam di zaman yang awal. Mereka menganggap segera tidur setelah Isyak akan menyihatkan tubuh dan menyegarkannya untuk bangun berqiyamullail.

Nabi s.a.w. melarang para sahabat r.a. membuang masa berbincang-bincang setelah mengerjakan solat Isyak. Baginda sentiasa mengingatkan para sahabat r.a tentang perkara ini dengan sabda baginda yang bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. melarang kami duduk berbual setelah isyak.”
                                                            (HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. suka mengakhiri solat Isyak. Baginda  tidak suka tidur sebelum Isyak dan tidak suka bercakap setelah Isyak.”
                                                                        (HR Imam Bukhari dalam Sahihnya)

Sayyidina Umar bin Khattab r.a. amat marah pada orang yang sering berbual setelah Isyak, sambil berkata:
“Adakah kamu suka berbual pada awal malam dan tidur pada akhir malam.”

Diriwayatkan pula bahawa beliau pernah menegur sekumpulan para sahabat r.a. yang ditemuinya sedang berbual-bual agar segera pulang. Kata beliau:
“Ayuh! Segeralah berdiri dari tempat dudukmu, semoga Allah S.W.T. menganugerahkan untuk kamu semua kekuatan, agar dapat menunaikan solat malam.”

Seorang lelaki mengetuk pintu Huzaifah al-Yamani r.a pada suatu malam setelah solat Isyak. Beliau keluar menemui orang itu sambil berkata:  “Ada apa malam-malam begini?” Lelaki itu menjawab: “Aku ingin berbincang-bincang denganmu.” Huzaifah r.a. segera sahaja menutup pintu lalu berkata: “Umar bin Khattab telah melarang kami berbual setelah Isyak.”

Ada beberapa orang suku Quraisy yang suka berbincang-bincang setelah Isyak. Pada suatu hari Aishah r.a mengutus beberapa orang menyampaikan kepada mereka (hadis-hadis Nabi s.a.w.) yang dimaksudkan: “Pulanglah kamu semua masing-masing ke rumah, agar keluarga kamu mendapat bahagian (dari kehadiran) kamu semua.”

Muawiyah bin Qarrah mengatakan bahawa ayahnya r.a. sentiasa mengatakan kepada anak-anaknya setiap selesai solat Isyak: “Wahai anak-anakku, tidurlah semoga Allah yang Maha Pemurah memberikan untuk kamu semua rezeki kebaikan pada sebahagian malam (solat malam).”       
      
Begitulah kesungguhan  pelaksanaan amalan ini dalam  kalangan para sahabat. Mereka berqiyamullail  dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan  biasa dan terpenting dalam kehidupan  selaras dengan perintah dan kecintaan Allah S.W.T. Mereka telah menjadikan solat malam itu sebagai senjata utama dalam perjuangan jihad dan dakwah syiar Islam untuk mencapai kemenangan dan kejayaan yang mengkagumkan itu. Bagaimana kegigihan  Sayyidina Umar bin Khatab r.a. mengerjakan amalan ini telah digambarkan oleh Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a. dengan katanya:
“Kami bertetangga dengan Umar bin Khattab dan kami tidak mendapati orang  yang lebih utama dari Umar bin Khattab di dalam berqiyamullail. Di waktu malam hari beliau  diisi dengan solat dan siangnya berpuasa sambil  melayani keperluan orang ramai.”

Seorang sahabat r.a. juga menjelaskan kesungguhan Sayyidina Umar berqiyamullail  dengan katanya:
“Dengan beberapa anggukan kepala sudah cukup baginya tanpa perlu berbaring lagi di atas tilam.”

Abu Hurairah r.a. suka melakukan qiyamullail pada sepertiga malam (awal malam), isterinya pada sepertiga berikutnya (tengah malam) dan seorang anaknya bangun pada sepertiga be- rikutnya (akhir malam). Ketiga-tiganya bergantian bangun menunaikan solat malam.

Abu Musa Al-Asy’ari r.a. sentiasa bangun malam untuk solat dan membaca al-Quran. Pada suatu malam ketika Nabi s.a.w. dan Saidatina Aishah melalui rumahnya, mereka mendengar suara Abu Musa sedang membaca al-Quran.
                                                                                     (HR Bukhari Muslim)

Ja’far bin Amar mengatakan: “Kamu semua berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadat siang dan malam. Kami juga mengetahui bahawa Tamin Ad-Dary r.a. walaupun sudah terlalu tua, namun dia tetap bangun malam mendirikan solat, akan tetapi kami belum dapat menyamainya dalam ibadat solat malam.”                          
                                                                                     (Az Zuhud, Imam Ahmad)

Qiyamullail bukan hanya dilakukan ketika individu Muslim itu dalam keadaan sempat dan tubuh segar bugar atau perasaan senang gembira, tetapi amalan ini terus dilaksanakan oleh Nabi s.a.w. dan generasi umat Islam yang awal dalam semua keadaan seperti sakit, kesukaran, musafir, menghadapi bahaya dalam peperangan dan sebagainya. Nabi s.a.w. sendiri tetap berqiyamullail ketika sedang berkecamuknya peperangan.

Abu Huzaifah al-Yamani menjelaskan kepada anak saudaranya tentang qiyamullail Nabi s.a.w. ketika tercetusnya Perang  Khandak. Kata beliau: “Wahai anak saudaraku, ketika berlaku Perang Khandak  kami melihat Rasulullah s.a.w. bangun di tengah malam mengerjakan qiyamullail dalam keadaan perang dengan solat malam yang panjang.”

Baginda menghadapkan pandangannya ke arah kami. Kemudian Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengikut cara kami dengan berdiri solat malam, mengerjakan apa yang mesti dia lakukan maka Allah S.W.T. akan memastikan baginya kembali dengan memasukkan ke dalam syurga.”             
                                                                                     (HR Imam Ahmad dalam Al-Musnad)

Perlu dijelaskan bahawasanya suasana Perang Khandak pada saat itu amat menggelisahkan dan keletihan menggali parit untuk benteng pertahanan yang telah banyak memerah tenaga Nabi s.a.w. dan para sahabat. Kekurangan bekalan makanan, keadaan cuaca yang amat dingin (malam), suasana gelap gelita begitu mencengkam dan angin yang bertiup kencang. Namun Nabi s.a.w. dan para sahabat  tetap berqiyamullail kerana pada detik-detik itulah mereka mengadu kepada Allah S.W.T. memohon pertolongan dan bantuan untuk berhadapan dengan pasukan kafir Quraisy.

Demikian juga pada saat berkecamuknya Perang Tabuk, Nabi s.a.w. bangun melaksanakan amalan qiyamullail. Sebahagian para sahabat  berjaga-jaga selama mana Nabi s.a.w. melaksanakan ibadat tersebut.

Amalan rohani  Islam inilah yang   mesti dilaksanakan oleh semua tentera  di bawah kepimpinan Sayyidina Ali r.a. Beliau akan memeriksa khemah setiap anggota tenteranya di waktu malam sebelum menghadapi peperangan. Apabila didapati ada tenteranya yang asyik tidur dan tidak mampu berqiyamullail, maka beliau akan memerintahkan mereka  pulang ke Madinah. Ini  kerana ibadat jihad tidak akan sempurna tanpa selaras dengan kesempurnaan akidah.  Ternyata  amalan rohani Islam ini menjadi penjana “rahsia kekuatan ummah” sebagai penentu kepada pertolongan dan bantuan Allah S.W.T. memberi kemenangan kepada generasi Islam di zaman yang awal itu. Sebaliknya,  amalan  ini telah  diabaikan oleh para pejuang  Islam di seluruh dunia  di zaman ini akibat fenomena “kekeliruan berakidah”. Tegasnya,  para pejuang Islam  masa kini (mengabaikan amalan qiyamullail)  tidak akan dapat menyertai ibadat jihad itu  sekiranya pencapaian darjat ihsan menjadi kayu pengukur kesempurnaan akidah. Mengenai hal tersebut Allah S.W.T.  berfirman:
 إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفاً مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَفْقَهُونَ
Maksudnya:
“Jika ada dua puluh orang sabar di antara  kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (sabar) di antara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu dari orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”                              
                                                                                     (Surah al-Anfal, ayat: 65)

Allah S.W.T.  berfirman lagi:
 فَإِنَّ حِزْبَ اللّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”                          
                                                                                     (Surah al-Maidah, ayat: 56)

Kebiasaannya kelengkapan peperangan, taktik dan kegigihan para pejuang menjadi kayu pengukur kejayaan dalam setiap peperangan dan inilah yang berlaku ke atas  umat Islam  masa kini yang terpaksa berjuang sekuat tenaga tanpa bantuan atau pertolongan dari Allah S.W.T. akibat memiliki hati yang mati  (lalai berzikir mengingati Allah). Ternyata umat Islam akan sentiasa tewas jika hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah semata-mata. Sememangnya sejak sekian lama umat Islam berada di dalam keadaan serba-serbi kekurangan dan jauh di belakang dari segi kelengkapan ketenteraan, ekonomi dan politik berbanding dengan musuh-musuh Islam.

Di riwayatkan dari Hamid bin Abdul Rahman bahawa ada seorang sahabat r.a  yang pernah bermusafir bersama-sama Nabi s.a.w. berkata:
“Demi Allah, aku sentiasa mengikut Rasulullah s.a.w. ketika solat, sehingga aku tahu benar apa yang pernah baginda lakukan (semasa musafir). Setelah baginda menunaikan solat Isyak di dalam kegelapan malam, baginda berbaring sekejap. Kemudian baginda bangun dan memandang ufuk langit, kemudian baginda membaca ayat 191-194 surah Ali Imran. Setelah itu baginda mengambil siwak untuk membersihkan giginya. Kemudian menunaikan solat malam, lama solatnya itu sama dengan lama tidurnya.

Setelah itu baginda kembali berbaring ke tempat tidurnya. Lamanya baginda tidur sama lamanya dengan baginda solat. Kembali lagi baginda bangun solat kali kedua. Baginda lakukan perkara itu semalaman sebanyak tiga kali sebelum matahari terbit.”                   
 (HR Nasa’i sebagai hadis sahih menurut kriteria Imam Muslim)           

Sayyidina Ali r.a. sendiri pernah menggambarkan kegigihan para sahabat berqiyamullail. Ini telah diriwayatkan oleh Arikah r.a. Antara lain riwayat tersebut menjelaskan:
“Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat (r.a.) Muhammad (s.a.w.), tidak pernah aku lihat pada hari ini orang lain menyerupai mereka sedikit pun. Sesungguhnya mereka ini berpagi-pagi dengan keadaan rambut kusut masai dan pakaian mereka berdebu, wajah mereka pucat. Sesungguhnya mereka itu berjaga malam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah dan membaca kitabNya. Apabila tiba waktu pagi pula, mereka segera berzikrullah dengan menggerakkan badan mereka seperti bergoyangnya pokok pada masa ribut. Demi Allah, telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka.”

Sa’id Al-Musayyab, selama  lima puluh tahun menunaikan solat Subuh dengan menggunakan wuduk solat Isyak. Di rumahnya tidak ada masa yang tidak digunakan untuk solat, terus me- nerus melakukan puasa sunat.

Zainal Abidin Ali bin Husain, cicit Nabi s.a.w. suka memperbanyakkan qiyamullail sehingga keras dua lututnya seperti kerasnya lutut kuda. Dia suka menggosok-gosokkan lututnya yang sudah mengeras (kesan sujud) dua kali dalam setahun.

Huzaimah Al-Aushabiyah, isteri Abu Darda’ r.a. sentiasa melaksanakan  qiyamullail dengan menjadi imam kepada para jemaah wanita. Mereka melaksanakan amalan ini sehingga kaki mereka menjadi bengkak kerana lamanya berdiri.

Mu’azah Al-Adawiyah, murid Aisyah r.a. bersama suaminya bangun mengerjakan qiyamullail di malam majlis perkahwinannya. Pada waktu kecamuknya suatu peperangan, suami dan anaknya syahid di medan jihad, namun beliau tetap menghidupkan seluruh malamnya dengan amalan rohani ini.

Ketahuilah bahawa qiyamullail merupakan suatu syi’ar  Islam yang mulia yang diwariskan oleh Nabi s.a.w. kepada umat Islam. Para sahabat dan generasi umat Islam yang awal tidak pernah meninggalkan amalan rohani Islam ini walaupun dalam keadaan sakit, musafir dan peperangan. Bahkan mereka lebih menikmati dan merasakan khusyuknya hati terhadap Allah  pada saat-saat seperti itu. Mereka mendirikan solat malam, berterusan berzikrullah dan berdoa dengan ikhlas mengharapkan bantuan dan ma’unah dari Al-Khaliq. Sebaliknya, hanya sedikit sekali umat Islam masa kini yang mahu melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan sunnah Nabi s.a.w. ini akibat menjalani tarbiyah ilmu Akidah reka cipta.

Abu Muslim pernah bertanya kepada Abu Zar al-Ghiffary: “Apakah qiyamullail yang utama?” Dijawabnya bahawa beliau pernah bertanyakan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w. dan baginda bersabda: “Qiyamullail yang paling utama adalah yang dikerjakan pada sepertiga malam akhir, atau seperdua malam. Tetapi hanya sedikit sekali manusia yang mahu melaksanakan  sunnah ini.” 
                                                            (HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Abu Hurairah r.a. menceritakan: “Ada seorang lelaki datang bertemu Nabi s.a.w. mengadu tentang hal seorang yang sentiasa bersolat sepanjang malam dan kemudiannya pergi mencuri sebelum fajar. Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak lama lagi, solatnya akan menghindarkan dia daripada dosa itu.”

Di samping itu, berqailulah (tidur siang) sebelum waktu Zohor atau sebelum waktu Asar merupakan sunnah Nabi s.a.w. Amalan ini berguna untuk merehatkan anggota badan bagi orang mukmin pada waktu siang berkerja keras sambil berpuasa, sedangkan di waktu malam pula mereka bersungguh-sungguh mengerjakan qiyamullail.

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidur sianglah sejenak kerana syaitan tidak pernah tidur pada waktu siang.”                    (HR Abu Na’im dan Tabrani)  

Ibnu Umar r.a.  pernah mendengar ada seorang yang bekerja dengannya tidak tidur sebentar pada waktu siang. Maka Ibnu Umar menulis surat peringatan kepadanya agar dia berehat sebentar pada waktu siang kerana syaitan tidak tidur waktu siang.      
                                                            (Mukhtasar Qiyamullail, Al-Maqrizi)

Dikatakan oleh Ishaq bin Abdullah bahawa berehat sebentar pada waktu siang termasuk perbuatan baik. Berehat seperti itu akan menenangkan perasaan dan meringankan untuk bangun malam (qiyamullail). Hasan al-Basri pernah melalui sebuah pasar pada waktu siang. Dia melihat sekumpulan orang sedang sibuk. Dia bertanya: “Adakah mereka tidak qailulah? Seseorang telah menjawab, sama sekali tidak.

Hasan al-Basri mengatakan: “Dapat dipastikan, waktu malam mereka amat buruk.”

Makna qailulah seperti bunyi hadis tidak perlu tidur. Cukup sedikit merehatkan diri untuk melepaskan penat, sambil duduk-duduk santai atau berbaring menyandarkan badan, merehatkan otot tubuh. Sehinggga ritma biologi tubuh mendapat rehat yang cukup.,   

6. Mujaddid Islam  Yang  Bersandar  Kepada  Kesungguhan Istiqamah  Berqiyamullail

Sejarah keagungan dan keadilan pemerintahan Kerajaan Bani Umaiyyah di bawah kepimpinan Khalifah Umar Abd. Aziz rhm  yang begitu tersohor dan sentiasa di sebut-sebut dalam kalangan umat Islam. Memperkatakan tentang keistimewaan kehi- dupan masyarakat dan daulah Islamiah di zaman Sayyidina Umar Ibn Abdul Aziz tidak akan lengkap dan tidak sempurna andainya aspek mengenai diri beliau sendiri dipinggirkan. Sedangkan keistimewaan yang terjelma atau terzahir natijah atau manifestasi adalah dari kesungguhan   beliau mengerjakan  qiyamullail. Ertinya tanpa  darjat yang tertinggi (“rahsia kekuatan ummah”)  itu maka barokah dan karomah tidak dikurniakan oleh Allah. Beliau sendiri sebenarnya  seorang mujaddid atau pemimpin yang dijanjikan yang disebut semenjak awal lagi secara ilham oleh Sayyidina Umar Ibnu Khattab. Sayyidina Umar pernah menyebut tentang akan lahir seorang pemimpin yang membawa kedamaian dari sulbinya. Dan ternyata ilham tersebut itu adalah merujuk kepada cicit beliau iaitu Sayyidina Umar Ibn Abdul Aziz.

Kesungguhan beliau berqiyamullail telah digambarkan oleh isterinya, Fatimah binti Abdul Malek, katanya:
“Umar mempunyai tempat solat yang khusus di rumahnya. Beliau akan masuk ke tempat itu biasanya lepas waktu malam. Beliau berzikrullah, membaca al-Quran, solat sunat dan menangis hingga terbit fajar.”

Sebaik sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata;
“Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat.”

Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, beliau tidak pernah tidur bersama dengannya.

Kerajaan Islam di zaman pemerintahannya memiliki kemakmuran merata. Kehidupan sejahtera dan aman damai. Pemimpinnya adil, orang kayanya pemurah, para ulama zuhud dan mampu mendidik masyarakat. Fakir miskin turut berlumba-lumba untuk memberi bukan meminta-minta sehingga tiada siapa yang merasa layak untuk menerima zakat. Masing-masing merasa kaya iaitu kaya jiwanya dengan kesempurnaan akidah dan sifat taqwa yang tinggi. Perpaduan dan kasih sayang sangat utuh dan mela- hirkan kehidupan bermasyarakat. Saling kuat membela dan membantu. Sangat disukai rakyat, hidup makmur, aman damai, sejahtera dan harmoni. Tiada keresahan dan kegelisahan. Masing-masing berasa puas hati, sabar dan redha dengan kedudukan dan peranan masing-masing.

Beliau berjaya menghidupkan dan menyuburkan kembali syiar  Islam seperti di zaman para sahabat. Kesuburan Islam itu bertitik tolak dari ummah yang memiliki darjat yang tertinggi (“rahsia kekuatan ummah”), yakni ummah yang sentiasa hampir dengan rahmat dan pertolongan Allah, serta dilimpahi cahaya hidayah Allah. Hati mereka terhias dengan sifat-sifat kehambaan iaitu bersifat sabar, taubat, syukur, penuh harap, tawakal, reda, mahabbah dan sebagainya dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan yang Allah timpakan pada setiap masa. Hidup berpandukan Akidah al-Quran dan Syariat islam. Ummah memiliki sifat taqwa yang sebenar-benarnya dan akhlak yang mempesonakan. Inilah yang disifatkan oleh Allah tentang negara makmur yang mendapat keampunanNya sebagaimana yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. di dalam kitabNya, al-Quran :
 لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya:
“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah S.W.T.”                               
                                                                                     (Surah Saba’, ayat: 15)

Kota Konstantinopel ditakluki oleh Sultan Muhammah Al-Fateh setelah 800 tahun dari tarikh sabda Nabi s.a.w. yang menjelaskan bahawa kota itu akan jatuh ke tangan orang Islam (Amir yang baik). Sultan Muhammad Al-Fateh ditarbiyahkan oleh shaikh mursyid, iaitu Shamsuddin al-Wali. Baginda tidak pernah meninggalkan  qiyamullail sejak dari usia akhir baligh. Amalan rohani inilah juga menjadi syarat utama bagi tentera-tenteranya yang ingin menyertai peperangan. Begitu juga dengan panglima perang tentera Islam yang masyhur dalam Perang Salib iaitu Salehuddin Al-Ayubi. Beliau akan meninggalkan tentera-tenteranya yang tidak mampu mengerjakan amalan ini dari menyertai pertempuran.

Inilah di antara pemimpin Islam di zaman ‘keagungan kerohanian’ atau mujaddid yang mempunyai daya juang dan pengorbanan tinggi yang  menjadi penyumbang dan pendokong utama kepada keagungan Islam. Hidupnya zuhud dan sederhana. Dan memang memilih kehidupan ini hanya semata-mata cintakan Allah  dan RasulNya, dan mereka berjaya menghayati jalan agama ini dengan khusyuk hati sepenuhnya terhadap Allah  dan menjadi penjana “rahsia kekuatan ummah”. Keyakinannya kental, kemahuannya kuat, keazamannya tinggi, cita-citanya besar iaitu kejayaan umat Islam. Memiliki keunggulan peribadi dan ketokohan yang mengkagumkan dengan bersandarkan kepada kesungguhan dan kecekalan berqiyamullail. Manusia bukan sa- haja tertarik dengan apa yang disampaikan, malah sangat mudah terdorong untuk mengamalkannya. Hati ummah di zaman mereka sentiasa hidup tanpa lalai berzikrullah dan sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan  Allah (Akidah al-Quran),  dan mereka bersungguh-sungguh melaksanakan segala Syariat Islam. Lantaran itulah di zaman adanya mujaddid, Islam itu subur dalam kalangan ummah.

Faktor kepimpinan menjadi satu rahsia kemenangan dan kerana ada pemimpinlah faktor-faktor lain itu dapat dicapai. Kerana pemimpinlah yang menyebarkan jalan tarbiyah akidah kepada umat  mudah diterima. Mendidik umat melalui berzikir dan mujahadah, bertaqwa dan mentaati Allah. Pemimpin juga mendidik umat kepada perpaduan, kasih sayang, tolong menolong dan saling bantu membantu. Dan lebih-lebih lagi pemimpin juga yang paling utama sebagai saluran bergabungnya kerajaan ghaib dalam memenangkan pejuang kebenaran dan menumpaskan musuh. Pemimpin juga sebagai saluran keberkatan dan kekeramatan serta menjadi penyumbang “rahsia kekuatan ummah”. Sepanjang masa, tenaga, harta benda dan pemikiran dicurahkan untuk berbuat kebajikan demi untuk kejayaan umat Islam, kerana mereka mahu mendapatkan keredaan Allah S.W.T. semata-mata. 

Sesungguhnya melalui orang-orang pilihan Allah  yang melaksanakan Islam dengan tepat dan benar akan terserlah keagungan dan ketinggian ajaran Islam. Manusia bukan saja terpesona dengan ajaran Islam itu sendiri malah manusia akan  melihat keagungan dan kehebatan kuasa Allah. Sudah tentulah syarat-syarat mencapai darjat yang tertinggi itu bukan mudah. Muja- ddid sejati dijanjikan syurga. Besar pengorbanan yang diperlukan untuk membeli syurga Allah  itu.

Hassan al-Basri, seorang tabi’in yang  terkenal  menjelaskan keutamaan  amalan qiyamullail  ini dengan berkata:
“Tidak ada perbuatan manusia yang lebih kukuh  dalam kebaikan selain dari qiyamullail, dan tidak ada di muka bumi ini yang memberatkan mereka selain dari qiyamullail dan bersedekah.”

7. Kesungguhan Tokoh-tokoh Ulama  Khalaf Berqiyamulallail    

Para  tokoh  khalaf  sentiasa berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh untuk menghampirkan diri kepada Allah  dan mendapat keredaanNya. Para pengasas  mazhab Fiqah Islam terdiri daripada ulama-ulama besar yang menghafaz al-Quran dan  banyak hadis. Mereka amat mahir dengan al-Quran dan sunnah, ingatan mereka terhadap kedua-dua sumber ini amat menakjubkan. Mereka dianugerahkan akal dan ingatan yang cukup hebat. Memiliki  khusyuk hati yang sepenuhnya, sifat taqwa yang sebenar, dan benar-benar takut dan gerun terhadap Allah. Takut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Para imam mazhab-mazhab Fiqah yang mu’tabar  (boleh diterima pakai) ialah Imam Asy-Shafi’i, Imam Ahmad Hanbali, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Abu Juwairiyyah menukilkan tentang kesungguhan tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam Abu Hanifah r.h.t. berqiyamullail. Kata beliau:
“Aku pernah menumpang di rumah Abu Hanifah tidak kurang dari 6 bulan, akan tetapi tidak pernah aku melihat semalam pun tubuhnya terlentang di atas tempat tidurnya.”

Imam Asy-Syafi’i  memperuntukkan sepertiga masa seharian untuk menumpukan kepada qiyamullail ini. Kata beliau:
“Aku membahagikan masa seharianku kepada tiga bahagian. Sepertiga bahagian (8 jam) aku peruntukkan untuk mencari  rezeki. Sepertiga bahagian (8 jam) lagi untuk beristirehat bersama anak-anak dan isteri. Sementara sepertiga bahagian (8 jam) lagi, aku peruntukkan untuk bersungguh-sungguh berqiyamullail (kesempurnaan hati).”

Imam Ar-Rabi’ menukilkan tentang kesungguhan berqiyamullail   Imam Asy-Syafi’i  dengan katanya:
“Aku menumpang beberapa malam di rumah Imam Asy-Syafi’i  rhm, aku melihat beliau tidak pernah tidur kecuali sekejap sahaja.”

Abu Bakar Al-Marwazi berkata: “Saya berada bersama Imam Ahmad selama empat bulan di medan jihad. Dia tidak pernah meninggalkan solat malam dan sentiasa membaca al-Quran pada waktu siang. Aku tidak mengetahui bila beliau selesai melakukan itu kerana beliau sentiasa merahsiakan ibadatnya itu.”        
                                                                        (Munaqib Imam Ahmad, Ibnu Fauzi)

Abu ‘Ishmah bin ‘Isham Al-Baihaqi pula menceritakan: “Aku pernah menginap di rumah Imam Ahmad Hanbali rhm, lalu beliau datang membawa air (untuk berwuduk) dan meletakkannya di bilik tidurku. Tetapi tatkala memasuki pagi, Imam Ahmad melihat ternyata airnya masih seperti sedia kala (tidak berqiyamullail), maka beliau berkata:
“Subhanallah (Maha Suci Allah), seseorang yang menuntut ilmu tidak melaksanakan qiyamullail.”

8. Kegigihan Tokoh-tokoh Tasawuf Terkenal Berqiyamullail
     
Segala kebaikan, amal ibadat, amal makruf nahi mungkar, jihad fisabilillah yang dilaksanakan tidak akan sempurna  kecuali selaras dengan kesempurnaan aspek rohani (Akidah Islam). Hubungkan jiwamu dengan Maha Pencipta melalui qiyamullail. Bersihkan batinmu untuk menerima keberkatan Rabbul Jalil. Sunggguh menakjubkan mereka dan kukuhnya tali rohaniah dengan Allah Maha Rahman (memperbanyakkan menyebut serta mengingati Allah). Sesungguhnya orang yang mencintai itu adalah sangat sabar terhadap cubaan dari yang dicintainya.

Abdurrahman bin Yazid bin Jabir berkata: “Kami sedang dalam perjalanan menuju medan peperangan dan Abu Usman Ata’ bin Masyarah menghidupkan malam dengan solat tahajjud. Apabila telah sampai sepertiga malam atau setengah malam, beliau mendatangi kami dan menyeru: ‘Bangun dan berwuduklah. Sambunglah ibadat puasa siang dengan solat tahajjud, kerana itu lebih mudah daripada mesti memotong besi dan minum timah panas. Bersegeralah, bersegeralah untuk mendapat keselamatan.’ Dia lalu meneruskan solatnya.”

Beliau bertahajuh  dari awal hingga akhir malam dan hanya tidur pada waktu sahur.
        Ali bin Husin bin Syafiq berkata: “Tidak kulihat seseorang yang lebih sesuai dalam membaca, yang lebih bagus bacaannya dan lebih banyak solatnya dari Abdullah bin Mubarak. Dia solat sepanjang malam, dalam perjalaanan ataupun yang lain. Dia mentartilkan bacaan dan memanjangkannya. Dia sengaja meninggalkan tidur, agar orang lain tidak mengetahuinya ketika ia solat.”
   
Abu al-Faith yang pernah menjadi pembantu Shaikh Abdul Qadir al-Jailani rhm, seorang tokoh tasawuf terkenal di kota Baghdad (w. 562 H.) menukilkan kesungguhan berqiyamullail  tokoh tasawuf itu dengan katanya:
“Aku menjadi pembantu Shaikh Abd Qadir al-Jailani selama 40 tahun. Selama itu, beliau mengerjakan solat subuh dengan wudhu’ yang digunakan untuk mengerjakan solat isyak. Apabila berhadas, beliau terus berwudhu’ semula dan kemudian mengerjakan solat sunat sebanyak 2 raka’at. Setelah mengerjakan solat isyak, beliau masuk ke dalam tempat ‘uzlahnya tanpa seorang pun yang dibenarkan masuk ke dalamnya dan beliau keluar dari tempat uzlahnya itu setelah terbit fajar.”

Kesempurnaan akidah yang dicapai dengan kesungguhan berqiyamullail semenjak zaman para sahabat dan al-salaf merupakan amalan rohani Islam yang sudah  menjadi kebiasaan dan menyeluruh dalam kalangan mereka. Allah S.W.T. telah menetapkan  keagungan solat tahajjud sebagai amalan yang sudah menjadi kebiasaan orang-orang soleh yang terdahulu untuk mencapai khusyuk hati  terhadapNya dengan sepenuhnya. Jarang sekali dalam kalangan  generasi umat Islam di zaman yang awal itu yang tidak tahu kepentingan dan keunggulan amalan ini dan tidak beramal dengannya. Mereka lebih sempurna taqwa mereka, kerana lebih memahami hakikat Islam, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat atau yang zahir mahupun yang batin/akidah.

Perjuangan mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) iaitu khusyuk hati yang sepenuhnya dan mendapat keredaanNya adalah menerusi kesungguhan istiqamah dalam berqiyamullail. Tidak pernah luntur semangat perjuangan orang Mukmin yang sebenar mengerjakan amalan rohani Islam  ini yang bertujuan melemahkan desakan hawa nafsu dan membersih hijab hati. Mereka menjadi seorang muslim yang berakhlak mulia, mempunyai khusyuk hati terhadap Allah, jauh dari berbagai-bagai  sifat tercela sebaliknya dihiasi oleh sifat-sifat terpuji. Di samping itu, mereka terus melazimkan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan runtunan hidup selari dengan kehendak Allah dan menolak kejahatan yang dimurkai Allah, maka akhir perjalanannya penuh sinar  kerana sampai kepada hadrat Allah (rahmat dan keredaanNya) yang dicintainya.

9. Tanpa  Qiyamullail  Ummah  Tak  Mampu   Memakmurkan Masjid   

Apabila  amalan rohani Islam ini sudah mulai pupus  dalam kalangan umat Islam dewasa ini, maka  amalan memakmurkan masjid (beriktikaf) yang diperintahkan  Allah S.W.T. turut diabaikan.  Masjid di zaman ‘keagungan kerohanian’  dahulu merupakan satu institusi yang sangat penting di dalam syiar Islam dan menjadi peristiwa pertama di dalam hijrah Nabi s.a.w., iaitu membangunkannya  sebagai lambang kebesaran agama. Masjid sentiasa menjadi tempat tumpuan ummah  berqiyamullail, mengerjakan solat fardu, berzikir, membaca al-Quran, membaca kitab-kitab agama  dan lain-lain aktiviti masyarakat yang bertujuan menghampirkan diri kepada Allah dan keredaanNya. Sebaliknya, rumah Allah itu  telah dijauhi oleh majoriti umat Islam masa kini akibat mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’. Masjid  kini hanya dikunjungi untuk mengerjakan solat fardu semata-mata. Kebiasaannya  jika tiada ceramah atau  majlis bacaan kitab-kitab selepas solat fardu  maka  suasana masjid  menjadi lengang dan sepi kerana tiada kemampuan umat Islam hari ini memakmurkannya (beriktikaf).

Allah S.W.T. telah menetapkan di dalam al-Quran bahawa hanya orang beriman sahaja yang mampu memakmurkan rumahNya. Ternyata amalan ini  menjadi neraca pengukur terhadap pengabdian kita di dalam pelaksanaan perintah Allah  yang berat itu. Nabi s.a.w. menganjurkan ummah supaya bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini dengan sabda baginda (s.a.w.) yang bermaksud:
“Masjid adalah rumah bagi orang yang bertaqwa. Allah berjanji akan menurunkan rahmatNya ke atas orang yang menghabiskan kebanyakan masanya di masjid. Allah akan mengurniakan ketenangan hati, memudahkan melintasi titian sirat dan memperolehi keredaanNya dengan sepenuhnya.”

Baginda (s.a.w.) bersabda lagi yang bermaksud:
“Seandainya ada api turun dari langit, tentu tidak ada yang selamat daripada jilatannya selain penghuni masjid.”

Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah S.W.T.:
 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya:
“Hanya orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Yang Kemudian serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat sedang ia tidak takut, melainkan Allah. Mudah-mudahan mereka itu termasuk orang yang mendapat petunjuk.”  
                                                                                     (Surah al-Taubah, ayat: 18)

Allah S.W.T.  juga berfirman:

 مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُواْ مَسَاجِدَ الله شَاهِدِينَ عَلَى أَنفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Maksudnya:
“Tiada berhak orang musyrik memakmurkan masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi di atas dirinya dengan kekafiran. Maka terhapuslah sekali amalannya dan di dalam neraka kekal selama-lamanya.”              
                                                                                     (Surah al-Taubah, ayat 17)

Beriktikaf  merupakan suatu ibadat yang amat berat untuk dilaksanakan. Ianya hanya mampu dilaksanakan oleh golongan  yang memiliki khusyuk hati terhadap Allah atau sentiasa berzikir mengingati Allah (Akidah al-Quran). Sebaliknya,  golongan ahli zahir yang memiliki hati yang mati (kesesatan), tentulah sangat sukar untuk mengerjakan amalan ini. Dewasa ini sudah menjadi kebiasaan di setiap masjid atau surau apabila selesai sahaja imam  membaca doa selepas solat fardu, maka semua para jemaah bergegas keluar meninggalkan masjid atau surau. Keadaan ini amat jelas menunjukkan betapa sukarnya umat Islam di zaman ini untuk mengerjakan amalan (beriktikaf)  ini disebabkan hati mereka mati (kesesatan).
           
Ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. di atas sudah cukup untuk  menyedarkan kita semua tentang keutamaan beriktikaf  itu. Apabila pudar kecenderungan masyarakat Islam terhadap perintah ini  maka dengan sendirinya pengaruh agama terhadap umatNya turut luntur menandakan kegagalan proses tarbiyah akidah yang dilaksanakan. Malah, apabila seseorang yang sudah terjerat oleh desakan hawa nafsu dan kecintaan kepada kesenangan dan kemewahan duniawi, maka akal dan hati nuraninya menjadi tidak berperanan (hati yang mati). Keperibadiannya menjadi goyah bagaikan bulu yang diterbangkan oleh angin. Ke arah mana pun ia akan menurut pujukan hawa nafsunya. Lebih-lebih lagi kehidupan manusia di zaman ini  yang hanya mengukur  kebahagiaan hidupnya semata-mata dari sudut harta kekayaan dan kemewahan duniawi. Mereka hanya menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga  mengejar kemewahan hi dup tiada batasan tanpa mengetahui keutamaan  dan keagungan qiyamullail sebagai penjana “rahsia kekuatan ummah”. 

Hidup kita ini bagaikan sandiwara di mana kita menyaksikan penggantian siang dan malam yang tidak berkesudahan. Sebuah pertunjukan yang sangat aneh! Apabila mempunyai suatu keperluan hidup maka kita berharap dan berjuang dengan ber- sungguh-sungguh untuk mencapainya.Sebaliknya, untuk mencapai kejayaan di akhirat kita akan memandang mudah dan sentiasa engkar kepada perintah Allah. Ini adalah falsafah hidup yang tidak logik. Jika hidup hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan hidup hari demi hari bagi seseorang Muslim, maka kita tidak memiliki arah di dalam kehidupan. Tujuannya hanyalah untuk hidup. Ini ada diterangkan di dalam firman Allah:
 أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ
Maksudnya:
“...adakah kamu lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”               
                                                                                     (Surah al-Taubah, ayat: 38)

Allah S.W.T.  juga berfirman:
 وَفَرِحُواْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مَتَاعٌ
Maksudnya:
“...dan (mereka yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil, dan tidak kekal berbanding kesenangan hari akhirat.”                
                                                                                     (Surah al-Ra’ad, ayat: 26)
      
Apabila hawa nafsu seseorang itu telah menguasai akal dan hati nuraninya, sehingga dia lebih mematuhi kehendak hawa nafsunya daripada perintah Allah S.W.T., maka pada hakikatnya dia telah menjadikan nafsu itu sebagai Tuhan kerana mereka selalu mengutamakan ajakan hawa nafsunya sedangkan kepada Allah  ia sentiasa derhaka dan ingkar. Nabi s.a.w. sentiasa mengingatkan kepada ummah agar tidak terpedaya oleh desakan hawa nafsu dan kehidupan dunia.

Begitulah suasana kehidupan  ini apabila kita telah terjerumus ke dalam desakan hawa nafsu (kesesatan). Oleh sebab itulah, maka kita mampu berjam-jam  berada di depan kaca  TV atau di dalam stadium  menonton pelbagai rancangan hiburan atau pelbagai acara sukan yang melalaikan. Kita juga sanggup menghabiskan masa yang panjang dengan  berborak-borak kosong di kedai makan. Begitu juga,  kita mampu meluangkan masa dengan berjam-jam  duduk di depan komputer melayari internet atau memancing ikan atau bermain golf ataupun pelbagai hobi yang mesti dilaksanakan pada setiap hari.  Malahan pelbagai aktiviti  yang melalaikan itu dapat kita lakukan dengan penuh minat  tanpa keluh resah dan membosankan di sepanjang hayat.

Inilah desakan hawa nafsu yang sentiasa melalaikan manusia dan menjadikan kita  leka dengan kelalaian tanpa berzikir kepada Allah  dalam kehidupan harian. Demikianlah situasi umat Islam apabila sentiasa gagal memerangi desakan hawa nafsu. Inilah yang dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu. Kalah kepada pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak bila berhadapan dengan tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi yang sementara. Memang benarlah firman Allah S.W.T.  yang bermaksud:
“Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu (syaitan)  memperdayakan kamu   dalam   (mentaati) Allah .” 
                                                                                     (Surah Luqman, ayat: 23)

Allah S.W.T.  juga berfirman:
وَغَرَّتْكُمُ الْأَمَانِيُّ حَتَّى جَاء أَمْرُ اللَّهِ وَغَرَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya:
“Dan kamu telah ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.”
                                                                                     (Surah al-Hadid, ayat 14)

Begitu juga apabila   ribuan penonton  berkumpul di dalam   dewan menyaksikan pelbagai pertunjukan nyanyian atau hiburan ataupun sukan,  kita masih boleh sama-sama meraikannya ataupun menonton di depan kaca tv sebagai sebahagian aktiviti utama dalam kehidupan harian.  Meskipun sesetengah program atau aktiviti yang disiarkan itu ternyata menyalahi Syariat Islam. Belum lagi dihitung berapa ramai pengunjung kelab-kelab hiburan atau karaoke yang sentiasa muncul seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan dengan pelbagai kemungkaran dan maksiat seperti meminum arak, berzina, pergaulan bebas, ketagihan dadah dan sebagainya. Inilah bentuk dunia hiburan yang sentiasa mendapat sambutan hangat dalam kalangan generasi muda Islam masa kini. Keruntuhan akhlak ini telah berlaku dengan berle- luasa di seluruh negara Islam  dan ianya semakin berkembang dan tidak dapat dibendung lagi.

Maksiat, sumbang mahram, anak luar nikah, penagih dadah  bersepah-sepah di mana-mana. Maruah dan nama baik keluarga tidak lagi menjadi perkara penting yang harus dijaga. Perkara halal dan haram diketepikan dan semacam tidak penting dalam zaman yang serba mencabar ini. Masjid atau surau juga semakin lengang dan sepi. Anak-anak di bangku sekolah rendah lagi sudah pandai mengenai seks, sudah menonton tayangan-tayangan lucah dan sudah berani cuba-cuba mengikut adegan yang ditonton! Fenomana ini sungguh menakutkan! Ajaran agama pula kurang menjadi pegangan dalam keluarga dewasa ini akibat fenomena ‘kekeliruan berakidah’ yang hebat berlaku dalam kalangan ummah.

Perasaan Takut dan Harap

Hakikatnya, perasaan takut kepada Allah S.W.T. adalah sebahagian fitrah manusia. Perasaan ini adalah naluri manusia untuk menghambakan diri kepada Allah yang menciptakannya. Kerananya, rasa takut itu pasti ada dalam diri manusia yang merupakan sebahagian daripada penciptaanNya. Malah, dalam keadaan tertentu, rasa takut kepadaNya harus dimunculkan oleh setiap hamba Allah, bahkan dalam kalangan salik/murid perasaan yang sangat takut kepadaNya sangat mempengaruhi perjalanan hidup dan penghambaan mereka untuk mencapai kesempurnaan hati.

Dalam tarbiyah ilmu dan amalan terekat Tasawuf, rasa takut kepada Allah merupakan manifestasi sifat takut yang terhormat, iaitu sebagai rasa ketakutan dalam menghadapi sifat-sifat Maha Perkasa dan Keagungan (al-Jalal). Semakin tinggi darjat hati seseorang, maka semakin tinggi pula rasa takutnya kepada Allah S.W.T.  sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama.”
                                                                                     (Surah al-Fathir, ayat: 28)

Oleh itu, orang memiliki kesempurnaan akidah atau makrifah Allah pasti hatinya dihiasi oleh keadaan takut kepadaNya. Sebaliknya, kelemahan takut seseorang kepada Allah pasti disebabkan terhijab hati, serta ketiadaan rasa cinta (mahabbah) ke- padaNya.

Contohnya, orang yang sedang bercinta, pastilah dia sentiasa takut kehilangan pasangannya. Maka, jika dia tidak takut kehilangan kekasihnya, itu tanda cintanya kurang. Ini tidak dapat dibayangkan apabila seseorang muslim yang terlepas dari rasa takut kepada Tuhan yang dicintainya. Malahan dengan rasa takutnya kepada Allah, seseorang hamba akan sentiasa tunduk dan tawakkal hanya kepadaNya.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa takut  kepada Allah, maka tiap sesuatu akan takut padanya. Dan sesiapa takut selain kepada selain Allah, maka dipertakutkan dia oleh Allah dari setiap sesuatu.”

Dalam hal ini, pekara yang ditakuti oleh salik/murid ialah menangguh taubat, terpedaya oleh nafsu, tertimpa aib dan malu di hari kebangkitan, datangnya ajal sebelum taubat, kurang ber- amal ibadat, su’ul khatimah dan sebagainya. Dan takut yang paling dominan dalam kalangan orang sufi, iaitu takut terhijab hati dengan Allah S.W.T. Ketakutan-ketakutan itu sangat penting dan harus ada pada setiap individu Muslim sebagai mekanisme membentuk keperibadian yang mulia.

Antara tanda rasa takutnya kepada Allah adalah  mereka selalu menjaga tindak tanduk dan ucapan pada batas-batas yang ditentukan Allah, berlaku istiqamah, rendah hati dan sentiasa takut kepadaNya sehingga rasa takut itu benar-benar memberi kesan pada seluruh anggota badan serta mewariskan amal ibadat yang banyak dan khusyuk hati dalam kehidupan harian. Rasa takut ini dapat menggerakkan jiwa untuk bermujahadah, bermuhasabah dan bermuraqabah, serta mendatangkan sifat wara’, taqwa dan rajin berriadah (latihan amalan kerohanian).
Kata Fudhail Iyad:
“Barangsiapa yang takut kepada Allah, nescaya ketakutan itu akan menunjukkannya kebajikan.”

Diriwayatkan seorang pemuda Ansar sangat merasa takut terhadap neraka. Dia banyak menangis dan hanya berdiam diri dalam rumah. Maka datanglah Nabi s.a.w. masuk ke tempat pemuda itu dan memeluknya. Seketika selepas itu pemuda tersebut jatuh tersungkur dalam keadaan meninggal dunia. Maka Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Uruslah jenazah temanmu ini! Sesungguhnya rasa takut dari neraka telah menghancurkan jantungnya.”

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada satu titis pun yang disukai Allah S.W.T. daripada setitis air mata kerana takut kepadaNya, atau setitis darah yang ditumpahkan fisabilillah.”

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk hati.”
                                                                                     (Surah al-Isra’, ayat: 109)

FirmanNya lagi yang bermaksud:
“Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan banyak mena- ngis.”
                                                                                     (Surah al-Taubah, ayat: 82)

Golongan Ariffin yang begitu hebat beramal ibadah masih diliputi ketakutannya kepada Allah dan terus menerus mengharapkan akan kemurahanNya. Oleh itu, maka di dunia ini hendaklah kita takut kepada Allah, agar di akhirat nanti kita aman dengan rahmat dan pertolonganNya. Adalah lebih baik kita memupuk perasaan takut kepada Allah daripada bergantung kepada pengharapan ke atas keampunanNya semata-mata tanpa bersungguh-sungguh beramal ibadat.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Peristiwa ombak ‘tsunami’ yang melanda Aceh dan beberapa negara Asia  telah mengorbankan lebih dua ratus ribu  nyawa serta kemusnahan banyak harta benda, seolah-olah menggambarkan dengan jelas betapa ngerinya peristiwa kedatangan hari kiamat. Citra dari mayat-mayat yang bergelimpangan, ibu-ibu yang kepiluan, anak-anak yang panik, orang tua yang putus asa, bayi-bayi yang hilang, tubuh-tubuh yang tersayat,  jerit tangis yang menyayat hati, kenderaan yang bertaburan dan rumah-rumah yang hancur dan suasana padang jarak padang terkukur di Aceh telah menjadi kepedihan seluruh dunia. Di samping itu, Allah melindungi masjid-masjid dari kemusnahan bencana  meskipun kawasan sekelilingnya telah musnah akibat malapetaka itu. Begitulah besarnya rahmat Allah  yang dikurniakan kepada ummah yang mampu memakmurkan rumahNya di dunia  iaitu golongan yang sentiasa hampir kepada rahmatNya.

Dengan itu tidak keterlaluan jika dikatakan malapetaka om- bak  ini mampu mengajak setiap orang kembali ke pangkal jalan. Namun  watak manusia mudah hanyut dalam pelupaan hakikat dan malapetaka dahsyat menyentak kesedaran manusia.  Segala petunjuk Allah  itu tidak  memberi apa-apa manfaat akibat hijab nafsu yang menjadi benteng penghalang kepada manusia dari mendapat hidayatNya. Seiring berlalunya waktu, manusia kembali hanyut dalam banaliti seharian dan melupakan hikmah pere- nungannya. Amat sukar orang yang hatinya dimasuki bid’ah  (tarbiyah ilmu Akidah reka cipta) untuk terus melakukan muhasabah dan  ia tidak dapat menikmati kebahagiaan (khusyuk hati terhadap Allah), dan amat sukar  golongan ini untuk membetul- kan pegangan akidah mereka.

Mereka terus terhijab oleh berbagai hijab nafsu atau sifat-sifat mazmumah dan hati mereka terus mati (kesesatan). Lebih-lebih lagi umat Islam dewasa kini  yang mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’, maka sukarlah ancaman dan peringatan seperti itu untuk mereka menerima sebagai kebenaran yang hakiki. Allah  telah menggambarkan keadaan ini dengan jelas bahawa segala bencana atau malapetaka yang berlaku itu tidak akan memberi manfaat atau peringatan kepada golongan yang terhijab hati (hati yang mati) sebagaimana Allah S.W.T. berfirman:
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Maksudnya:
“Maka  sesungguhnya bukan matalah yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang  berada di dalam dada.” 
                                                                                     (Surah al - Hajr, ayat: 46)

Allah S.W.T.   juga berfirman:
 وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ إِلاَّ بِإِذْنِ اللّهِ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يَعْقِلُونَ قُلِ انظُرُواْ مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَن قَوْمٍ لاَّ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Tiadalah seseorang beriman, melainkan dengan izin Allah. Dia menjadikan seksaan atas orang-orang yang tidak berfikir. Katakanlah: Perhatikanlah apa yang di langit dan bumi. Tetapi tiada manfaat keterangan dan peringatan bagi kaum yang tidak beriman.”                        
                                                                                     (Surah Yunus, ayat: 100 - 101)

Sesungguhnya mati itu sendiri hanya ditakuti oleh orang yang memiliki kesempurnaan akidah. Ini  kerana golongan ini dapat mengenal dan melihat hakikat kebenaran Allah  (pandangan mata hati),  dan  merasakan betapa dahsyat peristiwa mati dan selepas itu. Golongan yang memiliki pandangan mata hati (basirah) sahaja yang bimbang terhadap kegemparan mati dan hari akhirat. Bagi mereka yang buta kejahilan (hati yang mati) atau sekadar berfikiran ilmu Akidah reka cipta, mati itu hanya sekadar peristiwa yang bakal dilalui oleh semua orang. Mati bagi mereka berakhirlah segala persoalan hidup. Tidak lebih dari itu. Sebab itu mereka tidak menjadikan mati itu sebagai ubat untuk menghindarkan diri dari kemungkaran atau maksiat. Hanya golongan orang-orang yang terbaik dan mendapat keredanNya (golongan al-muhsinin)  sahaja yang yakin dan berpegang kepada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Cukuplah kematian itu menjadi peringatan dan sebagai nasihat.”                                   
                                                                                    (HR al-Tibrabni)

Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Orang yang paling  banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersedia (untuk menghadapi mati) itulah orang-orang yang paling cerdik dan bijak sekali; Mereka itu mati dengan beroleh kemuliaan di dunia dan Akhirat.”
                                                (HR  Imam Ahmad) 
         
Tidak menghairankan apabila hampir semua masjid atau surau di seluruh pelosok negeri  ditutup rapi pintunya menjelang jam  9.00 malam. Fenomana inilah yang sentiasa berlaku masa kini akibat ketidakmampuan umat Islam  memakmurkannya (beriktikaf). Malah, golongan ahli  Kalam dan Wahabi tidak menyedari dan menerima hakikat bahawa akibat penyingkiran amalan zikrullah dan mujahadah (Akidah al-Quran) daripada  proses tarbiyah akidah ummah menjadikan masjis atau surau di seluruh pelosok negeri dewasa ini seperti “muzium Islam” iaitu tanpa jemaah berqiyamullail. Tanpa mereka (golongan ahli zahir) sedari bahawa  di dalamnya tersimpan sejarah  keagungan tamadun Islam masa silam yang dibangunkan menerusi “rahsia kekuatan ummah”. Malahan umat Islam di zaman ini telah  menafikan dan mengabaikan keutamaan dan keagungan  amalan rohani Islam (qiyamullail) yang menjadi  penjana  kekuatan ummah itu.

10. Sedikit  Bilangan  Orang  Yang  Beriman (Sukarnya Memerangi  Desakan  Hawa Nafsu)

Pertarungan memerangi desakan hawa nafsu  dan membaiki penyakit-penyakit hati untuk menghampirkan diri ke hadrat Allah S.W.T. (khusyuk hati) dan mendapat keredaanNya  menerusi kesungguhan istiqamah dalam berqiyamullail  bukanlah setaraf  atau semudah seperti  mengikuti kuliah atau pengajian (bidang agama) untuk mendapatkan diploma atau ijazah, menghafaz al-Quran, mentafsir al-Quran, mendengar atau memberi ceramah atau membaca kitab-kitab agama, bersukan, mendapatkan anak (berkeluarga), penulisan akademik, mencari rezeki dan sebagainya. Meletakkan diri dalam lingkaran istiqamah dan bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amalan  rohani Islam (qi- yamullail) ini memerlukan proses tarbiyah akidah menerusi berzikir dan mujahadah yang bersungguh-sungguh  (Akidah al-Qu- ran) untuk melepaskan diri dari desakan hawa nafsu dan pujukan syaitan. Inilah mujahadah yang didorong oleh kemahuan dan cita-cita untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar dan darjat yang tinggi di akhirat.  Nabi s.a.w. telah mengingatkan umatnya bahawa hanya sedikit sekali dalam kalangan manusia yang mahu melaksanakan sunnah (qiyamullail) ini sebagaimana baginda pernah bersabda, maksudnya:
“Qiyamullail yang paling utama adalah yang dikerjakan pada sepertiga malam akhir, atau seperdua malam. Tetapi hanya sedikit sekali manusia yang mahu melaksanakan  sunnah ini.” 
(HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Allah S.W.T.  berfirman:
 كَانُوا قَلِيلاً مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ      وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya:
“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu  malam untuk mereka tidur.  Dan di akhir malam mereka beristighafar kepada Allah.” 
(Surah al-Dzariyat, ayat: 17-18)  

Ummah di zaman ini telah melupakan amalan qiyamulalil sehingga hampir hilang amalan agung ini dari rumah Allah dan rumah orang Islam. Di manakah mereka? Di manakah orang-orang yang mengatakan mengikut jejak sunnah Nabi s.a.w? Di manakah mereka yang sentiasa membaca al-Quran pada akhir malam? Di manakah mereka yang berzikir di tengah malam? Di manakah orang yang meninggalkan kenikmatan tidur, lalu tunduk dan tawaduk di hadapan Allah S.W.T? Jelas sekali, mereka sekarang hampir tidak ada. Mereka adalah yang sedikit dari kumpulan yang sedikit. 

Allah S.W.T.  berfirman:
 المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِيَ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ الْحَقُّ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Alif Laam Min ra. Itulah ayat-ayat kitab. (Apa-apa) yang diturunkan kepada engkau dari Tuhanmu adalah benar tetapi kebanyakan manusia tidak mahu beriman.”          
                                                                                     (Surah al-Ra’d, ayat: 1)

Allah S.W.T.  juga berfirman:
 إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Hari Kiamat akan datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”
                                                                                     (Surah Ghafir, ayat: 59)

Allah S.W.T. seterusnya berfirman.
وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“Kebanyakan manusia itu bukan orang beriman, meskipun engkau (Muhammad) harapkan.” 
                                                                                     (Surah Yusuf, ayat: 103)

Ayat-ayat Allah  di atas seharusnya sudah cukup untuk menyedarkan  kita bahawa sangat sedikit bilangan umat Islam yang berjaya di akhirat nanti.  Inilah sunnahtullah (ketetapan Allah) yang telah menetapkan bahawa betapa sukarnya jalan mujahadah memerangi hawa nafsu untuk mengerjakan qiyamullail (membersihkan  jiwa pelakunya daripada pelbagai sifat kecelaan dan menghiasinya dengan pelbagai sifat mulia). Umat Islam perlu memahami hakikat kehidupan ini merupakan pertarungan memerangi desakan  hawa nafsu yang menjadi hijab hati untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) iaitu golongan orang-orang yang terbaik dan mendapat keredaanNya sebagai umat yang berjaya menghayati jalan agama Islam. Mereka melakukan apa saja sahaja yang diperintahkan dan menjauhkan segala yang dilarang dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Pertarungan ini sengaja Allah S.W.T. jadikan untuk menguji manusia.

Allah S.W.T.  juga berfirman:
 أُوْلَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ      فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ      ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ     وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ
Maksudnya:
“Mereka itulah orang yang hampir kepada Allah  (al-muqrrabun). (Mereka menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan. Mereka itu (al-muqarrabun) ramai bilangannya di zaman yang awal dan terlalu sedikit di zaman akhir.”                              
                                                                         (Surah al-Waqi’ah, ayat: 11-14)

Begitulah sukarnya memerangi desakan  hawa nafsu untuk mencapai keredaanNya sehingga Nabi s.a.w. menganggap  bermujahadah memerangi aspek (nafsu) itu sebagai jihad paling besar (al-jihad al-akbar). Sebaliknya, perang senjata dianggap baginda sebagai  perang kecil. Jalan mujahadah ini adalah peperangan rohaniah  dan kerakusan mencintai duniawi yang sentiasa berlaku di sepanjang hayat  sebagaimana keterangan Nabi s.a.w. ketika bersama para sahabat r.a. setelah kembali dari suatu medan peperangan. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Kita telah kembali dari perang suci yang kecil untuk menghadapi perang lebih besar.”

Jelas sekali  situasi ini seharusnya menyedarkan manusia betapa perlunya berzikir dan mujahadah memerangi nafsu dan godaan syaitan (selagi hayat dikandung badan). Manusia sentiasa dikelilingi oleh syaitan dan terjerat oleh desakan hawa nafsu. Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam sabdanya yang bermaksud:
“Orang yang berjihad adalah orang yang melawan kehendak hawa nafsu untuk mendapatkan keredaan Allah.”
                                                                        (HR   Tirmizi    dan   Ibnu  Hibban)

Nabi s.a.w. menilai bahawa perjuangan melawan godaan hawa nafsu adalah jauh lebih berat berbanding perjuangan menghadapi musuh di medan perang. Malah, kemenangan di medan jihad  adalah bergantung kepada kejayaan kita memerangi desakan hawa nafsu terlebih dahulu, dan perjuangan melawan aspek (nafsu) itu tidak mengenal batas (alam rohaniah), waktu, situasi dan ukuran. Sebaliknya, musuh di medan perang dapat dilihat dan dikira jumlah kekuatannya. Kerana itulah, maka Nabi s.a.w. mengingatkan para sahabat  tentang keutamaan perjuangan melawan kehendak hawa nafsu. Kemudian pada kesempatan lain, baginda menjelaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Musuhmu yang paling berbahaya ialah nafsumu sendiri, yang terletak di antara dua lambungmu, kemudian isterimu, dan keluargamu.”

Dunia hanyalah sebagai alat, hanya sebagai wasilah bukan matlamat atau tujuan. Orang yang beriman atau memiliki kesempurnaan hati memiliki dunia (keperluan hidup), tetapi bukan dunia (keperluan hidup) yang menguasainya. Dunia (keperluan hidup) ini hanya sekadar menurut kehendaknya, bukan kehendaknya menurut dunia (keperluan hidup). Mereka ini hanya menjadikan dunia (keperluan hidup) sebagai amanah untuk mencapai keredaanNya.

Kebanyakan orang awam selalu juga terkeliru mengenai mengharapkan rahmat Allah S.W.T. Mereka terus melakukan amalan-amalan jahat atau maksiat dengan sangkaan bahawa rahmat Allah S.W.T. itu terlalu luas dan nikmatNya juga terlalu banyak. Dengan itu mereka yakin Allah  boleh mengampunkannya. Sebenarnya, sangkaan yang salah  tersebut kerana mereka jahil untuk memahami dan membezakan antara al-gharur dengan al-raja’. Al-raja’ atau mengharapkan rahmat atau bergantung harap terhadap rahmat Allah  hanya akan tercapai (pada seseorang itu) bila ia telah melaksanakan sebab-sebab untuk kejayaan. Jalan atau sebab-sebab kejayaan (di sisi Allah) itu ialah dengan taatkanNya serta mengharapkan agar ketaatannya  diterima oleh Allah. Adapun al-gharur  pula ialah bila mengharapkan rahmat Allah  tanpa ada sebab-sebab kejayaan tersebut. Seseorang yang tidak beramal baik, bukanlah ia dari golongan orang-orang yang hendakkan kejayaan di akhirat. Apatah lagi bila ia menangguhkan taubat serta sentiasa panjang angan-angan keduniaannya. Kononnya ia zuhud terhadap dunia, tetapi perbuatannya menggambarkan perbuatan orang-orang yang cintakan dunia sehingga bila diberi keduniaan itu kepadanya ia tidak berasa puas dan bila tidak dapat ia berasa tidak memadai dan tidak cukup.

Anda mahu kejayaan padahal tidak melalui jalan-jalannya, sesungguhnya kapal laut itu tidak belayar di atas daratan.

Setengah dari tipudaya atau al-ightirar yang paling besar ialah berlarut-larut di dalam berbagai dosa disebabkan bergantung harap terhadap keampunan (yang boleh didapati dari Allah) tanpa ada rasa menyesal dan sentiasa menangguhkan untuk menghampirkan diri kepada Allah S.W.T. Itulah perbuatan orang  yang menunggu tanaman-tanaman syurga tetapi ia menanam benih neraka; ia mengharap istana orang yang taat (di akhirat), tetapi ia melakukan maksiat.

Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud:
“Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, iaitu sama antara kehidupan mereka dan kematian mereka? Amat buruk apa yang mereka sangkakan itu.”
                                                                                     (Surah al-Jathiyah, ayat: 21)

Allah S.W.T.  juga berfirman yang bermaksud:
“Wahai umat manusia,  sesungguhnya janji Allah (membalas amal soleh kamu) adalah benar. Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan janganlah syaitan yang pandai menipu itu berpeluang memperdayakan kamu dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).”
                                                                                     (Surah Fathir, ayat: 5)

Hadis Qudsi menyebutkan yang bermaksud:
“Alangkah nipisnya sifat malu orang yang mengharapkan syurga-Ku tanpa amalan, bagaimanakah Aku bermurah hati dengan memberikan rahmat-Ku kepada orang yang bakhil ketaatannya terhadap Aku.”

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang cintakan dunia membahayakan akhiratnya, sesiapa yang cintakan akhiratnya membahayakan dunianya. Oleh itu utamakanlah apa yang kekal daripada apa yang binasa.”
(HR Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya, dan al-Hakim)

11. Keagungan Ummah  Dengan Berqiyamullail dan Mengalami Kehancuran
      Apabila Mengabaikannya

Cubalah kita  kaji dan selidek sedalam-dalamnya tentang betapa  agungnya amalan rohani  Islam ini  yang telah memberikan kejayaan gemilang kepada tentera Islam hingga berjaya menguasai Sepanyol selama hampir 400 tahun. Para tokoh sejarah Barat telah menggambarkan tentang keunggulan  qiyamullail tentera Islam menjadi faktor utama kejayaan itu. Kata mereka:
“Setelah beratus-ratus kali tentera kita berperang dengan tentera Islam, kita dapati apabila wajah-wajah tentera Islam di waktu siang hari kelihatan lemah dan layu keletihan (qiyamullail),  ketika itulah tentera kita akan tewas bila berperang dengan mereka. Sebaliknya, apabila kita melihat wajah tentera Islam di siang hari kelihatan segar dan gagah,  ketika itulah mereka dapat dikalahkan.”

Raja Romawi  Heraclius pernah bertanya kepada panglima pasukannya ketika mereka kalah menghadapi tentera Islam: “Menurut kamu semua apa yang menyebabkan kita tewas bila menghadapi tentera Islam?” Seorang tentera yang sudah berusia menjawab: “Ini kerana tentera Islam pada waktu malam mereka solat  dan berdoa kepada Tuhan mereka, sedangkan waktu siang pula mereka berpuasa.”

Ketika menakluki Perancis,  rakyatnya mengatakan bahawa Al-Qasim bin Al-Qasim (iaitu Sultan Nuruddin Zanki) memiliki hubungan rahsia dengan Tuhannya. Mereka mengatakan baha- wa: “Sultan Nuruddin berjaya mengalahkan tentera Perancis bukan kerana kekuatan dan kehebatan dengan tenteranya  yang ramai,  tetapi dengan doa dan solat malam. Dia sentiasa solat malam dan menadahkan kedua belah tangannya berdoa memohon kekuatan dari Zat yang mengurus alam semesta ini. Terus Tuhannya mendengar dan menerima doa mereka. Maka kita pun dikalahkan oleh pasukan Sultan Nuruddin.”
                 (Al Bidayah Wan Nihayah, Ibn Kathir XII: 283)

Kepupusan atau pengabaian  qiyamullail dalam kalangan umat Islam masa kini  menjadi faktor utama  ke atas kepincangan dan kehancuran ummah. Tanpa mereka sedari bahawa  amalan rohani Islam inilah yang sentiasa memberikan kemenangan dan kegemilangan kepada generasi umat Islam di zaman yang awal dengan bantuan serta pertolongan Allah  dalam segala aspek dan  pelbagai bentuk. Mereka menjadi golongan yang memiliki “rahsia kekuatan ummah”,  dan sentiasa mendapat ban- tuan dan pertolongan Allah  untuk mencapai kemenangan yang sangat mengkagumkan itu. Kepincangan dan kehancuran  yang berlaku di seluruh dunia Islam di zaman ini seolah-olah sudah tiada penawarnya, meskipun pelbagai idea, cadangan, resolusi atau  fatwa yang dikemukakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam bagi mengembalikan kegemilangan Islam, namun segala usaha yang dilaksanakan itu  tetap gagal. Mereka seperti jasad yang terbujur kaku  tanpa nyawa (hati yang mati) akibat pengabaian amalan rohani Islam ini.

Hasil bantuan dan pertolongan Allah  sangat mengkagumkan dunia hingga segala kemajuan teknologi masa kini bertitik tolak dari penemuan berbagai ilmu oleh para ulama dan saintis Islam, tetapi itu semua telah berlalu, telah menjadi bukti dan fakta sejarah. Telah berlalu satu zaman di mana umatnya  sentiasa berzikir dan mujahadah untuk mendirikan qiyamullail dengan bersungguh-sungguh  dan  mereka sentiasa hampir kepada rahmat dan pertolongan Allah. Begitu juga telah berlalu satu zaman di mana umatnya asyik dengan Allah  (hati sentiasa musyahadah kepada keagungan dan kesempurnaanNya semata-mata) dan merindui akhirat. Begitu juga  telah berlalu juga satu zaman yang telah Allah S.W.T.  curahkan segala pertolongan dan kemenangan kerana kebanyakan umatnya memiliki “rahsia kekuatan ummah” (darjat ihsan).

Keutamaan dan keagungan amalan  ini  telah digambarkan oleh seorang wazir dari Dinasti Saljuk iaitu Nazzam al-Malik kepada sultannya. Kata beliau ,
“Saya telah dirikan untuk tuanku suatu  tentera   yang   disebut  tentera malam. Apabila  tentera tuanku yang  bersenjata  telah  tidur, merekalah yang menjadi tentera tuanku, berdoa di hadapan Tuhannya  dengan   airmata berlinangan  dan  lidah yang terus menerus berzikrullah, bermohon supaya tuanku dan negeri ini berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan  Allah S.W.T.,  agar  rezeki terus menerus diturunkan Allah  dengan baik.”

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah dihuraikan di atas tersebut maka amat jelas bahawa  qiyamullail menjadi penjana “rahsia kekuatan ummah” kepada generasi umat Islam  awal yang berjaya mencapai kecemerlangan dengan tamadun rohaniah dan tamadun duniawi (material) yang mengkagumkan. Apabila diabaikan dan disingkirkan amalan itu maka lemahlah umat Islam. Jiwa mereka kini menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan akibat  terputus tali rohaniah (hati yang mati). Ini kerana, hati tidak bergantung kepada Allah  (tergelincir dari landasan Akidah al-Quran) lantas Allah  melupainya. Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah  kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah  kehendaki berlaku kepada umat Islam.

Apa yang dapat dibanggakan tentang Islam  di zaman ini hanyalah kisah sejarah mengenai kekuatan dan keagungan generasi umat Islam di zaman yang awal.  Dicanangkan  sejarah ini oleh para ulama dan ilmuwan  ahli zahir di dalam siri majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama  untuk menggambarkan keunggulan syiar Islam. Ia tidak lebih dari longgokan maklumat yang tidak membawa faedah malah lebih banyak mengkhayalkan dan menghiburkan sahaja. Inilah bentuk ilmu dan kefahaman agama yang berlegar dalam  kalangan ummah masa kini,  iaitu hanya  berjaya memberikan pengetahuan, tetapi gagal diterap di dalam amal ibadat dan kehidupan harian (gagal memiliki khusyuk hati  terhadapNya). Malah, golongan  ahli zahir  ini tidak pernah meneliti dan menerima hakikat bahawa semenjak bermulanya syiar Islam,  amalan rohani Islam inilah yang menjadi faktor utama yang membawa kepada bantuan  dan  kemenangan  yang dikurniakan  Allah S.W.T. di dalam segala usaha iktiar ummahNya. Terutamanya dalam kalangan para sahabat, tabi’in dan al-salaf, Allah  memberikan golongan yang berjuang bersungguh-sungguh melaksanakan amalan  ini  mudah mencapai kemenangan dalam perjuangan dan perkembangan Islam. Allah  datangkan keberanian luar biasa kepada pejuang Islam dan rasa ketakutan  kepada penentang sehingga berjaya menguasai Jazirah Arab.

Sejarah telah membuktikan hakikat ini, bangsa Arab yang sebelumnya terkenal jahil dan ganas telah bertukar menjadi bangsa yang kuat dan mulia setelah menerima Islam. Dalam jangka masa tidak sampai 30 tahun menerima dakwah Islam, umat Arab telah menguasai empayar dunia. Ini telah dibuktikan oleh Sayyidina Umar al-Khattab dengan katanya:
“Kami bangsa Arab kuat dan berkuasa kerana Islam semata-mata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan terhina.”

Kejayaan golongan yang memiliki kesempurnaan akidah  tidak hanya kepada bangsa Arab sahaja, malah bangsa Turki, Kurdi, Tartar dan lain-lain juga telah pernah menempa zaman keagungan masing-masing dengan Islam. Amalan rohani Islam inilah menjadi rahsia kekuatan yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang bertaqwa dari kalangan bangsa itu seperti  Khalifah Muhammad al-Fateh daripada bangsa Turki, Panglima Salahuddin al-Ayubi daripada bangsa Kurdi dan Timurlane daripada bangsa Tartar. Dengan kesungguhan mengerjakan qiyamullail, mereka memiliki “rahsia kekuatan ummah” dan menjadi bangsa yang kuat dan mulia.

Di zaman keagungan rohaniah, iaitu  umat Islam sentiasa bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini, maka Allah  buka pula pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Kota Baghdad sebelum diranapkan oleh kaum Tartar merupakan tempat terkumpulnya kitab para ulama yang terlalu banyak. Ketika Barat melalui ‘Dark-Ages’, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan. Padamnya ‘Dark-Ages’ Barat bermula bila mereka memperaktikkan berbagai ilmu yang diperolehi hasil dari penjajahan ke wilayah Islam terutamanya Sepanyol.

Ternyata golongan ahli zahir di zaman ini mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’ tanpa disedari. Mereka tidak mampu menilai dan meneliti tentang kepentingan amalan rohani Islam ini  untuk mencapai kesempurnaan hati yang menjadi roh kekuatan agama (“rahsia kekuatan ummah”). Rahsia kekuatan ini  telah memberikan kejayaan gemilang kepada generasi umat Islam yang awal (tamadun rohaniah dan tamadun duniawi). Apabila tidak memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan),  maka umat Islam menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas melupai Allah (lalai berzikir kepada Allah) menjadikan akidah mereka binasa (kesesatan). Kerana itulah  maka Allah melupai umat yang ingkar ini. Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah  kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah  kehendaki berlaku ke atas umat Islam di zaman ini. Tegasnya, kesungguhan mengerjakan qiyamullaill menjadi kayu pengukur datangnya keberkatan dan pertolongan Allah S.W.T., iaitu amalan yang menjadi penjana “rahsia kekuatan ummah”.  
 
Proses kemerosotan dan kemalapan ilmu dan amalan Islam dari satu masa ke satu masa yang lain, sehingga ilmu dan amalan Islam yang sebenar, lengkap dan sempurna pada zaman awal itu, akhirnya seolah-olah telah hampir tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan umat Islam sendiri. Banyaknya bidang ilmu dan kefahaman agama  masa kini seperti ilmu tauhid, ilmu fiqah, ilmu hadis, ilmu tafsir, ilmu dakwah, falsafah Islam, ilmu kalam, tamadun Islam, ilmu tasawuf, sirah Nabi s.a.w. dan sebagainya untuk menghuraikan dan memperincikan ilmu dan amalan Islam di zaman yang awal itu, banyaknya kitab-kitab, kertas-kertas  pengajian (agama) yang diterbitkan, dan banyaknya universiti Islam didirikan di seluruh negara Islam tidak dapat dijadikan ukuran tentang adanya perkembangan, dan kemajuan ilmu dan amalan Islam yang pesat, yang semakin unggul dan sempurna. Sebab, dalam keadaan yang begitu umat Islam semakin jahil untuk memahami dan menghayati hakikat intisari ajaran Islam yang sebenar-benarnya seperti yang difahami dan dihayati oleh generasi umat Islam pada zaman awal. Begitulah realitinya umat Islam di zaman ini semakin tidak kenal Allah  (tergelincir dari landasan Akidah al-Quran), terputus tali rohaniah (kesesatan), melupai akhirat, derhaka, zalim, ganas, jatuh menjatuh, tindas menindas, menipu dan mengamalkan rasuah, tamak, gejala murtad, sanggup berbunuhan sesama saudara Muslim dan bergelumbang dengan berbagai gejala negatif atau maksiat seolah-olah sebagai manusia tanpa agama sedangkan semua itu berlaku dalam keadaan agama diperkatakan di mana-mana.

Umat Islam di zaman ini sekadar berbangga membaca dan mempelajari tajwid al-Quran sehingga lanjut usia, mengikuti majlis ceramah agama atau bacaan kitab-kitab  (melonggokkan pengetahuan ilmu Fiqah) di masjid atau surau pada setiap hari, menjadi hafaz al-Quran, menterjemah  al-Quran serta  Hadis-hadis Nabi s.a.w. dan kemudian mentafsirkannya secara mendalam, iaitu tarbiyah dari aspek memberi pengetahuan ilmu agama semata-mata, tetapi mereka sentiasa gagal  untuk mencapai khu- syuk hati dalam melaksanakan segala amal ibadat dan kehidupan harian. Di samping itu, para ulama dan ilmuwan ahli Kalam dan Wahabi dewasa ini terus memainkan irama kebangkitan Islam tetapi  tiada tanda-tanda yang jelas untuk membuktikan bahawa umat Islam pada masa kini mampu kembali ke zaman kegemi- langannya, sebaliknya penyelesaian masalah akidah dan kepincangan akhlak ummah di negara-negara Islam  masih tidak mampu diselesaikan, malah semakin parah dan terus berkembang. Islam dan umatnya terus terpesorok di bawah timbunan herdikan dan gurauan umat lain sebab dianggap sebagai umat lemah, jahil dan ganas.

Kesimpulannya, qiyamullail merupakan amalan rohani Islam  utama untuk mencapai kesempurnaan tuntutan penyucian jiwa dan pengabdian diri kepada Allah. Amalan  ini juga dianggap sebagai amalan terbaik yang lebih cepat menghasilkan  pencetus kesedaran hati yang boleh membuahkan keyakinan yang teguh dan keimanan yang penuh terhadap keesaan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Malah,  pelaksanaan amalan rohani Islam inilah yang membezakan jalan pencapaian kesempurnaan hati generasi umat Islam di  zaman yang awal berbanding ummah dewasa ini. Ternyata  para sahabat, tabi’in dan al-salaf yang bersungguh-sungguh mengerjakan amalan (qiyamullail) ini  memiliki “rahsia kekuatan ummah” yang sebenar-benarnya. Mereka menjadi ummah yang sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan Allah  (golongan al-muhsinin) untuk mencapai kejayaan (tamadun rohaniah dan tamadun duniawi) yang sangat mengkagumkan itu.

No comments: